Khamis, 1 March 2018 | 11:04pm

Masjid Ar-Rahman contohi masjid tertua dunia

ALOR GAJAH: Masjid Quba' adalah salah satu masjid tertua di dunia yang mempunyai nilai istimewa apabila dibangunkan pada awal peradaban sejarah Islam, 8 Rabiulawal Tahun Hijrah oleh Nabi Muhammad SAW di Madinah.


MASJID Ar Rahman yang terletak di Parit Melana, Durian Tunggal. - Foto Khairunisah Lokman

Sejarah Masjid Quba' yang disebut dalam al-Quran itu bermula apabila Nabi Muhammad SAW berhijrah dari Makkah ke Madinah. Baginda meletakkan batu tepat di kiblatnya, bertiangkan pohon kurma dan beratap pelepah sehingga terbentuk rumah ibadat dilengkapi dengan sumur (tempat ambil wuduk).

Sebahagian reka bentuk dan konsep masjid penuh barakah itu kini menjadi ilham bagi pembinaan masjid di seluruh dunia sehingga kini, termasuk Masjid Ar-Rahman Kampung Parit Melana, Durian Tunggal, Alor Gajah.


MASJID Ar Rahman mencontohi seni bina Masjid Quba. - Foto Khairunisah Lokman

Ganti masjid warisan

Pengerusi masjid, Abdul Halim Daud, 44, berkata Masjid Ar-Rahman adalah masjid baharu menggantikan masjid warisan yang dahulunya dipercayai dibina menggunakan bahan laterit hasil sumbangan penduduk kampung ketika zaman pemerintahan Portugis.


SENI bina Masjid Quba menjadi ilham Masjid Ar Rahman yang terletak di Parit Melana, Durian Tunggal. - Foto Khairunisah Lokman

Katanya, kerajaan negeri membantu dalam pembinaan masjid baharu di kawasan seluas kira-kira satu hektar itu.

"Sebahagian reka bentuk Masjid Ar-Rahman diambil daripada Masjid Quba' yang dapat dilihat pada ruang dalam dan luar, termasuk koridor rumah ibadat ini.


REKA bentuk menara Masjid Ar Rahman, Parit Melana. - Foto Khairunisah Lokman

"Ia mendapat cetusan daripada bapa angkat masjid ini iaitu bekas Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Melaka, Datuk Seri Naim Abu Bakar yang juga anak jati Kampung Parit Melana malah beliau turut menyumbangkan sebuah van jenazah," katanya.

Perasmian masjid berkenaan disempurnakan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob, disaksikan Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal, Datuk Wira Ab Wahab Ab Latip.


LAMPU dinding ala Timur Tengah yang dipasang di Masjid Ar Rahman, Parit Melana. - Foto Khairunisah Lokman

LAMPU siling ala Timur Tengah yang dipasang di tengah-tengah Masjid Ar Rahman, Parit Melana. - Foto Khairunisah Lokman

Masjid aplikasi teknologi hijau

Abdul Halim berkata, masjid terbabit turut mengaplikasi teknologi hijau apabila menjadi pertama di daerah itu dilengkapi kipas gergasi pada siling bangunan bagi memastikan udara panas mengalir keluar melalui ruang bumbung, sekali gus mengurangkan kos tenaga elektrik.

Katanya, bangunan ini turut mempunyai bilik VIP, bilik komputer, bilik mesyuarat dan pegawai syarak, kamera litar tertutup (CCTV) dan tempat penyembelihan.


KIPAS gergasi yang dipasang di Masjid Masjid Ar Rahman, Parit Melana. - Foto Khairunisah Lokman

"Struktur pembentukan ahli jawatankuasa masjid juga turut mengambil nafas segar apabila melantik imam muda, Aisamuddin Abdul Hamid berusia 31 tahun, Januari lalu bagi menjalankan tugas khas dengan merancang program baharu di masjid dan gajinya dibayar oleh pihak Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM)," katanya.


DEKORASI mihrab Masjid Ar Rahman Parit Melana. - Foto Khairunisah Lokman

IMAM Masjid Ar Rahman Parit Melana, Omar Minhad menyusun Al-Quran di rak yang disediakan. - Foto Khairunisah Lokman

Beliau berkata, imam sedia ada ketika ini, iaitu Imam Satu, Omar Minhat, 59; dan Imam Dua, Hasnol Abu Samah, 31.

"Pelbagai program diadakan sepanjang minggu bermula Isnin hingga Jumaat dengan penganjuran tazkirah Subuh, kuliah, kelas iqra dan tajwid untuk dewasa dan kanak-kanak dan ceramah," katanya.

Beliau berkata, sebelum ini, penduduk kampung termasuk ADUN melancarkan Saham Wakaf pada 2011 bagi tujuan pengambilan tanah dan pembesaran masjid dengan kebenaran Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan kutipan dana berjaya dikumpul lebih RM120,000.


YANG Dipertua Negeri, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob (tiga dari kanan) dan Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron mengaminkan doa sebelum menunaikan Solat Jumaat di Masjid Ar Rahman, Parit Melana. - Foto Khairunisah Lokman

MELAKA 09 FEBRUARI 2018. Yang Dipertua Negeri, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob (tengah) bergambar bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron (empat dari kiri) di hadapan mihrab Masjid Ar Rahman, Parit Melana di Durian Tunggal. NSTP/KHAIRUNISAH LOKMAN[FOTO KHAIRUNISAH LOKMAN /BH]

Berita Harian X