Khamis, 18 Oktober 2018 | 7:57pm
Keadaan ruang solat utama masjid warisan berusia 108 tahun yang sudah dibaik pulih yang ditempatkan di lokasi baharu di Taman Seri Bougainvillea, Bandar Seri Botani. - Foto Balqis Jazimah Zahari

Masjid Kampung Teluk Memali rakam sejarah perkembangan Islam

Dianggap antara masjid tertua di daerah Perak Tengah, Masjid Kampung Teluk Memali atau kini dikenali Masjid Teluk Memali Seri Bougainvillea, menyimpan 1,001 kisah khususnya mengenai Kampung Bandar Baru yang pernah menjadi bandar diraja.

Pernah terbiar lebih 20 tahun, namun struktur dan seni bina masjid tetap utuh

Motif ukiran masjid memiliki pengaruh Sumatera, Belanda dan British, selain Asia Barat

Proses pemuliharaan menelan kos RM600,000 memberi nafas baru, namun struktur dan seni ukir lama tetap kekal

Makam Sultan Perak Ke-19, Almarhum Sultan Abdul Malik Mansur Shah dan kubur Residen British, JWW Birch, berada berdekatan

IPOH: Hampir 20 tahun terbiar di kawasan tebing Sungai Perak di Kampung Gajah, dekat sini, struktur dan seni bina Masjid Kampung Teluk Memali, tetap utuh berdiri di sebalik usianya yang melebihi seabad.

Walaupun melalui proses pemuliharaan, kehebatan hasil seni Islam masjid berusia 108 tahun itu masih kekal terakam, sekali gus memperlihatkan perkembangan Islam yang pesat di bandar raya ini.

Melalui proses pemuliharaan, seni bina itu diberi nafas baharu dengan nama Masjid Teluk Memali Seri Bougainvillea dan ditempatkan di lokasi baharu di Bandar Seri Botani, di sini.

Proses baik pulih masjid dilakukan firma seni bina ATSA Architects, dengan kerjasama arkitek terkenal, Datuk Dr Baharuddin Abu Kassim, selain Politeknik Ungku Omar (PUO) dan jawatankuasa masjid.


Masjid Kampung Teluk Memali dari Kampung Gajah yang dibaikpulih dipindahkan di lokasi baharu di Taman Seri Bougainvillea di Bandar Seri Botani dengan menggunakan kaedah ‘restorasi’ dan kini dikenali dengan baharu, Masjid Teluk Memali Seri Bougainvillea. - Foto Balqis Jazimah Zahari

Ketua Pegawai Eksekutif ATSA Architects, Azim A Aziz (kiri) menyerahkan dokumen kepada Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan) MAIPk, Mohd Haidi Sulaiman (kanan) pada Majlis Serahan Rasmi Tanda Penyiapan Bangunan Masjid Warisan di Masjid Kampung Teluk Memali-Seri Seri Bougainvillea. - Foto Balqis Jazimah Zahari

Ketua Pegawai Eksekutif ATSA Architects, Azim A Aziz, berkata pemuliharaan masjid mengambil kira kehebatan hasil seni Islam, dengan idea projek tercetus selepas membina Masjid Hijau Fisabilillah di Cyberjaya, selain penulisan buku berkenaan semua masjid lama di seluruh negara.

Katanya, pihaknya tertarik dengan seni bina itu selepas diperkenalkan pihak PUO yang menjalankan projek kajian terhadap struktur Masjid Kampung Teluk Memali di tapak asal.

“Mengikut kajian, struktur ini dibina sejak 1910 dan terbiar sejak 20 tahun lalu selepas air sungai naik dan berlaku penempatan semula penduduk kampung ke kawasan lebih tinggi.


Masjid Kampung Teluk Memali dari Kampung Gajah yang dibaikpulih dipindahkan di lokasi baharu di Taman Seri Bougainvillea di Bandar Seri Botani dengan menggunakan kaedah ‘restorasi’ dan kini dikenali dengan baharu, Masjid Teluk Memali Seri Bougainvillea. - Foto Balqis Jazimah Zahari

Struktur tetap utuh

“Menakjubkan apabila struktur dan seni binanya masih kukuh walaupun berusia lebih 100 tahun dan ditumbuhi pokok serta hutan. Melihatkan terdapatnya masjid di situ apatah lagi dengan seni bina halus, lengkap dan moden, ia sudah cukup membuktikan penduduknya dulu aktif dengan aktiviti keagamaan.

“Lebih mengagumkan, seni bina masjid berbentuk Melayu asli, manakala kebanyakan strukturnya menggunakan kayu cengal dan tualang,” katanya.

