Rabu, 21 November 2018 | 5:10pm
SAMBUTAN Maulidur Rasul di kawasan khemah sementara di perkampungan Kabonena. - Foto BERNAMA

Umat Islam Palu tetap semangat sambut Maulidur

PALU : Gempa bumi dan tsunami yang menimpa masyarakat Palu pada 28 September lalu, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 2000 penduduk sedikit pun tidak mematahkan semangat warganya untuk mengisi sambutan Maulidur Rasul walaupun dalam keadaan serba sederhana.

Masyarakat Kota Palu yang majoriti penduduknya beragama Islam menganggap bencana yang menimpa mereka adalah sebahagian ujian Allah SWT untuk menjadikan mereka insan yang lebih baik.

Seorang penduduk tempatan, Vania Qanita Damayanti, 17, berkata sambutan kali ini tidak sama seperti tahun lepas yang disambut meriah dengan berarak sambil berselawat mengelilingi bandar.

“Pada tahun ini, sambutannya kurang meriah kerana kebanyakan mangsa masih terkesan dengan apa yang berlaku tempoh hari.

“Kita hanya menyambutnya secara ringkas dengan berselawat kepada Rasulullah SAW di samping bersedekah bacaan Yasin kepada mangsa yang terkorban dalam bencana itu,” katanya ketika ditemui di kawasan khemah sementara di perkampungan Kabonena.

Tinjauan BERNAMA mendapati selain aktiviti berselawat serta berzikir, sambutan itu turut menyelitkan program pemulihan trauma kepada mangsa bencana terutamanya kanak-kanak yang diselia pasukan Sukarelawan Sulawesi Tengah (Relawan Sulteng).

Bagi Relawan Sulteng, Risnawati, 38, dia bersama kumpulannya hadir ke khemah berkenaan bagi memberi suntikan semangat kepada kanak-kanak supaya kembali pulih seperti biasa.

“Hari ini kita menyambut Maulidur Rasul dalam keadaan sederhana, namun kanak-kanak di sini sentiasa bersemangat ketika memuji nama baginda Rasulullah SAW.

“Di samping itu, kita selitkan program pemulihan trauma bagi mengembalikan semangat mereka untuk bangkit semula daripada dugaan hidup yang mencabar ini,” katanya.

Risnawati berkata, acara kemuncak sambutan itu adalah dengan makan beramai-ramai juadah tradisi setiap kali sambutan ini diadakan.

“Jagung, keledek dan Gamik iaitu campuran kelapa, cili dan mangga menjadi menu wajib yang ada ketika sambutan maulidur ini. Aktiviti seperti ini dapat merapatkan hubungan antara satu sama lain,” katanya.

Risnawati berharap semangat masyarakat Palu akan kembali pulih seperti sebelumnya supaya sambutan Maulidur Rasul akan datang menjadi lebih meriah tanpa melupakan tragedi ini. - BERNAMA

172 dibaca
Berita Harian X