Khamis, 15 November 2018 | 2:28pm

Zaman berbeza bukan alasan tidak contohi Nabi

KUALA LUMPUR: Kita selalu mengakui Rasulullah SAW sebagai contoh akhlak terbaik tetapi tidak diterjemahkan dalam bentuk perbuatan sekurang-kurangnya memperbaiki kekurangan diri, sekali gus menjadi Mukmin tinggi budi pekerti, sahsiah dan keperibadian.

Implikasinya, lahirlah masyarakat yang tidak luhur dalam setiap pekerjaan dilakukan sehingga menampilkan imej yang dipandang negatif termasuk dalam kalangan bukan Islam.

Pensyarah Jabatan Dakwah dan Usuluddin, Fakulti Pengajian dan Peradaban Islam, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Dr Nurhanisah Senin, berkata kesempurnaan Rasulullah SAW tiada tandingan tetapi kita tidak boleh menjadikannya sebagai alasan untuk tidak menjadi Mukmin terbaik.

“Allah tidak memandang kepada hasil sesuatu tetapi kepada usaha mencapainya sehingga apa yang lebih penting usaha untuk berhijrah ke arah yang lebih baik.

“Sebagai insan lemah, kita memerlukan panduan sebagai contoh ikutan dan tiada manusia yang lebih baik serta elok akhlaknya melainkan Baginda,” katanya kepada BH.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan bahawa sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang sangat mulia.” (Al-Qalam: 4).

Rasulullah SAW juga bersabda: “Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak mulia.” (HR Baihaqi)

Nurhanisah berkata, kepentingan akhlak dalam risalah Nabi Muhammad SAW adalah untuk membangunkan masyarakat menerusi pembinaan karakter yang diajarkan menerusi teladan dipamerkan Baginda.

“Akhlak yang baik menunjukkan iman teguh, manakala akhlak buruk cerminan kepada keimanan yang lusuh.

“Akhlak dan akidah sangat berkait rapat hingga realiti umat Islam kini menunjukkan kebejatan sosial lahir daripada keimanan yang lemah kerana pengaruh Barat mencengkam pemikiran umat Islam,” katanya.

Zaman berbeza bukan alasan

Beliau berkata, alasan zaman Rasulullah SAW berbeza dengan keadaan hari ini tidak sepatutnya dijadikan isu kerana Baginda melalui ujian jauh lebih dahsyat berbanding pelbagai cabaran dan dugaan kita.

“Jika ditelusuri sirah, Nabi Muhammad SAW dilahirkan di tengah masyarakat yang sibuk melakukan kemaksiatan tetapi Baginda sedikit pun tidak terkesan dengan pengaruh masyarakat jahiliah.

“Sebaliknya Baginda tidak pernah melakukan sebarang perbuatan keji hingga mendapat gelaran al-Amin yang amanah dan dipercayai masyarakatnya,” katanya.

Nurhanisah berkata, masih belum terlambat untuk kita menjadikan Rasulullah SAW sebagai qudwah hasanah atau contoh teladan tetapi ia hanya dapat dilaksanakan sekiranya kita mengenali Baginda secara mendalam.

“Apabila seseorang mengenali Rasulullah SAW, pasti akan timbul perasaan untuk meneladani akhlaknya kerana ketinggian budi pekerti seperti sahabat RA bertemu Baginda, pasti akan terasa keindahannya.

“Setiap jiwa yang benar-benar mengenali pekertinya pasti akan timbul rasa cinta terhadap Baginda, sekali gus mendorong kita menzahirkan akhlak seperti ditonjolkan Rasulullah SAW,” katanya.

Beliau berkata, menjadi tanggungjawab Muslim untuk sentiasa memperbaharui pengetahuan mengenai Rasulullah SAW menerusi pembacaan khususnya sorotan sirah Nabi serta syamail (kesempurnaan) dan khasais (keistimewaan) Baginda.

Menerusi ilmu ini, pasti akan timbul rasa cinta yang perlu dicambah dengan amalan menerusi majlis selawat dan zikir.

“Apabila cahaya kecintaan terhadap Baginda memenuhi ruang dalam jiwa, maka untuk mengikuti jejak langkahnya menjadi mudah untuk dilazimi.

“Dalam hadis, Saidatina Aisyah ditanya mengenai akhlak Rasulullah SAW, beliau menjawab akhlak Nabi ialah al-Quran,” katanya.

Justeru katanya, ia menggambarkan kesempurnaan akhlak yang termaktub dalam al-Quran, sekali gus menuntut umat Islam perlu benar-benar mendalami kitab suci itu untuk menghayati dan mendalami akhlak Baginda.

Nurhanisah berkata, banyak hadis yang merujuk kepada perilaku Baginda Rasulullah SAW dalam melaksanakan urusan duniawi.

Aisyah RA menceritakan: “Rasulullah SAW bukan seorang yang keji tabiatnya, bukan pula sengaja melakukan kekejian dan bukan juga suka bertempik atau memekik di pasar. Baginda tidak membalas keburukan dengan keburukan tetapi memaafkan dan berlapang dada.” (HR Tirmizi)

Jabir ibnu Abdullah RA menceritakan: “Tidak pernah sekalipun apabila diminta sesuatu, Rasulullah SAW menjawab ‘tidak’.” (HR Bukhari)

Ketinggian akhlak Nabi

Beliau turut berkongsi anekdot ketinggian akhlak Nabi Muhammad SAW sehingga orang bukan Islam akhirnya tertarik dan kemudian memeluk Islam.

“Antara peristiwa ialah Rasulullah SAW menziarahi pemuda Yahudi yang sakit dan tidak terus memarahi orang Badwi yang membuang air di dalam masjid, selain turut memaafkan semua orang ketika pembukaan kota Makkah,” katanya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan jika seseorang antara orang musyrik itu meminta perlindungan kepadamu, maka lindungilah supaya dia sempat mendengar firman Allah, kemudian hantarkannya ke tempat aman baginya. Demikian itu disebabkan mereka kaum yang tidak mengetahui.” (al-Taubah: 6)

“Ibnu Kathir menyebut, ayat ini menjadi model pergaulan Nabi dengan orang bukan Islam. Hal ini jelas dalam peristiwa Hudaibiyah apabila utusan Quraisy, ‘Urwah ibnu Mas‘ud, Mukriz ibnu Hafs dan Suhail ibnu ‘Amru datang kepada Rasulullah SAW, lalu dan diberi keamanan oleh Baginda,” katanya.

Berita Harian X