Isnin, 26 November 2018 | 1:49pm
ANTARA orang ramai yang hadir pada majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, baru-baru ini.

Semarak cinta, hayati perjuangan sepanjang masa

RASULULLAH SAW adalah contoh terbaik dari segenap segi dalam membentuk keperibadian mulia. Justeru sambutan Maulidur Rasul wajar disambut besar-besaran bersesuaian dengan kedatangan Baginda adalah rahmat bagi sekian alam.

Pada peringkat Wilayah Persekutuan, kemuncak sambutan Maulidur Rasul akan diadakan di Dewan Muktamar, Kompleks Pusat Islam, mulai jam 8 pagi esok.

Acara anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bermatlamat mengenang kisah perjuangan Rasulullah SAW dalam mengembangkan syiar Islam itu, disasarkan kepada masyarakat terutama sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Pengarah JAWI, Mohd Ajib Ismail, berkata acara tahunan ini adalah kesinambungan sambutan Maulidur Rasul sepanjang Rabiulawal terutama di masjid dan surau di bawah pengurusan JAWI.

“Sepanjang bulan Maulidur Rasul ini, masjid, surau Jumaat dan surau biasa banyak menganjurkan program seperti ceramah, forum, diskusi dan seminar untuk menunjukkan kecintaan terhadap Rasulullah SAW.

“Hari kebesaran Islam ini wajar disambut secara besar-besaran justeru, selari dengan tema Maulidur Rasul kali ini, iaitu Menyantuni Umat Membawa Rahmat, kami mengadakan majlis sambutan di Wilayah Persekutuan supaya umat Islam dapat sama-sama berkongsi kegembiraan, menghayati kepayahan dan keperitan dihadapi Rasulullah SAW demi agama yang tercinta,” katanya ketika ditemui pada sesi wawancara khas di pejabat JAWI Cawangan Putrajaya, Putrajaya.

Santuni masyarakat, media sosial

Mohd Ajib berkata, tema bagi sambutan Maulidur Rasul kali ini amat bertepatan dengan pendekatan JAWI yang kini lebih terbuka kepada semua peringkat masyarakat.

“Pendekatan ini memberi ruang kepada semua pihak untuk bersama-sama dengan JAWI dalam memberikan idea, pandangan dan cadangan bagi menyemarakkan syiar Islam.


MOHD Ajib Ismail. - NSTP/Mahzir Mat Isa

“Kami cuba menyantuni keseluruhan masyarakat, bahkan turut menggunakan media sosial seperti Facebook, Instagram, Flickers dan Twitter secara maksimum.

“Antara yang sedang JAWI laksanakan adalah menyarankan jawatankuasa masjid mengadakan pertemuan dengan masyarakat bukan Islam supaya mereka dapat bersama-sama dengan umat Islam dalam program bersesuaian,” katanya.

Tambahnya, kepelbagaian masyarakat berbilang bangsa, agama, budaya dan pegangan di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan yang kini mencecah 1.8 juta penduduk memerlukan penekanan dalam menjaga kemaslahatan ummah.

Inisiatif ini boleh dipergiat menerusi institusi seperti sekolah, masjid dan surau, bagi memastikan setiap umat Islam itu tergolong dalam kalangan masyarakat yang berjaya bukan sahaja di dunia bahkan di akhirat kelak.

Mengupas lanjut berkenaan pengisian bagi Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan, Mohd Ajib berkata seramai 1,500 orang disasarkan akan hadir pada acara berkenaan.

“Penyertaan bagi majlis kali ini meliputi jabatan kerajaan, syarikat korporat, masjid, surau, sekolah, pertubuhan bukan kerajaan malah orang ramai turut dijemput melalui poster hebahan dan media sosial.

“Pengisiannya tetap sama, cuma buat kali pertama kami keluar daripada kebiasaan dengan melantik jabatan kerajaan yang lain di Wilayah Persekutuan termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Kerja Raya (JKR), Bahagian Media Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selaku ahli jawatankuasa induk.

“Dalam membawa obor syiar Islam, ia tidak boleh dilakukan secara bersendirian. Nilai kebersamaan itu penting untuk dipupuk dan ia juga tidak semestinya hanya membabitkan orang Islam, tetapi turut menyeluruh kepada masyarakat bukan Islam,” katanya.

Katanya, perasmian majlis itu akan disempurnakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad. Acara akan dimulakan dengan ceramah khas Maulidur Rasul SAW oleh Pengarah Bahagian Penerbitan, JAKIM, Hazarudin Baharudin yang akan mengupas topik Rasul SAW: Keperibadian Terpuji, Perjuangan Dihayati.

Kempen #JomCintaNabi

Kemuncak acara adalah pengumuman dan penyampaian anugerah kepada penerima Tokoh dan Anugerah Maulidur Rasul 2018.

“Bagi majlis sambutan kali ini, lapan anugerah akan disampaikan termasuk Anugerah Tokoh Utama, selain dua Anugerah Khas Individu.

“Sementara itu, lima organisasi akan turut dinobatkan sebagai penerima iaitu dalam kalangan NGO Islam terbaik, surau sekolah terbaik, maahad tahfiz atau sekolah agama swasta terbaik, masjid terbaik dan rumah kebajikan Islam terbaik.

“Pemilihan anugerah bagi tokoh serta organisasi ini adalah berdasarkan sumbangan mereka kepada pemantapan ummah, masyarakat setempat sehingga ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Mohd Ajib turut berharap, Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan kali ini akan lebih bermakna, mendapat sambutan yang baik dan memberikan impak lebih besar kepada masyarakat.

“Sambutan kali ini cukup berbeza khususnya dengan pembabitan sama banyak agensi kerajaan, bahkan akhbar, BH sendiri turut menyokong menerusi kempen yang cukup baik iaitu #JomCintaNabi.

“Walaupun majlis ini berlangsung seminggu lewat daripada hari keputeraan Rasulullah SAW, ia bukan halangan untuk sama-sama menyemarakkan cinta kepada Junjungan Baginda yang kita semua kasihi.

“Mencintai Rasulullah SAW itu tidak ada tempoh masa tertentu, ia perlu disemarakkan setiap hari dalam kehidupan seharian kita termasuk dalam konteks rumah tangga, kemasyarakatan sehingga kepada negara,” katanya.

Justeru, masyarakat tidak mengira peringkat umur dan latar belakang dijemput untuk memeriahkan dan menyemarakkan program bersempena Maulidur Rasul kali ini. Maklumat lanjut, boleh didapati di Facebook dan Instagram JAWI.

155 dibaca
Berita Harian X