Isnin, 15 Oktober 2018 | 11:34am
MUFTI Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Masyarakat perlu bantu LGBT kembali ke pangkal jalan

GOLONGAN lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), kini sudah tidak lagi berselindung di atas nama kumpulan tertentu, sebaliknya dilihat terarah kepada gerakan sosial yang lantang menuntut hak persamaan terhadap identiti yang mereka bawa meskipun umum mengetahui ia menyimpang jauh daripada fitrah manusia.

Sebagai golongan minoriti yang mempunyai orientasi seksual berbeza daripada fitrah, iaitu bukan heteroseksual, mereka sering kali melaungkan supaya kumpulan mereka tidak didiskriminasi dan mendakwa sering ditindas serta dizalimi oleh kebanyakan negara di dunia khususnya negara Islam yang menyifatkan orientasi seksual mereka jauh tersasar daripada sifat semula jadi manusia.

Meskipun begitu, golongan LGBT melalui gerakan sosial yang bergerak atas nama pertubuhan dan persatuan hari ini dilihat tidak putus asa malah ghairah menjalankan pelbagai kempen bagi mengiktiraf LGBT, baik di dalam mahupun di luar negara yang kebanyakannya adalah gerakan yang berjuang di atas nama hak kebebasan manusia.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, ketika membentangkan kertas kerjanya Hubungan Gender dan Seks Songsang dari Perspektif Islam pada Wacana Suami Gay Isteri Mak Nyah di Ipoh berkata, budaya LGBT kini cuba dinormalisasikan oleh gerakan LGBT bahawa perbuatan itu normal.

Katanya, pemikiran itu sedikit sebanyak mendorong pemikiran masyarakat untuk mengharuskannya dan menjadikannya sebagai hak asasi yang tidak boleh dinafikan pula.

Terdapat juga hadis fitan (fitnah) dan athar yang mengisyaratkan tersebarnya perbuatan lesbian dan gay pada akhir zaman seperti hadis Anas RA bahawa Baginda SAW bersabda bermaksud, “Apabila umatku menghalalkan lima perkara, maka kehancuranlah ke atas mereka; apabila terzahir laknat-melaknat, meminum arak, memakai sutera (bagi lelaki), mengambil penyanyi wanita, lelaki menjadi gay dan wanita menjadi lesbian.

Jelaslah, tanda dinyatakan Baginda kini sudah semakin jelas dan ketara apabila ucapan laknat-melaknat pada hari ini bukan lagi perkara pelik, manakala empat lagi tanda dinyatakan sudah lazim kita lihat dan bukan lagi sesuatu luar biasa.

Zulkifli berkata, apa yang jelas, tugas membendung dan menangani perkara itu kini adalah menjadi tanggungjawab pemerintah termasuk mengenakan hukuman, peraturan atau polisi yang paling berkesan dalam menanganinya serta mengekangnya daripada berkembang.

“Ibu bapa, pendidik, orang berpengaruh dan masyarakat perlu memberikan kecaknaan serta keprihatinan untuk sama-sama menangani isu ini, sekali gus memberikan pemahaman akan kesan dan pengaruhnya kepada semua pihak dengan sebaiknya,” katanya.

Bagaimanapun, sikap masyarakat hari ini turut memberikan kesan terhadap perkembangan budaya songsang LGBT apabila kehadiran mereka seolah-olah dirai malah setiap perbuatan dilakukan oleh golongan ini menjadi perhatian malah ada secara terang-terangan menyatakan sokongan sedangkan ia bukan norma masyarakat.

Tindakan itu juga dilihat menjadi antara penyebab golongan LGBT tidak segan-silu mengetengahkan kehidupan mereka, malah berbangga mempunyai hubungan terlarang dengan kaum sejenis, bangga mempunyai bentuk badan menggiurkan meskipun palsu dan tidak semula jadi serta berbangga berkongsi cerita tidak sepatutnya kepada umum.

Golongan LGBT sebenarnya boleh dipulihkan jika mendapat sokongan masyarakat, selain melalui pendekatan bersesuaian dalam berdamping dan menyelami mengapa mereka memilih cara hidup sedemikian.

