Isnin, 3 September 2018 | 6:37am
Pelajar tahfiz membaca Al-Quran beramai-ramai di Maahad Tahfiz Masjid Al-Ridhuan, Hulu Klang. - Foto Salhani Ibrahim

DPTN mampu lahir penghafaz profesional

KUALA LUMPUR: Hala tuju Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) yang akan diteruskan oleh kerajaan baharu, memerlukan perincian supaya ia berlaku adil dengan mengambil kira kepelbagaian sistem pengajian tahfiz sedia ada.

Penasihat 1 Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA), Mohd Gunawan Che Ab Aziz, berkata ia untuk mengelak daripada kerajaan tidak tercicir dalam memberi perhatian kepada keperluan lebih mendesak, iaitu memperakui madrasah yang menawarkan pendidikan tahfiz sepenuhnya atau memfokus hafazan 30 juzuk al-Quran.

“Maknanya, pelajar akan hafaz al-Quran dengan memberikan fokus terhadap proses itu sahaja dalam tempoh tertentu yang biasanya mengambil masa sehingga dua atau tiga tahun mengikut pencapaian masing-masing.

“Oleh itu, pelajar ini belum didedahkan dengan akademik dan pengajian agama yang lain, termasuk bahasa Arab kecuali penerapan ilmu asas fardu ain.

“Selepas tamat hafazan, mereka mempunyai pilihan sama ada berhenti daripada sistem itu atau meneruskan pengajian lanjutan dalam bidang agama, selain ada yang mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya kepada BH di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas jawapan lisan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh pada persidangan Dewan Negara yang menegaskan kesediaan kerajaan melaksanakan DPTN yang diperkenalkan kerajaan terdahulu dengan melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa.

Mohd Gunawan berkata, madrasah daripada sistem pengajian sedemikian perlu dibantu kerana kelompok mereka yang memonopoli dan tumbuh bagaikan cendawan dalam landskap pendidikan tahfiz tanah air.

Justeru, katanya amat wajar sekiranya madrasah sebegini diberi perhatian, apatah lagi ia menggunakan satu sistem pendidikan agama berasaskan al-Quran yang lengkap dikenali sebagai Dars-Nizami atau Deobandi.

Beliau berkata, ia bersifat menyeluruh, iaitu bermula peringkat asas hafazan 30 juzuk al-Quran sehingga ke tahap pendidikan agama tertinggi.

“Selepas tamat hafazan, pelajar yang menyambung pengajian lanjutan akan melalui fasa ‘ulum diniyah’ dengan mempelajari subjek agama seperti tafsir, hadis, fiqh dan tauhid, termasuk ilmu alat seperti bahasa Arab yang merangkumi balaghah serta nahu.

“Peringkat ini dianggar meng-ambil masa antara enam hingga tujuh tahun mengikut silibus masing-masing dengan tahap pendidikannya menyamai lepasan ijazah sarjana muda bagi sistem pendidikan universiti konvensional.


Ustaz Mohd Gunawan Che Ab Aziz. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Dalami kitab utama hadis

“Selesai itu, mereka akan melalui fasa daurah hadis (peringkat sarjana) untuk mendalami kitab utama hadis seperti Bukhari dan Muslim daripada kulit ke kulit,” katanya.

Fasa akhir pula setaraf dengan pengajian peringkat doktor falsafah (PhD), iaitu pengajian takhasus, iaitu mendalami sesuatu bidang khusus seperti tafsir, hadis, fiqh dan kalam.

“Contohnya sekiranya pelajar memilih untuk mendalami ilmu fiqh, proses pendidikannya memerlukan pelajar berkenaan menguasai ilmu itu sehingga tahap mampu mengeluarkan hukum,” katanya.

Mohd Gunawan berkata, jika dilihat kepada kerangka sistem Dars-Nizami secara menyeluruh, graduan yang berjaya melepasi setiap peringkat pengajiannya layak diberikan pengiktirafan kerana penguasaan pendidikan agamanya cukup mantap.

Bahkan, sistem pengajian itu ialah kesinambungan daripada tradisi keilmuan silam sehingga berjaya melahirkan ulama hebat satu masa dulu.

“Mereka boleh dikatakan profesional dalam bidang agama, sekali gus mampu menyumbang kepada lahirnya lebih ramai daya sumber insani yang berkualiti untuk negara.

“Melalui sistem ini, lahirnya lulusan pakar agama, justeru perkara teknikal seperti memastikan mereka ada SPM, bukan isu besar. Ia boleh dilaksanakan, apa yang lebih penting adalah untuk mengiktiraf pengajian ini sebagai satu aliran tersendiri,” katanya.

Mohd Gunawan berkata, pengiktirafan itu juga amat diperlukan supaya mereka dapat menyumbang dan berperanan dalam masyarakat dan membina kerjaya secara profesional.

Isu pengiktirafan

Beliau turut menjelaskan kekeliruan masyarakat mengenai isu pengiktirafan itu kerana tidak semua madrasah tahfiz berdepan masalah sedemikian.

“Contohnya bagi madrasah berorientasikan campuran tahfiz dan akademik, pelajar tidak berdepan sebarang masalah kerana sudah tentu mereka menerima sijil diiktiraf. Jadi, tidak ada isu dari segi pengiktirafan ini,” katanya.

Justeru, katanya, PINTA sedia memberi kerjasama, termasuk kepakaran bagi menjayakan tuntutan ini, selain memohon peluang supaya dapat diadakan pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa bagi perbincangan lanjut.

Beliau turut memaklumkan sehingga kini terdapat hampir 2,000 madrasah tahfiz yang beroperasi di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak.

Warga tahfiz masih menunggu pengiktirafan yang adil dan sewajarnya dapat direalisasikan kerana ia membuka peluang pendidikan dan prospek kerjaya khususnya bagi lulusan madrasah tahfiz beraliran Dars Nizami ini.

157 dibaca
Berita Harian X