Azim berkata, mengambil kira kedudukannya, Masjid Kampung Teluk Memali mungkin mempunyai kaitan dengan kerabat diraja, berikutan kawasan itu pernah menjadi bandar diraja, iaitu Kampung Bandar Baru sebelum dipindahkan ke Kuala Kangsar.

“Terdapat makam Sultan Perak Ke-19, Almarhum Sultan Abdul Malik Mansur Shah dan kubur Residen British, JWW Birch, yang berada berdekatan dengannya,” katanya.


Masjid Kampung Teluk Memali dari Kampung Gajah yang dibaikpulih dipindahkan di lokasi baharu di Taman Seri Bougainvillea di Bandar Seri Botani dengan menggunakan kaedah ‘restorasi’ dan kini dikenali dengan baharu, Masjid Teluk Memali Seri Bougainvillea. - Foto Balqis Jazimah Zahari

Mimbar masjid yang dibuat oleh pembuat mimbar terkenal Allahyarham Megat Ja’afar yang terdapat di Masjid Teluk Memali Seri Bougainvillea. - Foto Balqis Jazimah Zahari

Beliau berkata, masjid itu turut merakam bukti perkembangan budaya dan agama Islam melalui penilaian motif seni ukir kayu yang terdapat pada setiap sudut masjid.

“Kami menemui pelbagai motif ukiran yang memiliki pengaruh Sumatera, Belanda dan British, selain Asia Barat. Ia menakjubkan apabila jurubina asal berjaya membina satu struktur seni bina yang agak unik.

“Antara jenis motif seni binanya ialah reka bentuk bumbung piramid serta ‘papan cantik’ pada cucur bumbung yang menggunakan reka bentuk dan seni ukiran Sumatera, selain mimbar bercirikan seni bina Acheh, dua tiang berbentuk roman di ruang tangga serta beberapa ayat pada mimbar dan pintu masuk dengan corak khat ‘thuluth’,” katanya.

Motif lama hiasi seni bina masjid

Azim berkata, masjid turut menggunakan pelbagai motif lama seperti sulur bayur pada mahkota atap mimbar dan kepala cicak pada sudut bumbung seperti yang terdapat di kebanyakan rumah tradisional Melayu lain di negeri ini.


Atap genting jenis ‘Singgora’ yang diperbuat daripada tanah liat sawah bagi menggantikan atap jenis asbestos dan zink yang digunakan pada struktur asal masjid warisan. - Foto Balqis Jazimah Zahari

Seni ukiran kayu pada sudut bumbung menggunakan motif ‘kepala cicak’ yang terdapat pada Masjid Teluk Memali Seri Bougainvillea. - Foto Balqis Jazimah Zahari

“Pada belakang kerangka mimbar pula tercatat nama pengukir Megat Ja’afar keturunan Megat Terawis yang juga pengukir terkenal ketika itu dan tahun pembuatan 1339.

“Kami turut menemui notis pengumuman kuliah pada pintu, catatan senarai nama imam yang bertugas bagi tempoh selama bertahun-tahun di bawah mimbar masjid, serta beberapa buku agama dan naskhah al-Quran lama,” katanya

Sebagai usaha pemuliharaan, beliau berkata permohonan pewartaan status warisan sedang dijalankan bersama pihak Jabatan Warisan Negara (JWN) yang diharap menjadi pencetus kepada banyak lagi usaha seumpamanya.

Pemuliharaan masjid turut mendapat sumbangan daripada individu yang memiliki kepakaran berkaitan, selain kerja amal pelajar institusi di sekitar seperti PUO, Kolej Vokasional Lebuh Cator dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seri Iskandar.

Antara yang terbabit dalam usaha pemuliharaan masjid termasuk Jabatan Mufti Negeri Perak, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Pejabat Daerah dan Tanah Perak Tengah.


Seni ukiran kayu lama motif ‘sulur bayur’ yang terdapat pada bahagian mahkota atap mimbar masjid warisan berkenaan. - Foto Balqis Jazimah Zahari

Beduk dan kerantung yang digunakan bagi menandakan masuk waktu solat di masjid warisan berusia 108 tahun. - Foto Balqis Jazimah Zahari

INFO: Masjid Kampung Teluk Memali

  • Usia 108 tahun
  • Lokasi asal di tebing Sungai Perak di Kampung Gajah
  • Kini dikenali Masjid Teluk Memali Seri Bougainvillea dan ditempatkan di Bandar Seri Botani
  • Mampu memuatkan sehingga 120 jemaah pada satu-satu masa
  • Kos pemuliharaan RM600,000
  • Urus tadbir masjid diserahkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk)
Berita Harian X