Sementara itu, Pengamal undang-undang yang juga Timbalan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohd Khairul Anuar Ismail, yang membentangkan kertas kerja Tuntutan LGBT Di Manakah Percanggahan di bawah Perlembagaan Persekutuan' pada wacana sama berkata, asalnya LGBT ialah penyakit berkaitan psikologi atau proses kejiwaan yang bercelaru.

Katanya, apabila dikatakan dengan penyakit ia adalah sesuatu yang boleh dipulihkan dan secara psikologinya boleh dipulihkan apabila mereka mendapat sokongan dari segi psikologi serta spiritual.

“Antara punca utama golongan LGBT tidak mencari penyelesaian untuk mengubati dan merawati diri adalah disebabkan sikap masyarakat sendiri yang suka melabel, mengutuk, mengeji, mencemuh, melaknat dan menghina golongan songsang serta pelaku maksiat.

“Masyarakat memandang prejudis terhadap golongan ini malah terdapat juga yang mengambil kesempatan terhadap mereka hingga menyebabkan golongan LGBT memilih untuk tidak bersama masyarakat malah menjauhkan diri dari masyarakat," katanya.

Katanya, tindakan sedemikian adalah tindakan ekstrem yang melampaui batas sedangkan melampaui batas itu ditegah Islam.

“Meskipun golongan LGBT dianggap sebagai golongan menyimpang amalannya, cara menangani golongan itu secara melampaui batas juga dianggap sebagai menyimpang daripada tujuan asal kehidupan bermasyarakat yang diciptakan untuk saling nasihat-menasihati,” katanya.

Apa yang jelas, masyarakat memainkan peranan penting dalam memastikan sama ada golongan LGBT boleh dipulihkan, semakin bebas berkembang atau terus didiskriminasikan kerana kelainan orientasi yang mereka anggap satu keunikan dan bukan kecacatan.

Jika golongan LGBT berterusan melaungkan hak asasi, masyarakat sekeliling turut mempunyai hak sama untuk memastikan kehidupan mereka terhindar dengan perbuatan menyimpang daripada fitrah manusia, sekali gus memastikan generasi mereka terhindar daripda penyimpangan orientasi seksual golongan LGBT.

Bagi bekas mak nyah yang kini sudah kembali ke pangkal jalan, Mohd Khairiri Mohamad Ramli atau lebih dikenali sebagai Cikgu Erin, masyarakat memainkan peranan yang cukup signifikan dalam membantu golongan LGBT untuk kembali kepada masyarakat dengan lebih yakin.

Dia yang kini giat menjalankan kerja dakwah dalam kalangan LGBT berkata, apa yang penting golongan itu perlu didekati secara berhemah.

“Sebagai bekas seorang mak nyah, saya lebih senang menghampiri golongan LGBT dengan menggunakan pendekatan santai, tidak ada paksaan dalam saya mengajak mereka untuk melakukan ibadat atau mengikuti kelas al-Quran sebaliknya saya menggunakan pendekatan dengan kaedah kasih sayang.

“Saya bawa mereka menyertai kerja sukarelawan yang saya anjurkan dan pada masa sama, saya bimbing mereka melalui penerapan solat tahajud serta taubat. Apa yang saya harapkan mereka boleh berubah dan mengekalkan momentum perubahan.

“Jika masyarakat faham dan tidak menjauhkan diri serta tidak menghina, mencaci atau mempertikaikan perubahan golongan itu, insya-Allah mereka boleh berubah. Peranan masyarakat penting kerana ia menyokong tetapi boleh juga meruntuhkan,” katanya.

Apa pun, masyarakat menentang LGBT disebabkan oleh dasar kepercayaan amalan yang dilakukan golongan itu bukanlah suatu yang hak dan mengiktiraf penyimpangan yang dilakukan golongan berkenaan hanya merosakkan fitrah manusia serta memberikan implikasi besar terhadap akhlak dan moral.

Lihatlah apa yang berlaku di Barat yang memberikan pengiktirafan kepada golongan itu. Didapati lebih banyak kerosakan daripada kebaikan, selain meruntuhkan ikatan suci perkahwinan yang difitrahkan Tuhan untuk lelaki dan perempuan dalam membina keluarga yang semula jadi, bukan dengan keluarga buatan yang penuh kepura-puraan.

Berita Harian X