Khamis, 30 November 2017 | 9:36pm
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi Muhammad SAW; wahai orang yang beriman bersalawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya." (Surah al-Ahzab, ayat 56) - Gambar hiasan

Selawat cara mudah dekati Rasulullah SAW

KUALA LUMPUR: Terputus atau jauhnya hubungan kerohanian kita dengan Rasulullah SAW menjadi punca kenapa ramai di antara kita yang bersifat fasik dan keras hati.

Bahkan ada yang sanggup menuduh acara maulid seperti majlis selawat sebagai bidaah, sedangkan ia antara cara untuk kita mendekatkan hubungan hati dan mewujudkan ikatan dengan Nabi Muhammad SAW.

Apabila kita mendengar dan mengalunkan selawat, meneliti sirah hidupnya, meneladani perilaku dan mengamal sabda serta sunnah Baginda, ia mampu menyuburkan hati dan meneguhkan keimanan kepada Allah SWT.

Mulianya kita di sisi Allah SWT juga bergantung kepada cara kita mencintai Rasulullah SAW. Umpamanya, sahabat Nabi, Saidina Abu Bakar As-Siddiq RA mempunyai ikatan kerohanian begitu tinggi terhadap Baginda.

Hubungan hatinya kepada Rasulullah begitu luhur dan tidak berbelah bahagi hingga ketika peristiwa Hijrah, beliau mengungkapkannya pada Baginda: "Ya Rasulullah, kalau saya yang mati, saya seorang saja yang mati, tetapi jikalau engkau dibunuh, maka matilah umat ini."

Beliau tidak mahu Baginda dibunuh kerana sedar, Rasulullah SAW adalah penyelamat kepada sekalian umat dan kerana itu Allah SWT mengangkat darjatnya ke tempat lebih tinggi.

Rasulullah hadiah agung

Ulama Majlis Ta'lim Darul Murtadza, Habib Ali Zaenal Abidin al-Hamid, berkata jangan sesekali kita jadi seperti umat terdahulu yang terputus hubungan kerohaniannya dengan Rasulullah SAW sehingga Allah menghukum mereka dengan sifat keras hati.

Allah SWT menjadikan Nabi Muhammad SAW diibaratkan umpama hadiah atau hidayah yang teramat agung sehingga menjadikan umat Baginda sebagai terbaik dalam kalangan umat yang lain.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi Muhammad SAW; wahai orang yang beriman bersalawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya." (Surah al-Ahzab, ayat 56)

Habib Ali berkata, majlis maulid dengan menggalakkan masyarakat Muslim berselawat dan mengingati Nabi Muhammad dengan titipan pesanan ulama adalah cara berdakwah yang amat baik serta perlu menjadi ikutan supaya setiap daripada kita tidak melupakan insan mulia, Rasulullah SAW.

Katanya, apa saja yang datang dari Rasulullah SAW walaupun dirasakan tidak sesuai atau melebihi kemampuan akal fikiran kita, akan dapat dihadam sekiranya ada kebergantungan iman yang tinggi kepada Allah SWT dan Baginda.

"Ia bermaksud menyerahkan segala apa yang kita kehendaki dengan kehendak Rasulullah SAW. Tidak boleh ada perasaan tidak puas hati dengan keputusan Baginda dan jika sudah diputuskan juga mana mungkin boleh dipertikaikan, ia mesti diterima dengan sesempurna penyerahan," katanya pada Majlis Maulid Akbar, Masjid Al-Ridhuan, Hulu Klang.

Gerakkan cinta Ilahi

Ulama dari Yaman, Habib Kadzim Ja'far Assegaf berkata, satu perkara yang dapat menyatukan umat Nabi Muhammad SAW dengan segala macam khilaf (perselisihan) yang berlaku dalam dunia Islam hari ini adalah dengan menggerakkan kecintaan kepada Rasulullah SAW.

Jika tidak ada kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW, maka seseorang itu akan gagal dalam mengenal hakikat keagungan Islam.

"Kecintaan kepada Rasulullah SAW sebenarnya ada pada setiap individu, tetapi ia lebih kepada akal kita saja, namun ramai yang tidak sedar ia perlu dihidupkan di dalam hati.

"Oleh itu, dengan cara sambutan maulid ia dapat membantu setiap umat Islam untuk saling mengingati supaya perasaan kasih, sayang dan cinta kepada Rasulullah terus subur," katanya.

Beliau turut berkongsi kisah mengenai seorang lelaki Arab pada zaman dulu, yang berbelah bahagi sama ada untuk menghadiri majlis Maulidur Rasul atau menjaga ayahnya sedang sakit tenat.

Maka, beliau mengambil keputusan untuk menghadiri majlis selawat itu dengan niat semoga dengan kepergian itu menjadi asbab kesembuhan ayahnya.

Ternyata, keesokan pagi selepas kembali ke rumah ayahnya, beliau dapati dia berada dalam keadaan gembira dan sihat.

Ia satu contoh bagaimana majlis kegembiraan iaitu acara maulud ini mempunyai darjat yang sangat tinggi di sisi Allah SWT.

Rugi tidak berselawat

Katanya, umat zaman ini perlu menggerakkan kecintaan dengan memperbanyakkan selawat ke atas Nabi Muhamad SAW.

Antara amalan yang boleh dilakukan adalah berselawat 100 kali selepas setiap solat fardu dan dilakukan juga sekurang-kurangnya 20 kali selawat sebelum dan selepas bangun dari tidur.

Orang yang selalu berselawat kepada Rasulullah SAW akan menerima syafaat Baginda di akhirat kelak, jadi amat rugi bagi mereka yang meninggalkan amalan ini.

Katanya, cara berselawat juga boleh dipelbagaikan dan dibenarkan dalam Islam termasuk dengan pendekatan qasidah dan nasyid.

Menerusi selawat, ia dapat memasukkan cahaya atau nur ke dalam hati kita dan lama-kelamaan akan terbit sendiri kerinduan yang tinggi terhadap Rasulullah SAW.

INFO

  • Saranan amalan selawat oleh Habib Kadzim Ja'far Assegaf
  • Berselawat 100 kali selepas setiap solat fardu
  • Sekurang-kurangnya 20 kali selawat sebelum dan selepas bangun dari tidur
  • Sentiasa memperbanyakkan selawat khususnya bulan kelahiran Nabi Muhammad SAW, iaitu Rabiul Awal
Berita Harian X