Jumaat, 21 Julai 2017 | 12:11am

Madu Sidr pembunuh bakteria

KUALA LUMPUR: Bagi peminat madu lebah, kelebihan makanan semula jadi ini memang diperakui bukan sahaja mengenyangkan dan menyihatkan tubuh badan, malah mampu menyembuh pelbagai penyakit.

Bagaimanapun, terdapat satu madu lebah yang dikatakan mempunyai keistimewaannya tersendiri iaitu memiliki kekuatan lima kali ganda daripada madu lebah ternak biasa kerana ia mampu membunuh bakteria.

Pendakwah bebas, Johari Abdul Wahab, berkata madu Sidr hanya terdapat di Lembah Hadramaut, Yaman dan dihasilkan daripada sarang-sarang lebah yang menyimpan madu bunga-bunga Sidr.

"Lazimnya, lebah daripada satu-satu sarang akan melakukan 37,000 perjalanan untuk menghasilkan setengah kilogram madu. Tetapi, lebah yang menghisap nektar (madu) daripada bunga sidr akan mati selepas hanya tiga kali perjalanan.

"Jadi, bagi mengelakkan kepupusan lebah berkenaan, pengusaha madu menempatkan sarang lebah di kawasan berhampiran pokok Sidr," katanya kepada BH Plus.

Johari berkata, istimewanya madu dari Lembah Hadramaut ini, ketika dituai tiada sebarang bahan kimia atau proses yang bukan semula jadi digunakan.


KELEBIHAN madu turut diceritakan dalam al-Quran.

"Penjaga lebah memastikan ketulenan madu dan sanggup membiarkan lebah mati daripada memberinya minum air gula.

"Proses penuaian dilakukan dengan cara bersih dan moden, terutama madu Sidr dikutip setahun sekali pada November selepas musim hujan, manakala madu dari pokok Summur dan Marai dituai dua kali setahun," katanya.

Beliau yang juga pengimport madu dari Yaman, berkata dari segi agama pula, kelebihan lebah disebut secara terperinci dalam al-Quran menerusi Surah an-Nahl yang bermaksud lebah. Dalam surah berkenaan, Allah memberi petunjuk dan panduan dalam ikhtiar manusia mencari jalan penyelesaian terutama yang membabitkan kesihatan.

"Dan Tuhanmu mewahyukan kepada lebah: "Buatlah sarang-sarang di bukit-bukit, di pohon-pohon kayu di tempat yang diperbuat manusia.

"Kemudian makanlah dari tiap-tiap (macam) buah-buahan dan tempuhlah jalan Tuhanmu yang telah dimudahkan (bagimu). Dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat yang menyembuhkan manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Allah) bagi orang-orang yang berfikir." (Surah an-Nahl, ayat 68 hingga 69)

Bukan itu saja, madu adalah antara makanan kegemaran Rasulullah. Perkara ini diakui isteri Baginda, Aisyah seperti yang diriwayatkannya bahawa "Rasulullah SAW menyukai makanan yang manis dan madu." (Shahih al-Bukhari)

Daripada Ibnu Abbas meriwayatkan Rasulullah bersabda "Penyembuhan terdapat pada tiga hal, (yakni) berbekam, minum madu atau kayy (pengubatan dengan menempelkan besi yang dibakar). Namun aku melarang umatku untuk melakukan kayy."


HANYA ujian makmal dapat tentukan keaslian produk.

Ikhtiar dan tawakal

Johari berkata banyak dalil dari al-Quran dan hadis yang membuktikan khasiat keistimewaan madu lebah ini terutama dari segi perubatan.

Abu Sa'id al-Khudri meriwayatkan bahawa seorang lelaki datang menemui Rasulullah, beliau berkata "Sesungguhnya saudaraku sakit perut," Rasulullah bersabda, "Minumkanlah madu kepadanya".

Lelaki itu pulang dan melakukan apa yang disarankan Rasulullah. Tidak lama kemudian, lelaki itu datang semula dan berkata "wahai Rasulullah! aku telah memberikan saudaraku minum madu, namun tidak berhasil melainkan bertambah parah.

Maka Rasulullah bersabda "Apa yang dikatakan Allah itu benar, sedangkan perut saudaramu yang telah berdusta. Pergilah dan berikannya minum madu." Lelaki itu pulang dan selepas memberikan saudaranya madu, saudaranya sembuh. (Kitab Shahih Tafsir Ibnu Katsir)

"Hadis di atas menunjukkan kita perlu berikhtiar untuk mencari jalan merawat penyakit tetapi berusaha untuk mengubatinya dan bertawakal kepada Allah," katanya.

Ujian makmal tentu ketulenan

Johari yang juga pemilik syarikat pengimport madu lebah Yaman di bawah jenama Rayhanah berkata bukan mudah untuk menentukan madu itu asli tanpa campuran melainkan ia disahkan menerusi ujian makmal dan mendapat sijil pengesahan terutama dari negara mengeksportnya.

"Cerita yang kita dengar mengenai madu tidak dihurung semut, boleh menyebabkan telur mentah masak atau tidak boleh menggunakan sudu besi adalah mitos semata-mata.

"Bukan mudah untuk menentukan ketulenan madu. Cara saintifik yang dilakukan adalah dengan menjalankan ujian makmal. Seperti madu yang diimport dari Yaman, pihak berkuasa di negara itu mengeluarkan sijil pengesahan ketulenannya, jadi tidak timbul madu yang bercampur," katanya.

Banyak negara di dunia ini yang mengeluarkan dan mengeksport madu seperti China, Slovenia, Sepanyol, Turki, Australia, New Zealand dan Yaman. Namun, rasa dan warna setiap madu yang dituai berbeza mengikut bentuk muka bumi dan bunga di kawasan habitat lebah.


PENUAIAN madu secara tradisional di Yaman.

Info

Lemah tenaga batin

- Tiga kurma dimakan dengan madu dua jam sebelum tidur. Lakukan selalu

Sakit mata

- Satu sudu besar biji Habbatusauda ditumbuk lumat, tiga sudu besar madu dan sedikit air panas. Dikacau dan diminum

Batuk 100 hari atau kokol

- Beberapa lobak putih kering ditumbuk lumat sehingga menjadi serbuk, masukkan dalam segelas air panas dan dicampur satu sudu besar madu sebelum dikacau dan diminum. Lakukan tiga kali sehari.

Sakit kepala

- Tujuh biji Habatusauda dimakan setiap pagi bersama satu sudu madu

Benjol di kepala

- Biji delima ditumbuk halus dan dicampur sedikit madu. Letakkan pada tempat benjol.

Panas badan

- Perah beberapa biji limau nipis dan manis. Campurkan dengan satu sudu madu dan minum.

Berita Harian X