Ahad, 2 Disember 2018 | 1:33pm
TUTUR bicara penuh kesantunan Muhadir sering mencuri tumpuan khalayak. - Foto Aswadi Alias

Selebriti Agama: Khalayak terpikat kesantunan Ustaz Muhadir

KARAKTER pendakwah ini yang sentiasa tenang, tutur bicara penuh kesantunan dan sesekali dalam ceramahnya diselitkan penyampaian dalam bahasa Inggeris sering mencuri tumpuan khalayak.

Anak jati Kuching, Muhadir Joll ketika ditemui di Balai Berita NSTP, Kuala Lumpur, mengakui pengalamannya berkhidmat sebagai pensyarah lebih 15 tahun di Pusat Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Petaling Jaya membuatkan beliau tanpa sengaja menggunakan bahasa Inggeris dalam sesi ceramah atau kuliah agama.

“Di UIAM, pengajian subjek agama wajib diajar dalam bahasa Inggeris. Jadi apabila menyampaikan ceramah, ada ketika terkeluar ayat spontan dalam bahasa itu kerana sudah terbiasa.

“Adakalanya saya sendiri tidak perasan, namun ia sebenarnya amat baik untuk kami sebagai pendakwah menggunakan pelbagai bahasa yang pelbagai bergantung kepada khalayak sasaran.

“Khususnya di kawasan bandar, ada ketika saya berceramah di hadapan khalayak yang berpendidikan tinggi atau yang kurang mahir bahasa Melayu, jadi ia alternatif supaya dakwah disampaikan lebih berkesan,” katanya.


MUHADIR Haji Joll. - Foto Rosdan Wahid

Beliau berkata, pendakwah hari ini perlu bergerak lebih proaktif termasuk menguasai pelbagai bahasa dan dialek serta menyampaikannya dalam bentuk yang lebih moden, kreatif dan selari dengan keperluan semasa.

“Sebagai contoh, jika saya dijemput untuk menyampaikan kuliah di negeri kelahiran, saya akan menggunakan dialek Sarawak supaya mereka lebih mudah memahami dan lebih penting rasa lebih dihargai.

“Dakwah juga tidak terhad kepada bahasa Melayu dan Inggeris semata-mata, mengapa tidak kita belajar bahasa lain contohnya bahasa Cina supaya dapat menembusi masyarakat berkenaan,” katanya.

Mengulas mengenai pembabitannya dalam arena dakwah, Muhadir berkata, sejak kecil ibu bapanya sangat menitikberatkan pendidikan agama secara menyeluruh.

“Ayah saya cuma seorang nelayan, ibu pula suri rumah tetapi mereka tegas memastikan saya tidak tercicir dalam pengajian agama.

“Ketika sekolah rendah, walaupun tidak mengikuti pengajian agama formal, setiap petang ayah akan menghantar untuk belajar mengaji dan fardu ain.

“Pengajian formal agama bermula ketika menuntut di Sekolah Menengah Agama Matang 2, Kuching dan kemudian menyambung pengajian dalam jurusan Ilmu Wahyu dan Warisan Islam di UIAM,” katanya.


MUHADIR lebih gemar mengikuti daurah ketika menuntut di universiti kerana ilmu lebih berfokus. - Foto Aswadi Alias

Walaupun sibuk dengan pengajian di UIAM, semangat yang kuat menimba ilmu agama mendorong Muhadir turut belajar pondok secara separuh masa.

“Saya tidak belajar pondok secara serius tetapi saya akan mencuri masa pada hujung minggu untuk menghadiri majlis ilmu untuk berguru ke merata tempat.

“Berbanding ceramah umum, saya lebih gemar mengikuti daurah kerana ilmu yang didapati lebih berfokus.

“Mulai pengajian sebegini, saya mula mengenali kitab turath (hasil tradisi ilmu) dan

dapat mendalaminya daripada kulit ke kulit mengikut isi teks serta ada kitab dapat dihabiskan pengajiannya dalam tempoh sehari saja,” katanya.

Menceritakan pengalaman tidak dapat dilupakannya sepanjang berdakwah, Muhadir berkata, ada khalayak yang menitiskan air mata kerana tersentuh dengan ilmu yang disampaikan.

“Adakalanya tanpa sedar ketika ceramah tiba-tiba ada khalayak menangis dan ini antara detik yang cukup membuatkan saya terharu.

“Dalam satu kuliah, saya berpesan supaya mencintai ulama kerana di akhirat kelak, akan dapat bersama-sama dengan mereka. Hal ini membuatkan ada yang tunduk mengesat air mata.

“Tidak disangka-sangka ada ketika perkara yang dikongsi itu mungkin pada anggapan saya perkara biasa-biasa sahaja tetapi mampu memberikan kesan kepada orang lain,” katanya.

Muhadir yang turut berkhidmat sebagai Penasihat Syariah di Galeri Ilmu berkata, antara fokus terkini adalah menghasilkan buku agama kerana ia amal jariah yang kekal walaupun selepas meninggal dunia.

“Setakat ini, saya sudah menulis lebih daripada 25 buku dan pembabitan dalam bidang ini bermula pada tahun 2011 ketika masih menuntut di UIAM.

“Ketika itu, saya cuma menulis catatan untuk kumpulan usrah yang saya asaskan, iaitu Majlis Taalim.

“Disebabkan ramai bertanya mengenai perkara khilafiah, saya menulis dan mencetaknya sebelum, mengagihkan salinannya kepada rakan usrah,” katanya.

Bermula itu, rakan-rakan memberikan sokongan untuk bergiat secara serius dalam bidang penulisan dan mencadangkan supaya naskhah berkenaan diterbitkan.

“Buku itu dicetak dua kali dengan jumlah cetakan melebihi 5,000 naskhah dan selepas itu bermulalah karier sebagai penulis, antaranya menulis mengenai bab fiqh dengan mensyarahkan kitab tertentu.

“Ketika menulis, saya selalu berfikir ia sebahagian daripada amal jariah dan ia menjadi sebab utama semakin kuat semangat terus berkarya,” katanya.

PROFIL

Muhadir Joll

Asal: Kuching, Sarawak

Umur: 43 tahun

Tarikh Lahir: 21 Julai 1976.

Pendidikan: Sarjana Muda dalam bidang tafsir al-Quran, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Kerjaya: Pendakwah, Penasihat Syariah Galeri Ilmu, penulis

3085 dibaca
Berita Harian X