Rabu, 25 November 2015 | 12:00am

Rooney, Martial kembali ke gelanggang latihan Man United


PENYERANG Manchester United, Wayne Rooney dan Anthony Martial kembali menyertai sesi latihan kelab itu - Foto Reuters

MANCHESTER: Penyerang Manchester United, Wayne Rooney dan Anthony Martial kembali menyertai sesi latihan kelab itu, hari ini menjelang pertembungan Liga Juara-Juara bertemu PSV Eindhoven, awal pagi Khamis.

Kedua-dua penyerang terbabit terlepas perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL), minggu lalu yang menyaksikan Man United mencatat kemenangan 2-1 ke atas Watford.

Rooney yang juga kapten Man United terlepas aksi terbabit akibat tidak sihat manakala Martial mengalami kecederaan kaki yang diperoleh ketika beraksi bersama Perancis.

Selain itu, pemain tengah, Marouane Fellaini turut menyertai sesi latihan di Pusat Latihan Carrington itu selepas terlepas dua perlawanan akibat kecederaan betis.

Begitupun, Phil Jones yang berdepan kecederaan buku lali dan Ander Herrera (hamstring) ketika bertemu Watford tidak menyertai latihan dengan Bastian Schweinsteiger tidak hadir namun alasannya tidak diketahui.

Michael Carrick yang cedera buku lali ketika beraksi bersama England juga tidak hadir bersama pemain yang sudah lama terpaksa disisihkan akibat kecederaan, Luke Shaw dan Antonio Valencia.

Man United ketika ini menghuni kedudukan teratas Kumpulan B dan akan mengesahkan kedudukan ke peringkat 16 terakhir sekiranya menewaskan PSV. - AFP

Berita Harian X