Jumaat, 23 Februari 2018 | 6:10am
- Gambar hiasan

Padah HIV/AIDS jadikan iktibar

Pendedahan data oleh Unit HIV/AIDS, Kawalan Penyakit Berjangkit dari Pejabat Kesihatan Daerah Petaling terhadap sebuah unversiti awam (UA) sangat mengejutkan. Dilaporkan terdapat 15 kes HIV/AIDS untuk universiti awam terbabit pada tahun 2017 yang daripada keseluruhan kes itu, 13 kes membabitkan pelaku homoseksual; pelaku biseksual (satu) dan pelaku heteroseksual (satu), manakala terdapat satu kes kematian berpunca dari AIDS di UA berkenaan pada tahun lepas.

Di universiti yang sama juga, sehingga Februari tahun ini pula, terdapat 3 kes HIV, manakala kes jangkitan penyakit kelamin (STD) juga dilaporkan semakin meningkat.

Islam tidak melihat angka sedikit sebagai perkara yang boleh diremehkan. Apatah lagi ia berlaku di menara gading, iaitu tempat orang yang berpendidikan tinggi dan bakal mewarisi kepimpinan pada masa akan datang.

Masyarakat Islam wajib melihat perkara ini dengan serius kerana terdapat larangan jelas dari Al-Quran dan Sunnah terhadap perbuatan zina, hubungan seks sesama sejenis dan segala pecahan yang berlaku daripadanya seperti yang sering disebut sebagai lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Umat Islam sering dikelirukan dengan permainan istilah musuh Islam dengan istilah amalan seks yang selamat menggunakan kondom dan sebagainya sehingga ada di kalangan umat Islam lupa bahawa sejak daripada awal lagi Islam mengingatkan apa juga jenis hubungan seks tanpa akad nikah yang sah adalah haram dan tidak selamat di akhirat, bBahkan di dunia ini lagi terdedah dengan berbagai kemudaratan.

Apa juga gerakan yang cuba menjadikan hubungan seks tanpa nikah, aktiviti LGBT diwajarkan dengan undang-undang yang melindunginya sangat wajar ditentang oleh umat Islam di negara ini. Namun bagi mereka yang sudah sedar kesilapan dan bertaubat, maka umat Islam perlu mengalu-alukannya serta mereka wajib dibimbing ke jalan yang sebenar.

Wajib beri pendedahan awal

Anak-anak dan generasi akan datang wajib didedahkan dari awal lagi bahawa perbuatan zina, homoseks, lesbian dan segala aktiviti luar tabi'i ini adalah haram dan mengundang kemurkaan Allah SWT jika ia dilakukan.

Firman Allah SWT bermaksud: "Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya 100 kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang beriman." (Surah Al-Nur: 2)

Firman Allah SWT lagi: "Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika baginda berkata kepada kaumnya: "Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu? Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas.." (Surah Al-A'raf: 80-81)

Akhirnya mereka dibinasakan Allah seperti firman-Nya: Dan Kami menghujani mereka dengan hujan (batu yang membinasakan). Oleh itu, lihatlah bagaimana akibat orang yang melakukan kesalahan. (Surah Al-A'raf: 84)

Masyarakat Islam juga harus sedar bahawa proses normalisasi aktiviti ini di kalangan umat Islam sedang dilaksanakan secara halus dan berstrategi sekali.

Agenda LGBT semakin menular dengan cepat dalam kalangan masyarakat, lebih-lebih lagi dengan pengaruh media massa tanpa sempadan.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pendakwah juga wajib berjuang berterusan memastikan masyarakat terus jijik dengan perbuatan terkutuk ini. Pejuang LGBT ini hanya boleh mendapat tempat jika masyarakat tidak kisah dan tidak sensitif terhadap promosi kegiatan mereka.

Masyarakat khususnya golongan muda sangat terdedah dengan unsur LGBT atau paparan gaya hidup homoseksual dalam setiap filem yang ditayangkan terutama filem dari negara Barat.

Akademi khusus kaji golongan LGBT

Kajian secara akademi perlu dilakukan untuk menyelamatkan masyarakat Malaysia amnya dan masyarakat Islam khususnya daripada terjerumus dalam aktiviti terlarang ini.

Masyarakat Islam perlu menyambut baik usaha Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) untuk menubuhkan akademi khusus untuk mengkaji golongan LGBT di bawah Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD).

Akademi itu adalah langkah baik dan usaha untuk menyedarkan masyarakat termasuk golongan LGBT itu sendiri.

Usaha dakwah yang berterusan dan kajian secara komprehensif dapat dilengkap lagi jika ada peruntukan undang- undang khas mengenainya.

Sesuai dengan Malaysia sebagai sebuah negara Islam, alangkah baiknya satu rangka undang-undang diwujudkan bagi membendung penyebaran pengaruh budaya songsang khususnya gejala LGBT.

Penulis adalah Timbalan Mufti Perak

137 dibaca
Berita Harian X