Ahad, 25 November 2018 | 6:37am
Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyampaikan Anugerah Perdana Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan kepada Nik Jaafar pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan,

Selebriti Agama: Nik Jaafar jadi rujukan

Nama tokoh agama dan guru al-Quran, Datuk Nik Jaafar Nik Ismail, 82, mungkin kurang dikenali. Malah melihat kepada penampilan dirinya, beliau kelihatan seperti imam atau guru agama biasa dilihat di kampung.

Namun dalam kalangan mereka yang mendalami ilmu taranum tentu sekali mengagumi kehebatan anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini apabila mengalunkan setiap bait ayat al-Quran.

Kebolehan yang dimiliki membolehkan Nik Jaafar dilantik sebagai hakim tilawah al-Quran peringkat kebangsaan dan antarabangsa sejak 1983 dan meletakkan namanya sebaris tokoh agama seperti Tan Sri Hassan Azhari dan Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad.

Nik Jaafar berkata, minatnya terhadap ilmu al-Quran ini bermula dengan mengikuti datuknya, Mohd Yusuf Kedondong yang juga Qari Raja Kelantan mengajar al-Quran di Istana Negeri.

“Saya sering dibawa datuk ke istana untuk mengajar al-Quran di sana dan dalam masa yang sama juga saya berpeluang menuntut ilmu bersama kerabat Diraja Kelantan lain.

“Ketegasan beliau mengajar al-Quran mencambah minat saya mendalami ilmu al-Quran, bukan saja dari sudut bacaan tapi juga lenggok seni bacaan,” katanya.

Tidak sekadar berguru dengan datuknya, Nik Jaafar juga mendalami seni bacaan al-Quran dengan Qari Istana Kelantan, Che Musa Mahmod. Malah pencarian ilmu beliau tidak terhenti di situ apabila turut mempelajari ilmu taranum daripada johan qari Majlis Tilawah al-Quran 1961, Ahmad Maasum Pergau. Beliau juga tidak melepaskan peluang keemasan yang ada apabila mengikuti kursus tilawah al-Quran bersama Asy-Sheikh Mahmood Hafiz Muhammad Mustafa dan Asy-Sheikh Dr Ahmad dari Mesir.

Fahami bait al-Quran

Ketika bertugas sebagai hakim tilawah al-Quran, Nik Jaafar bukan sekadar memberikan markah, tapi beliau kerap menjadi pakar rujuk kepada peserta yang mengikuti pertandingan terbabit sama ada dari dalam dan luar negara.

Usaha dan ilmu yang dimilikinya membolehkan beliau membantu melahirkan ramai johan tilawah al-Quran peringkat antarabangsa seperti Ibrahim Harun, Faridah Mat Saman Fatimah Mat Diah, Radhi Kamarul Hailan, Datuk Hanizah Jalaludin.

Nik Jaafar berkata, lebih 35 tahun menjadi hakim tilawah al-Quran peringkat kebangsaan dan antarabangsa, memberikan pengalaman cukup berharga buat dirinya.

Malah dari situ, beliau juga dapat melihat revolusi yang berlaku sepanjang penganjuran majlis tilawah yang diadakan sejak 1957. Misalnya, ketika ini ada juga dalam kalangan peserta yang menyertainya dengan niat yang sudah menyimpang, semata-mata untuk menang pertandingan.

“Peserta sekarang terlampau mahu mencari kemenangan dengan menonjolkan kehebatan masing-masing sehingga lupa kepada kekuatan al-Quran. Bagi saya memahami setiap bait ayat al-Quran itu lebih penting.

“Menjadi tugas saya juga sebagai hakim memberi kefahaman supaya tidak timbul salah faham masyarakat terhadap majlis tilawah yang diadakan,” katanya.

Ketika ini pada usia semakin lanjut, Nik Jaafar tetap merasakan tanggungjawab sebagai guru al-Quran untuk terus membimbing terutama pelajar dan guru al-Quran mengenai cara bacaan yang betul tidak pernah berhenti.

Selain menjadi imam di Masjid Kampung Kedondong, beliau juga menubuhkan pusat pembelajaran al-Quran dikenali Majlis Raudhah al-Tilawah al-Quran di Pasir Mas, Kelantan.

“Kebanyakan orang kita belajar al-Quran dengan guru kampung menjadikan cara bacaannya mengikut cara Melayu. Sedangkan al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab, menjadikan bacaan orang kita banyak bengkang-bengkok dan tidak mengikut cara betul,” katanya.

“Jadi dengan ilmu yang dimiliki saya menubuhkan pusat pembelajaran al-Quran supaya masyarakat kita mendapat panduan yang betul dalam pembacaan al-Quran,” katanya.

Jejak langkah Nik Jaafar dalam ilmu taranum ini turut diikuti oleh anak-anaknya terutamanya Nik Azizan, 44, yang turut hebat dalam taranum dan sering diundang menjadi tetamu di radio IKIMfm.

Kata bapa kepada 10 cahaya mata ini, anak-anaknya sememangnya didedahkan dengan al-Quran dan ilmu taranum ini sejak kecil lagi.

“Sebagai bapa tentu sekali saya ingin melihat ada waris yang akan meneruskan usaha saya dalam ilmu taranum,” katanya.

572 dibaca
Berita Harian X