Khamis, 25 Oktober 2018 | 9:25pm
Gambaran ruangan luar dan dalam Masjid USIA Kota Kinabalu di Bandaran. - Foto Khairull Azry Bidin
Gambaran ruangan luar dan dalam Masjid USIA Kota Kinabalu di Bandaran. - Foto Khairull Azry Bidin

Masjid USIA Kota Kinabalu bukti sejarah keharmonian beragama

Siapa sangka binaan Masjid Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Kota Kinabalu, yang tersergam, sebelum ini sebenarnya adalah sebuah gereja. Terletak di atas tanah seluas 0.56 hektar di bukit berhampiran Padang Merdeka di sini, bangunan diubahsuai daripada gereja Seventh Day Adventist (SDA) itu merakam sejarah penting membuktikan perbincangan merentas agama boleh dibuat secara harmoni.

* Bangunan dibina pada 1930-an di atas bukit berhampiran Padang Merdeka

* Pada awal 1970-an, USIA membeli bangunan gereja dan tanah seluas 0.56 hektar dengan harga RM1.05 juta

* Penyerahan kunci gereja kepada USIA dibuat pada 20 Disember 1974

* Melalui pengubahsuaian, bangunan dijadikan sebagai masjid yang mampu memuatkan 2,000 jemaah


Kedudukan Masjid USIA Kota Kinabalu di atas bukit berhampiran Padang Merdeka, di sini, memberi nilai tambah kepada keindahan seni bina - Foto Khairull Azry Bidin

Kedudukan Masjid USIA Kota Kinabalu di atas bukit berhampiran Padang Merdeka, di sini, memberi nilai tambah kepada keindahan seni bina - Foto Khairull Azry Bidin

KOTA KINABALU: Sejarah melingkari Gereja Seventh Day Adventist (SDA) dan Masjid Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Kota Kinabalu, antara soalan sering ditanya apabila bercerita mengenai binaan yang memainkan peranan penting memenuhi keperluan umat Islam di bandar raya ini.

Berdasarkan sejarah, bangunan gereja dikatakan dibina sejak 1930-an itu diubahsuai kepada sebuah masjid selepas dibeli dengan harga RM1.05 juta ketika era Ketua Menteri Sabah, Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun, ketika itu Yang Dipertua USIA.

Inisiatif pembelian binaan diambil kerana ketika itu belum ada masjid dibina di kawasan bandar yang dapat memudahkan umat Islam khususnya dalam menunaikan solat Jumaat, selain solat lima waktu berjemaah.

Pada awalnya ia dikenali sebagai Masjid SDA mengambil sempena asal-usul bangunan gereja, tetapi dinamakan semula sebagai Masjid USIA Bandar Kota Kinabalu sejajar fatwa Mufti Sabah bahawa penggunaan nama asal tidak wajar.

Setiausaha Jawatankuasa Masjid USIA Bandar Kota Kinabalu, Damit Tajudin, berkata pembelian bangunan itu menjadi kenyataan selepas paderi gereja bersetuju menjual bangunan dan tanah tapak binaan kepada USIA, bagi kegunaan persatuan berkenaan.


Gambaran ruangan luar dan dalam Masjid USIA Kota Kinabalu di Bandaran. - Foto Khairull Azry Bidin

Gambaran ruangan luar dan dalam Masjid USIA Kota Kinabalu di Bandaran. - Foto Khairull Azry Bidin

“Perbincangan untuk membeli bangunan gereja dan tanah itu dimulakan Setiausaha Kerajaan Negeri ketika itu, Tan Sri Abdul Hamid Egoh yang akhirnya dipersetujui pihak gereja.

“Tidak ada mana-mana pihak marah dengan tindakan itu, malah sebelum pembelian dibuat bangunan gereja dikatakan kurang dikunjungi dan selalu kosong sehingga timbul cadangan supaya tanahnya dijual.

