Selasa, 4 Disember 2018 | 5:43pm
Umat Islam digesa bergiat aktif dalam persatuan kebajikan yang menjadikan projek membantu gelandangan sebagai antara aktiviti utama. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Tertipu ibadat sendiri, abaikan fakir dan gelandangan

MANUSIA sering terlupa, hebatnya orang kaya kerana adanya orang miskin; majikan kerana pekerja bawahan dan pemimpin kerana rakyat jelata. Hakikatnya tanpa orang lain, kita sebenarnya tiada apa-apa.

Oleh itu, mulianya seseorang selagi mana dia merasakan pentingnya menjaga hubungan dengan sentiasa prihatin dan menghulurkan bantuan.

Manusia ibarat satu jasad, satu anggota sakit semuanya akan berasa sakit dan sama-sama berjaga malam. Inilah ciri Muslim sebenar yang sentiasa mengambil berat kesusahan orang lain.

Rasulullah SAW bersabda: Bukanlah seorang Muslim sekiranya dia dalam kekenyangan sedangkan jiran di sebelahnya kelaparan. (HR Baihaqi)

Kisah ulama tasawuf terkenal, Bishr ibnu Haris al-Hafi boleh dijadikan renungan. Pada suatu hari, seorang lelaki bertemu dengannya untuk mengucapkan selamat tinggal kerana mengerjakan haji kali kedua.

Lelaki itu berkata: “Aku berniat menunaikan haji. Apakah nasihatmu kepadaku?” Bish bertanya: “Berapa banyak wang yang engkau bawa sebagai bekalan?”

Lelaki itu menjawab: “2,000 dirham.” Bishr bertanya lagi: “Apa tujuanmu melaksanakan haji ini? Apakah kerana zuhud terhadap dunia ataupun melepaskan kerinduan kepada Baitullah? Atau ingin mencari keredaan Allah?”

Dengan tegas lelaki itu menjawab: “Aku mencari keredaan Allah.” Lalu Bishr pun membalas: “Kalau redha Allah, duduk sahaja di rumahmu dan sedekahkan 2,000 dirham itu. Insya-Allah engkau akan meraih keredhaan-Nya. Engkau bersedia ingin melakukannya?”

Lelaki itu mengiyakan, sebelum Bishr berkata: “Kalau begitu, sedekahkan 2,000 dirham itu dengan menolong manusia lain. Di luar sana, ada dibebankan hutang, miskin atau yatim. Bantulah dengan menyelesaikan hutang, memperbaiki tahap kehidupan dan menggembirakan mereka.”

Bishr menyambung lagi: “Sesungguhnya perbuatanmu memberi kegembiraan di hati orang lain dengan membantunya keluar daripada kesusahan dan menolongnya menghadapi penderitaan jauh lebih utama daripada haji berkali-kali! Sekarang, sedekahkan hartamu atau jika tidak, luahkan isi hatimu sekarang.”

Lelaki itu termenung sebentar lalu berkata, “Wahai Bishr, niatku mengerjakan haji lebih kuat daripada melakukan amalan engkau ucapkan tadi.”

Mendengar jawapan itu, Bishr tersenyum dan berkata, “Memanglah apabila harta diperoleh melalui perniagaan yang syubhah (meragukan) dan kotor, hati akan tertarik memenuhi keinginan nafsu dengan menampakkan amal soleh agar diketahui orang. Padahal Allah hanya menerima ibadat yang ikhlas dan suci hartanya!”

Pengajaran kisah ini sangat relevan sehingga hari ini kerana betapa ramai ahli ibadat tertipu dengan amalan dan kepentingan diri atas nama agama. Mereka meminggirkan amalan menyuburkan kasih sayang sesama manusia kerana menyangka kononnya melakukan ketaatan kepada Allah.

