Selasa, 24 November 2015 | 1:04pm

UMNO bentang kad laporan ekonomi Bumiputera


Datuk Seri Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR: Kad laporan ekonomi Bumiputera yang mengandungi maklumat berhubung tindakan dan usaha kerajaan memperkasa ekonomi golongan itu akan dibentang pada Persidangan Agung UMNO, bulan depan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata kad laporan itu kini sedang diselaras di peringkat Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU).

Sehubungan itu, beliau berharap ahli UMNO akan meneliti kad laporan itu bagi memahami perancangan dan tindakan diambil kerajaan, sekali gus mengelak persepsi kerajaan tidak melakukan yang terbaik untuk membangunkan ekonomi Bumiputera.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO itu berkata, agenda ekonomi Bumiputera bukan saja menjadi agenda penting TERAJU dan MARA, sebaliknya setiap kementerian mempunyai agenda masing sendiri yang dinilai menerusi Indeks Prestasi Utama (KPI).

"Kita perlu memberi maklumat kepada ahli UMNO kerana mungkin ada yang tidak mendapat maklumat cukup mengenai tindakan dan perancangan kerajaan.

"Umpamanya berkaitan pembangunan usahawan, kita ada TERAJU, mungkin tidak sampai maklumat (kepada ahli UMNO) (sedangkan) setiap bulan Perdana Menteri sendiri bertanggungjawab terhadap perkara ini, setiap bulan ada mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Konvensyen Pemerkasaan Agenda Ummah sempena Persidangan Agung UMNO 2015, di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini, hari ini.

Mustapa mengulas saranan peserta konvensyen yang mahu peranan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) dikembalikan, malah saranan itu sering dibangkitkan setiap kali Persidangan Agung UMNO terdahulu.

Mustapa yang juga Pengerusi Usul Ekonomi berkata, berdasarkan pengalamannya selaku Menteri Pembangunan Usahawan pertama di negara ini, peranan kementerian itu dalam membangunkan ekonomi Bumiputera agak terhad berbanding ketika ini.

Katanya, agenda ekonomi Bumiputera dipantau oleh Datuk Seri Najib Razak menerusi Majlis Ekonomi Bumiputera dengan mengadakan mesyuarat setiap bulan tanpa gagal.

"Tugas kerajaan adalah untuk menyampaikan maklumat ini kerana mungkin masih ada ahli UMNO yang belum mengetahui sepenuhnya... apapun kita mengakui bahawa masih ada lagi yang perlu kita perbaiki.

"Bukan bermakna dengan ada TERAJU semuanya sempurna...itu sebab kita adakan konvensyen ini untuk mengutip pandangan daripada akar umbi," katanya.

Berita Harian X