“Kebetulan pada masa itu belum ada masjid di kawasan bandar kecuali di Sembulan dan Likas yang lokasinya agak jauh. Jadi, USIA membuat keputusan membelinya," katanya.

Rundingan jual beli bangunan

Selepas urusan jual beli selesai, Damit berkata, USIA memperuntukkan kira-kira RM60,000 bagi melaksanakan kerja mengubah suai bangunan khususnya di ruangan dalaman, selain membina kubah bagi menonjolkan ciri masjid.

Bagaimanapun katanya, bentuk bangunan gereja dikekalkan, malah abjad SDA yang tertera di menara bangunan berkenaan turut dibiarkan dan ia antara sebab masjid berkenaan dikenali sebagai Masjid SDA.


Gambaran ruangan luar dan dalam Masjid USIA Kota Kinabalu di Bandaran. - Foto Khairull Azry Bidin

Ruang solat utama Masjid USIA Kota Kinabalu masih mengekalkan bentuk asal Gereja Seventh Day Adventist - Foto Khairull Azry Bidin

“Selepas fatwa penggunaan SDA tidak sesuai, pihak kami mengambil keputusan menutup bahagian tertera abjad SDA itu dengan cat dan menjenamakan semula sebagai Masjid USIA Bandar Kota Kinabalu.

“Walaupun bangunan asal tidak berubah sejak lebih 50 tahun lalu, beberapa pengubahsuaian lain khususnya menambah ruangan solat di bahagian belakang masjid dibuat bagi meningkatkan kapasiti jemaah terutama untuk solat Jumaat.

“Sekarang masjid ini boleh menampung sehingga 2,000 jemaah, iaitu 1,000 di ruangan solat utama dalam bangunan bekas gereja dan 1,000 lagi di ruangan terbuka di belakang masjid,” katanya.

Berdasarkan perancangan beliau berkata, USIA bercadang membangunkan semula masjid berkenaan dengan merobohkan bangunan sedia ada untuk dibina bangunan baharu yang lebih besar dan selesa, bagaimanapun kos tinggi menyukarkan cadangan itu dilaksanakan.


Kedudukan Masjid USIA Kota Kinabalu di atas bukit berhampiran Padang Merdeka, di sini, memberi nilai tambah kepada keindahan seni bina - Foto Khairull Azry Bidin

Ruang solat utama Masjid USIA Kota Kinabalu masih mengekalkan bentuk asal Gereja Seventh Day Adventist - Foto Khairull Azry Bidin

Pengisian tetap diutamakan

Mengenai pengisian, katanya Masjid USIA Bandar Kota Kinabalu mengadakan pelbagai aktiviti bagi mengimarahkan masjid termasuk mengadakan kelas Muqadam, belajar al-Quran dan bahasa Arab.

“Kelas biasanya diadakan dua atau tiga kali seminggu dikendalikan guru agama daripada USIA sendiri. Selain itu, jawatankuasa masjid biasanya melaksanakan program tahlil dan membaca al-Quran bagi mengisi malam Jumaat setiap minggu,” katanya.

Kedudukannya berdekatan pusat bandar raya menjadikan Masjid USIA Bandar Kota Kinabalu sebagai tumpuan umat Islam terutama untuk menunaikan solat Jumaat khususnya mereka yang bekerja di sekitar Bandaran Berjaya, Kampung Air, Jalan Gaya dan Asia City.

Bentuk seni bina bangunan yang unik dan agak berbeza dengan masjid lain, turut menarik perhatian sesiapa yang melihatnya, lebih-lebih lagi kedudukannya di atas bukit berhadapan terminal bas dan kereta sewa Bandaran Berjaya.

Di sebalik sejarah dan latar belakangnya, kewujudan Masjid USIA Bandar Kota Kinabalu banyak membantu menyebarkan syiar Islam di negeri itu, khususnya bandar raya ini.

Berita Harian X