Selasa, 23 Oktober 2018 | 9:01pm

Rasa kasihan tak cukup untuk bebaskan Masjid al-Aqsa

• Umat Islam di bumi Palestin ibarat ditinggal atau disisih masyarakat Islam dunia, lebih parah banyak negara Islam tunduk terhadap kuasa Barat khususnya dalam menyatakan pendirian politik.

• Malaysia, Turki antara yang teguh membantu.

• Tindakan melindungi, mempertahan dan menolak pencerobohan Israel ke atas Masjid al-Aqsa, sebahagian akidah umat Islam.

• Ziarah Masjid al-Aqsa yang masih dikuasai Israel ada manfaat dan mudarat.


TINDAKAN melindungi, mempertahankan dan menolak pencerobohan Israel terhadap Masjid al-Aqsa menjadi kewajipan setiap Muslim. - Foto AFP

KUALA LUMPUR: “Kasihanilah kami!” - Itu antara luahan Imam Besar Masjid al-Aqsa, Sheikh Dr Ekrima Sa’id Sabri, supaya dunia memandang nasib menimpa umat Islam di bumi bergolak itu.

Selain menegur negara Islam dan masyarakat Muslim seluruh dunia supaya bersatu dan tidak sesekali tunduk kepada tekanan kuasa besar khususnya Amerika Syarikat (AS), luahan sama menuntut tindakan lebih proaktif diambil untuk melindungi dan mengembalikan kota suci itu ke tangan umat Islam.

“Kami sedar masyarakat Islam mencintai Masjid al-Aqsa, tetapi kerajaan negara Islam berada di bawah tekanan kuasa besar khususnya AS.

“Kami merasakan bantuan diberikan negara Arab tidak memadai kerana tidak cukup dengan rasa kasihan saja, sebaliknya tidak disusuli tindakan melindunginya,” katanya kepada BH.

Sheikh Ekrima berada di negara ini bermula 16 Oktober lalu, melalui rangka kunjungan untuk berkongsi dan memaklumkan situasi terkini Masjid al-Aqsa.

Amat menyedihkan apabila beliau mengakui umat Islam di Palestin merasakan seolah-olah ditinggal atau disisihkan masyarakat Islam dunia, berikutan banyak negara Islam tunduk terhadap kuasa Barat khususnya dalam menyatakan pendirian politik.

“Saya lihat antara negara Islam yang teguh pendirian politik dan banyak memberikan bantuan (kepada Palestin) seperti Malaysia serta Turki.

“Sebenarnya bantuan diberikan negara dan umat Islam masih belum mencukupi kerana kerja ini perlu dilakukan secara beramai-ramai, seperti yang pernah berlaku dalam sejarah dunia Islam sebelum ini.


UMAT Islam perlu menyedari Masjid al-Aqsa ini menjadi sebahagian akidah umat Islam yang perlu dipertahankan secara bersungguh-sungguh. - Foto Reuters

Negara Islam sedang dipecah-belah

“Perkara ini sudah diseru berkali-kali, malangnya ia seakan tidak diendahkan dan saya yakin, negara Islam sedang dipecah-belahkan AS supaya kita tidak mampu untuk mendapatkan kembali Masjid al-Aqsa,” katanya.

Beliau yang menjadi imam di Masjid al-Aqsa sejak 1973 menambah, umat Islam perlu menyedari masjid itu menjadi sebahagian akidah umat Islam yang perlu dipertahankan secara bersungguh-sungguh.

“Sebagai Muslim, kita perlu sentiasa positif dan jangan sesekali berputus asa untuk mendapatkan semula Masjid al-Aqsa.

“Pertembungan ini ialah pertembungan akidah dan Allah SWT tidak akan membiarkan orang Islam begitu saja. Sebaliknya jika bersatu, akan mampu mendapatkannya semula,” katanya.

Beliau menegaskan tindakan melindungi, mempertahankan dan menolak pencerobohan Israel terhadap Masjid al-Aqsa menjadi kewajipan setiap Muslim.

“Kami, rakyat Palestin sentiasa bersedia menghadapi kepahitan ini kerana sudah pasti mereka (Israel) tidak akan memberikan perkara yang manis.

“Inilah yang harus dihadapi dan kami menganggap semua ini adalah jihad pada jalan Allah SWT,” katanya.


NEGARA Islam sedang dipecah-belahkan Amerika Syarikat supaya kita tidak mampu untuk mendapatkan kembali Masjid al-Aqsa. - Foto AFP

Masjid al-Aqsa milik seluruh umat Islam

Sheikh Ekrima turut mengingatkan Masjid al-Aqsa bukan hanya milik orang Palestin, sebaliknya hak seluruh umat Islam.

“Kami di Palestin bersedia kerana itu arahan Allah dan Rasul-Nya. Walaupun kami merasakan seakan-akan berseorangan, sudah pasti ada perancangan untuk membebaskan Palestin secara keseluruhannya bukan sekadar Masjid al-Aqsa.

“Kami berdoa agar ada seorang tokoh seperti Salahuddin al-Ayubi yang akan membebaskan Masjid al-Aqsa dan bumi Palestin,” katanya.

Mengulas perancangan jahat dilakukan Israel untuk menguasai Masjid al-Aqsa, Sheikh Ekrima berkata, sehingga kini serangan dan kezaliman di sana terus berlaku, termasuk membunuh serta mencederakan umat Islam.

“Sudah pasti mereka merancang kerja jahat kerana mereka sangat ingin menguasai Masjid al-Aqsa.

“Ini disebabkan keyakinan mereka bahawa kuil Yahudi kuno, Haikal Sulaiman berada di bawah Masjid al-Aqsa walaupun sebenarnya galian yang dilakukan menunjukkan tidak ada perkara seperti didakwa.

“Namun, mereka tetap meneruskan usaha untuk menguasai Masjid al-Aqsa dengan melakukan serangan ke atas umat Islam,” katanya.


IMAM Besar Masjid al-Aqsa, Sheikh Dr Ekrima Sa’id Sabri. - Rosdan Wahid

Manfaat, mudarat ziarah Masjid al-Aqsa

Sheikh Ekrima turut memberikan pandangan mengenai kemusykilan umat Islam yang ingin melakukan ziarah ke Masjid al-Aqsa, kerana ada yang berpandangan ia seakan-akan mengiktiraf pendudukan haram Israel ke atasnya.

“Tidak dinafikan, ziarah ke Masjid al-Aqsa ada faedah dan mudaratnya. Berfaedah jika kita pergi ke Masjid al-Aqsa untuk membantu mempertahankannya serta membantu orang Islam yang dizalimi di sana.

“Mudaratnya pula apabila kita terpaksa tunduk kepada Israel untuk mendapatkan visa ziarah. Oleh itu, kami menyerahkan perkara ini kepada umat Islam untuk membuat pertimbangan seadanya.

“Kami tidak mahu menghalang orang berziarah, tetapi pada masa sama tidak juga menyokong kepada membuka pintu lebih luas bermuamalah lebih-lebih lagi dengan Israel,” katanya.

Berita Harian X