Selasa, 24 November 2015 | 9:49pm

MEVTA lancar garis panduan cecair e-rokok sifar nikotin

PERSATUAN E-Vaporizer dan Tembakau Alternatif Malaysia (MEVTA) hari ini melancarkan garis panduan bagi penyediaan kandungan cecair sifar nikotin rokok elektronik (e-rokok).

KUALA LUMPUR: Persatuan E-Vaporizer dan Tembakau Alternatif Malaysia (MEVTA) hari ini melancarkan garis panduan bagi penyediaan kandungan cecair sifar nikotin rokok elektronik (e-rokok).

Presidennya, Allan Foo, berkata garis panduan berkenaan diwujudkan bagi menyahut seruan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang melarang penjualan cecair bernikotin tanpa lesen.

Beliau berkata, kira-kira 25 pembuat cecair e-rokok yang berdaftar dengan MEVTA akan mengguna pakai garis panduan itu.

"Saya juga menyeru kepada pengguna vape yang lain untuk patuh kepada garis panduan itu," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Media sebelum ini, melaporkan KKM melakukan operasi pada 29 Oktober lalu mengesan penjualan nikotin secara terbuka di seluruh negara dan sejumlah cecair perisa vape dirampas mengikut Akta Racun 1952 dan Akta Makanan 1983.

Di bawah Akta Racun 1952, nikotin diletakkan sebagai racun kategori C yang hanya boleh dijual atau dibekalkan sebagai ubat atau bahan dalam ubat oleh pengamal perubatan berdaftar.

Pada sidang media yang sama, Anggota Jawatankuasa Cecair e-rokok MEVTA, Zain Azmir menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama enam pengilang peranti e-rokok dari China.

Foo berkata, melalui MoU berkenaan, satu piawaian khusus dapat ditetapkan dalam pembuatan peranti e-rokok supaya lebih selamat.

- BERNAMA

Berita Harian X