Ahad, 18 November 2018 | 4:00pm

Sahsiah pendakwah jadi tarikan

KUALA LUMPUR: Seni menyantuni manusia sebahagian daripada prinsip dakwah yang penting, tetapi diambil mudah oleh umat Islam dalam menyeru manusia ke arah akidah yang benar.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim, berkata manusia akan mudah mendengar dan mengikut seruan seseorang yang dilihat sudah mengamalkan apa yang didakwah, bijak menyantuni manusia dan pernyataan rasa kebersamaan.


Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Beliau berkata, setiap manusia berhak untuk disantuni walaupun mungkin ada sesetengah tindakan dan pandangan mereka berbeza dengan pendirian pendakwah.

Selari dengan keperluan itu, katanya, JAKIM mengangkat tema ‘Menyantuni Umat Membawa Rahmat’ bagi Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan tahun ini.

Mohamad Nordin berkata, majlis akan berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Selasa ini bermula jam 8.30 pagi.

“Tema Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW kali ini bertepatan dengan konteks semasa kerana Islam menganjurkan umatnya agar berakhlak dan berbudi pekerti mulia dalam setiap perbuatan mahupun tutur kata.

“Dalam konteks ini, umat Islam diwajibkan mengikuti dan memiliki sifat dan akhlak Nabi Muhammad SAW.

“Ia pedoman setiap insan dan perlu dijadikan amalan dalam kehidupan setiap Muslim,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur.

Majlis bersempena memperingati hari kelahiran Rasulullah SAW ini dijangka dihadiri lebih 4,000 peserta dalam kalangan agensi kerajaan, swasta, badan berkanun, badan beruniform, pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) dan pelajar.

Anugerah Perdana

Menyentuh mengenai persiapan Maj-lis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan, Mohamad Nordin berkata, pelbagai acara dirancang bagi menghidupkan sambutan kali ini.

“Selain membabitkan kontinjen daripada agensi kerajaan, swasta dan pelajar, acara akan dimulakan dengan ucapan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan.

“Majlis akan disempurnakan oleh Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, yang juga Sultan Perak dan keberangkatan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

“Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan timbalannya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dijangka turut hadir,” katanya.

Mohamad Nordin berkata, kemuncak sambutan pada tahun ini ialah penyampaian penghargaan kepada seorang tokoh untuk Anugerah Perdana dan empat orang penerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan.

“Penerima Anugerah Perdana akan menerima wang tunai berjumlah RM50,000 berserta trofi dan sijil penghargaan.

“Penerima Anugerah Maulidur Rasul yang lain akan menerima wang tunai RM20,000 berserta trofi dan sijil penghargaan,” katanya.

Mohamad Nordin berkata, masyarakat di seluruh dunia boleh menonton live streaming di web TV JAKIM dengan melayari laman sesawang menerusi pautan www.tvjakim.my.


SENI menyantuni manusia sebahagian daripada prinsip dakwah. - Foto hiasan

Semangat perpaduan

Mohamad Nordin berkata, kesejahteraan negara menuntut keikhlasan dan komitmen daripada semua pihak dalam memastikan semangat perpaduan dan kesefahaman terus segar.

Katanya, kesejahteraan sesebuah negara itu dibina di atas landasan kesederhanaan, kesantunan dan kesatuan dengan satu matlamat ke arah kemajuan dan pembangunan seimbang.

“Islam agama yang membawa rahmat kepada seluruh manusia tanpa mengira pangkat, darjat, keturunan dan bangsa.

“Kesempurnaan dan kelestarian Islam amat terserlah melalui layanan terhadap semua makhluk Allah SWT di muka bumi ini menerusi hukum hakam dan perundangan yang dibawa,” katanya.

Galas tanggungjawab

Beliau berkata, selari dengan sambutan Maulidur Rasul kali ini, ia masa yang amat bersesuaian untuk setiap umat Islam menggalas tanggungjawab membawa agama mulia ini agar dapat ia dapat difahami dengan baik oleh semua peringkat masyarakat.

Katanya, Islam satu-satunya agama yang diiktiraf oleh Allah SWT dan setiap orang Islam perlu berusaha mencambah minat umat manusia mengenali Islam dengan lebih dekat.

“Amatlah perlu untuk kita merujuk kembali kepada Islam sebenar berasaskan al-Quran dan hadis untuk menjamin kekuatan umat dan mencerminkan konsep Islam sebagai agama ‘rahmatan lil alamin’ (rahmat ke seluruh alam),” katanya.

403 dibaca
Berita Harian X