Mengasihi manusia sebenarnya kesan cinta dan kasih kepada Allah seperti firman-Nya: “Sesungguhnya orang beriman dan beramal soleh kelak Allah Yang Maha Pemurah akan menanamkan dalam hati mereka kasih sayang.” (Maryam: 96)

Dalam isu kemasyarakatan terutamanya anak yatim, gelandangan mahupun miskin, Muslim sepatutnya sentiasa ke depan dan bersungguh-sungguh memperjuangkan serta melindungi hak mereka, sekali gus sentiasa prihatin dan turun padang membantu golongan itu.

Selain soal kemanusiaan yang menjentik hati untuk membantu, apakah tidak cukup dengan peringatan dan ancaman Allah SWT kepada kita terhadap tanggungjawab ini?

Muslim bukan sekadar wajib solat, iaitu menjaga hubungan dengan Allah tetapi wajib menghulurkan bantuan kepada golongan tidak bernasib baik, yakni menjaga hubungan sesama manusia. Jika tidak, takut-takut terlekat penyakit munafik pada kita.

Rasulullah SAW bersabda: Kiamat kelak, Allah SWT berfirman: “Wahai anak Adam! Aku sakit, mengapa tidak engkau kunjungi Aku?” Anak Adam menjawab: “Wahai Tuhanku, bagaimana mungkin aku mengunjungi Engkau padahal Engkau Tuhan semesta alam?”

Allah SWT berfirman: “Apakah kamu tidak tahu bahawa hamba-Ku si fulan sakit, mengapa kamu tidak mengunjunginya? Apakah kamu tidak tahu, seandainya kamu menziarahinya, kamu akan mendapati-Ku di sisinya?”

“Wahai anak Adam! Aku minta makan kepadamu, mengapa kamu tidak memberi-Ku makan?” Anak Adam menjawab: “Wahai Tuhan, bagaimana mungkin aku memberi Engkau makan, padahal Engkau Tuhan semesta alam?”

Allah SWT berfirman: “Apakah kamu tidak tahu bahawa hamba-Ku si fulan meminta makan kepadamu tetapi kamu tidak memberinya makan. Apakah kamu tidak tahu, seandainya kamu memberinya makan nescaya engkau mendapat balasannya di sisi-Ku?” (HR Muslim)

Walaupun kita tiada kemampuan dari sudut kewangan, kewajipan ini mesti ditunaikan, iaitu dengan ikhtiar dan kudrat.

Aktifkan diri berpersatuan. Pilihlah persatuan kebajikan yang menjadikan projek membantu gelandangan sebagai aktiviti utama. Selain membina kemahiran kepimpinan, bersosial dan berkumpulan, kewajipan membantu mereka tidak bernasib baik dapat ditunaikan.

Apa kata lancarkan kempen mengumpul dana RM1 seorang. Bayangkan kalau seribu orang, sudah RM1,000 berjaya dikumpulkan.

Daripada dana itu, bolehlah kita menyediakan makanan, pakaian, wang saku, barangan dapur dan mainan kanak-kanak kepada mereka.

Kalau tidak mampu kempen mengumpul dana, mengumpul barangan terpakai yang masih elok sudah memadai sebagai permulaannya. Selain menyediakan keperluan fizikal, aspek kerohanian jangan dilupakan. Buatlah tuisyen jalanan misalnya unutk membantu anak gelandangan.

Ada antara mereka tidak bersekolah yang perlu diberikan ilmu asas seperti membaca, menulis dan mengira yang boleh menjadi bekalan untuk meneruskan kehidupan.

Kita boleh membantu mereka melalui profesional kita. Doktor, psikiatri, kaunselor dan doktor gigi boleh melakukan pemeriksaan dan rawatan di ‘klinik jalanan’ secara percuma. Begitu peguam boleh melindungi dan memperkasakan hak mereka.

Banyak lagi cara boleh diketengahkan untuk membantu. Kita tidak mencari cinta manusia, tetapi kita mencari cinta Allah, iaitu cinta tertinggi. Kesan cinta kepada Allah adalah dengan mengasihi golongan itu yang juga sebahagian masyarakat kita.

Penulis ialah pendakwah dan penulis

1067 dibaca
Berita Harian X