Ahad, 11 November 2018 | 8:27am

Hafiz Hamidun semarak cinta Nabi melalui muzik

RASULULLAH SAW menjadi subjek penting dan utama dalam kebanyakan karya penggiat seni serba boleh, Hafiz Hamidun. Bahkan, penyanyi yang dilantik sebagai Ikon #JomCintaNabi anjuran BH ini melihat platform muzik mampu memupuk perasaan cinta kepada Nabi Muhammad SAW.

Penyanyi dan komposer yang berasal dari Teluk Intan ini berkata, Rasulullah SAW menjadi inspirasi kepada banyak lagu ketuhanan yang dihasilkannya.

“Saya pernah merakam lagu nasyid Lawkana Bainana dalam album Zikir Terapi Diri pada 2011 dan ramai meminati lagu yang juga karya asal Abdulrahman Mohammed dari Arab Saudi itu.

“Justeru, saya mengeluarkan album khas berjudul I Love Rasulullah pada 2015 yang mengandungi nasyid dan selawat Rasulullah SAW seperti Penyelamat serta Kasih Padamu,” katanya pada BH selepas Majlis Pelancaran Kempen #JomCintaNabi di Balai Berita, The New Straits Times Press (NSTP), Kuala Lumpur.

Miliki cara tersendiri

Menurut Hafiz, setiap orang mempunyai cara tersendiri untuk menyalurkan kecintaan mereka kepada Nabi Muhammad SAW.

“Karya sebegini membolehkan lebih ramai mengenali dan mencintai Nabi SAW menerusi lagu serta selawat.

“Sebagai individu terbabit secara langsung dalam penghasilan dan penerbitan kandungan lagu dakwah, tidak salah untuk menjadi lebih kreatif tetapi tetap perlu memelihara batas agama,” katanya.

Hafiz turut memaklumkan beliau bakal mengeluarkan album terbaru, iaitu Nur Zikir Terapi IV yang mengandungi 10 rangkaian zikir lazim.

“Ia kesinambungan daripada album zikir terapi sebelum ini dan menggunakan pendekatan sama serta boleh didapati dalam bentuk cakera padat, muat turun digital dan streaming melalui platform digital.

“Pada tahun depan, saya merancang mengeluarkan sebuah lagi album yang memuatkan kandungan khusus bertemakan Rasulullah SAW.

“Proses rakaman album ini dibuat di negara ini, Indonesia, Turki dan Mesir serta besar harapan saya ia akan menjadi buah tangan istimewa khusus untuk pencinta Rasulullah SAW di seluruh dunia kerana menggunakan bahasa Arab dan Inggeris,” katanya.

Hafiz berkata, dakwahnya tidak terhad di pentas muzik, tetapi statusnya sebagai selebriti dan usahawan membuka pelbagai peluang termasuk dijemput sebagai penceramah.

Fokus aspek pendidikan, keusahawanan

“Undangan sebagai penceramah diterima di seluruh negara tetapi saya lebih fokus kepada aspek pendidikan dan keusahawanan.

“Saya sering diundang memberikan ceramah di universiti awam dan swasta, kementerian, agensi kerajaan dan sekolah, selain lokasi umum.

“Peluang ini digunakan sebaik-baiknya untuk turut berdakwah, bukan hanya sesama Islam bahkan menyeluruh meliputi orang bukan Islam,” katanya.

Mengulas pembabitan beliau sebagai Ikon #JomCintaNabi, Hafiz menganggap ia tanggungjawab dan kepercayaan yang diberikan BH kepadanya, sekali gus berbesar hati untuk berkongsi dengan masyarakat, khususnya pengikut media sosial untuk mencapai matlamat utama kempen ini.


HAFIZ Hamidun ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran Kempen 'Jom Cinta Nabi' di Balai Berita NSTP, Bangsar, baru-baru ini. - NSTP/Saddam Yusoff

“Penganjuran kempen #JomCintaNabi ini sangat baik kerana sebelum ini program seumpamanya diadakan secara bermusim.

“BH pula menjadi peneraju dengan mengadakan kempen dalam tempoh sebulan yang turut mendapat sokongan rakan strategik daripada agensi kerajaan dan korporat.

“Sebagai selebriti, saya anggap ini sebahagian peranan untuk menjadi contoh dan mengajak masyarakat untuk terbabit sama dalam program keagamaan,” katanya.

Antara pengisian kempen #JomCintaNabi yang turut menampilkannya, ialah klip selawat yang akan dipaparkan di media sosial BH.

Peminat Hafiz juga boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai pengisian sepanjang kempen #JomCintaNabi di laman sosial peribadi beliau.

Jadi teladan kehidupan

Sempena kedatangan Maulidur Rasul yang akan disambut pada 20 November ini, Hafiz berharap masyarakat sentiasa istiqamah dan menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai teladan dalam segenap kehidupan.

“Tidak menjadi masalah jika kita belum cukup mengenali Baginda kerana hari ini terlalu banyak sumber yang boleh kita dapat dan pelajari.

“Pada saya, tidak ada usia yang terlalu muda untuk kita mengenal dan mencintai Nabi SAW, malah tiada juga usia yang terlalu tua untuk kita terlewat mengenal serta mencintai Baginda.

“Biarpun zaman ini terdapat pelbagai cabaran yang dihadapi oleh masyarakat Muslim di seluruh dunia, kita harus sentiasa memberikan contoh dan teladan yang terbaik.

Hafiz berkata, Muslim yang hebat akan terlihat dari akhlak hebat, manakala sebaik-baik akhlak yang perlu kita contohi ialah akhlak Rasulullah SAW.

298 dibaca
Berita Harian X