Selasa, 24 November 2015 | 9:45pm

Industri perfileman tempatan kritikal, dahagakan perubahan

KUALA LUMPUR: Industri perfileman tempatan berada dalam tahap kritikal dan memerlukan perubahan drastik dari segi kualiti berbanding kuantiti.

Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Ahmad Khusairy Abdul Talib, berkata walaupun acap kali diperkatakan, namun kebanyakan pengusaha filem tempatan dilihat tidak mengambil berat isu itu menyebabkan penonton mula hilang keyakinan terhadap filem tempatan.

Bercakap selepas merasmikan 'Young Filmmakers Forum 2015' di sini, hari ini, Ahmad Khusairy berkata krisis keyakinan itu dapat dilihat berdasar sambutan terhadap tayangan filem tempatan di pawagam yang semakin merosot.

"Hanya 10 peratus daripada RM700 juta hasil jualan tiket wayang adalah daripada filem tempatan, RM630 juta lagi adalah hasil kutipan dari filem luar negara seperti Korea, Jepun, filem Hollywood dan Hong Kong," katanya memetik statistik Persatuan Sutradara Malaysia 2014.

Ahmad Khusairy berkata, peminat filem kini sudah pandai menilai kualiti sesebuah filem, justeru pengusaha filem perlu lebih proaktif untuk menambah baik kualiti filem dari segi teknologi, jalan cerita dan promosi filem yang meyakinkan.

Ahmad Khusairy mengharapkan lebih ramai penggiat seni dari kalangan generasi muda menyalurkan idea kreatif mereka dalam usaha memperbaiki kualiti penulisan skrip serta teknik sinematografi agar dapat menghasilkan filem yang berkualiti dan bermutu.

"Forum yang dilaksanakan ini adalah untuk memacu tenaga muda terlibat secara langsung dalam pembikinan industri filem dan menghasilkan karya bermutu di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

"Karyawan muda perlu sedar bahawa untuk menambat hati penonton .. pembikin filem itu perlu mempunyai ilmu dan tidak menghasilkan filem syok sendiri," katanya.

Pada majlis itu, pengkarya bebas Muzzamer Rahman, 27, berjaya mengondol dua daripada lima anugerah utama, Anugerah Filem Digital Malaysia iaitu 'Best Young Film maker Award' menerusi karya bertajuk Nadia.

Karya beliau, 'Sebatang Pensil dan Sebiji Oren' yang dihasilkan pada 2014 turut dinobatkan sebagai 'Best Digital Feature Award'.

Forum sehari anjuran 'Institute of Arts and Media Studies (SEMESTA) dengan kerjasama Finas itu dianjurkan buat kali ketiga sejak 2011 dan berjaya menghimpunkan hampir 200 penggiat seni muda dan pelajar universiti.

- BERNAMA

114 dibaca
Berita Harian X