Rabu, 21 November 2018 | 9:36pm
PESERTA eksplorasi Maulid Run dilepaskan di hadapan Masjid BTHO, dikehendaki menyempurnakan semua cabaran di enam hentian disediakan. - NSTP/Saifullizan Tamadi

Maulid Run suntik kecintaan kepada Rasulullah SAW

DEMI menghidupkan rasa cinta terhadap Rasulullah SAW khususnya dalam kalangan remaja, Masjid Bandar Tun Hussein Onn (BTHO) di Cheras, mencipta kelainan dengan memperkenalkan Maulid Run.

Julung kali diadakan, aktiviti berkonsepkan cabaran eksplorasi dengan menaiki beca dinamakan Maulid Run itu, antara inisiatif menyemarakkan program tahunan masjid iaitu Minggu Cinta Rasul yang berlangsung sehingga Ahad ini.

* Seramai 78 peserta menyertai Maulid Run

* Enam surau dalam kariah Masjid BTHO sebagai penganjur bersama

* Pengisian sembilan program sepanjang Maulidur Rasul


UPACARA pelepasan peserta Maulid Run oleh Nazir Masjid, Prof Madya Dr Mohd Zaki Hamzah (kiri) dan Ketua Program, Fairuz Mohamad, sempena Minggu Cinta Rasul 1440h di perkarangan Masjid BTHO. - NSTP/Saifullizan Tamadi

CHERAS: Maulid Run diperkenalkan Masjid Bandar Tun Hussein Onn (BTHO) di sini, memberi peluang kepada ahli kariah untuk merasai sendiri pengalaman dakwah, cabaran dan kesusahan sebagaimana dilalui Baginda Rasulullah SAW.

Program berkonsepkan cabaran eksplorasi menaiki beca yang dinamakan Maulid Run itu, memerlukan peserta melalui perjalanan sejauh tujuh kilometer, sambil menunaikan pelbagai cabaran disediakan.

Timbalan Nazir Masjid BTHO, Mohamad Fairuz Mohamad, berkata Maulid Run menyediakan platform sangat baik kepada peserta kerana mereka dapat bertemu secara langsung dan lebih dekat dengan masyarakat sekitar.

“Melalui program ini, peserta bergerak secara berkumpulan menaiki beca bermula di Masjid BTHO seawal jam 8 pagi, untuk menyelesaikan cabaran berbeza di enam hentian disediakan.

“Perjalanan Maulid Run membabitkan jarak tujuh kilometer. Selain cabaran utama, peserta turut menempuhi ujian sampingan termasuk ada kumpulan yang tayar becanya pancit serta kesukaran untuk mengayuh di kawasan berbukit, namun ibrahnya, ia tidak sesukar dugaan dihadapi Rasulullah SAW dalam menyampaikan dakwahnya,” katanya.


EKSPLORASI Maulid Run menggunakan pendekatan berhibur sambil beribadah, menarik minat peserta sempena penganjuran Minggu Cinta Rasul 1440h peringkat Masjid BTHO. - NSTP/Saifullizan Tamadi


PESERTA Maulid Run berdoa sebelum dilepaskan sempena eksplorasi Minggu Cinta Rasul 1440h di perkarangan Masjid BTHO. - NSTP/Saifullizan Tamadi

Ajak peserta kenali Rasulullah SAW

Beliau yang juga Penyelaras Program Minggu Cinta Rasul 2018 berkata, selain cabaran dalam bentuk permainan, peserta juga didedahkan dengan cara hidup dan perjuangan ketika hayat Rasulullah SAW.

“Di hentian kedua, peserta dikehendaki berniaga cara Rasulullah SAW, di mana mereka perlu menjual air mineral kepada masyarakat setempat.

“Ia mengajar mereka memasang strategi dalam berniaga dan menyuburkan minat menjadi usahawan Muslim yang berjaya. Menariknya ada peserta berjaya menjual sehingga 50 botol air mineral dalam tempoh kurang 15 minit,” katanya.

Cabaran lain termasuk sukan sunnah iaitu memanah, selain peserta dikehendaki mengedarkan risalah dakwah bagi mengajak orang ramai termasuk bukan Islam untuk menyemarakkan Minggu Cinta Rasul 2018.


PESERTA Maulid Run ceria ketika upacara pelepasan eskplorasi di hadapan Masjid BTHO, sempena Minggu Cinta Rasul 1440h. - NSTP/Saifullizan Tamadi

Terap pengisian santai

Mohamad Fairuz berkata, Minggu Cinta Rasul 2018 yang mengangkat tema ‘Suburkan Jiwa, Sayangi Rasulullah SAW’ itu menyediakan aktiviti yang pelbagai serta bersesuaian untuk keperluan semua peringkat umur.

“Masjid BTHO ingin tonjolkan amalan beragama ini tidak semestinya hanya tertumpu kepada ceramah dan dihadiri golongan berserban sahaja.

“Kami ingin buang stigma ini kerana dalam mencintai Rasulullah SAW tidak semestinya kita perlu diselubungi perasaan sedih, tetapi boleh juga diisi dengan hiburan bermanfaat.

“Antaranya, bagi penutupan Minggu Cinta Rasul 2018 pada Ahad ini, kami akan menjamu ahli kariah dengan jamuan barbeku selepas solat Maghrib, diikuti majlis Haflah al-Quran yang membariskan qari di peringkat antarabangsa bagi memperdengarkan bacaan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, program sepanjang Minggu Cinta Rasul 2018 tidak hanya berlangsung di masjid, tetapi bergilir-gilir di semua surau dalam kawasan kariahnya iaitu Surau al-Siddiq, Surau al-Amin, Surau al-Ansar, Surau an-Nur, Madrasah Cheras Perdana dan Surau al-Fathonah.

Berita Harian X