Sabtu, 3 November 2018 | 7:59pm

Pendakwah Palestin muslimat pertama hasilkan tafsir lengkap

 • Nama Dr Naelah Hashim Sabri, 74, atau Syeikhah Naelah mungkin kurang dikenali dalam kalangan umat Islam Malaysia, namun sumbangan beliau akan kekal terpahat selaku wanita Islam pertama mengarang kitab tafsir al-Quran lengkap iaitu ‘Al-Mubashir Li Nur Al-Quran’.

• ‘Al-Mubashir Li Nur Al-Quran’ mengandungi 11 jilid.

• Penghasilan kitab mengambil masa 22 tahun.

• Rujukan utama - Tafsir Tabari, Tafsir Qurtubi, Tafsir Ruh al-Ma’ani oleh Imam al-Alusi serta beberapa kitab utama tafsir

• Selain berdakwah, Syeikhah Naelah turut aktif dalam aktiviti sukarelawan

KUALA LUMPUR: Pada kaca mata Dr Naelah Hashim Sabri atau Syeikhah Naelah, penghasilan kitab tafsir lengkap ‘Al-Mubashir Li Nur Al-Quran’ menjadi jihad untuk menegakkan Islam.

Mengambil kira penjajahan Israel ke atas tanah bumi kelahirannya iaitu Palestin dan Baitulmaqdis, katanya kajian beliau mendapati tanah umat Islam ke tangan Zionis disebabkan jauhnya umat Islam dengan al-Quran.

“Hal ini menggerakkan saya untuk memulakan kajian tafsir, sehingga berjumpa ayat al-Quran yang menyuruh wanita beriman melabuhkan tudung mereka.

“Saya terfikir kejatuhan umat Islam bermula daripada mereka yang tidak menutup aurat dengan sempurna sehingga mendorong saya untuk mula membaca ratusan kitab tafsir sebelum ini,” kata figura dakwah itu melalui wawancara khas bersama BH di Kuala Lumpur.

Syeikhah Naelah berkunjung ke negara ini bersama suami beliau yang juga Imam Besar Masjid al-Aqsa, Sheikh Dr Ekrima Sa’id Sabri, dalam rangka memaklumkan situasi terkini Palestin khususnya di Masjid al-Aqsa.

Mengenai penulisan kitab tafsir ‘Al-Mubashir Li Nur Al-Quran’ itu, beliau berkata, ia ditulis dengan gaya bahasa moden dan penulisan kontemporari, dengan harapan dapat dibaca dalam kalangan orang awam, terutama belia yang diharap mampu menjadi pembela agama pada masa depan.

“Sepanjang menyiapkan kitab ini, apa yang menyukarkan saya ialah memahami beberapa potongan ayat yang kadang kala mengambil masa berhari-hari, bahkan berminggu untuk fahami dengan tepat kehendak dan maksud sebenar.

Rujuk kitab fahami maksud

“Antara rujukan utama ketika memahami ayat yang sukar ialah Tafsir Tabari, Tafsir Qurtubi, Tafsir Ruh al-Ma’ani oleh Imam al-Alusi dan beberapa kitab utama tafsir yang lain.

“Ia ditambah pula dengan kesedaran agama yang agak nipis dalam umat Islam sehingga ada yang mengejek dan tidak menyokong usaha ini, tetapi apabila ia berjaya diterbitkan ramai yang mula membuka mata,” katanya.

Mengulas pembabitan awalnya dalam dunia dakwah, Syeikhah Naelah berkata, ia bermula kira-kira 20 tahun lalu apabila mula menulis dan kemudian mengajar tafsir di Masjid al-Aqsa.

“Ketika mengajar di Masjid al-Aqsa, saya sudah menyelesaikan 15 juzuk kitab tafsir ini dan meneruskan dakwah dengan mengajar dalam bidang sama, sehinggalah digelar pendakwah wanita.

“Tidak dinafikan, kami pendakwah wanita menghadapi banyak tekanan daripada penjajah Israel. Pernah satu ketika apabila saya hadir ke Masjid al-Aqsa untuk mengajar kelas tafsir, tentera Israel bersikap kasar dan menghalang kami daripada memasukinya. Bahkan ada wanita dihalang masuk selama beberapa bulan,” katanya.

Syeikhah Naelah berkata, selain dakwah, beliau turut aktif sebagai aktivis wanita Islam di Baitulmaqdis selama lebih 30 tahun dengan menerajui pimpinan Badan Kebajikan Wanita Islam Baitulmaqdis.

“Badan ini tidak mampu bertahan dan terpaksa ditutup kerana kekangan kewangan termasuk membayar elaun pekerja, selain ketiadaan peruntukan untuk menjaga kebajikan dan hak wanita Islam.

“Tambahan pula ia badan kebajikan Islam, jadi ia sesuatu yang amat sensitif kepada Israel kerana mereka memusuhi Islam. Hal ini menyukarkan kami memperoleh bantuan kewangan dan terpaksa dihentikan,” katanya.


DR Naelah Hashim Sabri atau Syeikhah Naelah. - NSTP/Rosdan Wahid

Tetap aktif kerja sukarelawan

Katanya, walaupun tanpa Badan Kebajikan Wanita Islam Baitulmaqdis, beliau masih aktif melakukan kerja sukarelawan termasuk memberikan motivasi kepada pendakwah wanita supaya tidak gentar terhadap ancaman Israel, dengan meneruskan penyampaian ilmu agama demi maslahah umat Islam.

“Saya banyak bertemu golongan sukarelawan yang berkebolehan dalam dunia dakwah. Saya menggalakkan mereka supaya terjun dalam dunia dakwah ini.

“Ia masih boleh dilakukan dengan cara mengunjungi masjid ke masjid, mengajar bidang seperti tajwid dan tafsir. Namun, semuanya perlu dibuat secara sukarela kerana tiada elaun seperti pendakwah di negara lain,” katanya.

Di akhir pertemuan, Syeikhah Naelah turut menitipkan pesanan kepada umat Islam di tanah air khususnya yang ingin membantu Muslimah yang berada di bumi bergolak, Palestin.

“Setakat ini, bantuan luar amatlah diperlukan, antaranya kami ada menerima tudung yang dikirimkan kepada wanita di Palestin hasil sumbangan masyarakat Indonesia dan Turki.

“Kami mengharapkan bantuan khas untuk wanita terutama hijab kerana ia amat diperlukan di sana,” katanya.

Syeikhah Naelah berkata, beliau turut berharap pendakwah wanita dari Palestin diberikan peluang untuk menyampaikan ilmu di seluruh dunia Islam, memandangkan pelbagai halangan dan kekangan diterima di bumi sendiri.

Info: Dr Naelah Hashim Sabri

Asal: Baitulmaqdis, Palestin

Suami: Dr Ekrima Saed Sabri (Imam Besar Masjid al-Aqsa)

Kerjaya: Penulis, sasterawan, pengarang buku, aktivis dakwah serta kemanusiaan

Karya: Kitab tafsir ‘Al- Mubashir Li Nur Al-Quran’ (11 jilid), Ensiklopedia Nama-nama Allah (6 jilid)

Pencapaian: Wanita Islam pertama dunia mengarang kitab tafsir al-Quran yang lengkap

Berita Harian X