Isnin, 23 November 2015 | 8:41pm
MAYAT Hussairi Abdul Wahab.

Lelaki lemas selepas selamatkan kanak-kanak


ANGGOTA bomba mencari mangsa yang lemas di sungai di kawasan kebun kelapa sawit di FELDA Pasoh 1

SIMPANG PERTANG: Seorang lelaki lemas selepas menyelamatkan seorang kanak-kanak yang terjatuh ke dalam sebatang sungai di kawasan kebun kelapa sawit di FELDA Pasoh 1 di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, Hussairi Abdul Wahab, 43, terjun ke dalam sungai apabila melihat kanak-kanak lelaki berumur kira-kira 10 tahun itu tergelincir lalu jatuh.

Bagaimanapun, selepas menyelamatkan kanak-kanak berkenaan, dia dihanyutkan oleh arus deras berikutan hujan lebat di kawasan hulu sungai itu.

Ketua operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pertang, Pegawai Bomba Kanan II Shaharudin Hassan, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 6.11 petang dan seramai lima anggota bersamanya tiba di tempat kejadian kira-kira jam 6.51 petang.

Katanya, anggotanya bersama Pasukan Bomba Sukarela FELDA Pasoh 1 dan penduduk tempatan, bekerjasama mencari mangsa di tempat kejadian.

"Anggota bomba yang diikat dengan tali dari tebing memasuki sungai sedalam kira-kira empat meter itu akhirnya berjaya menemui mayat mangsa tidak jauh dari tempat dia hilang, kira-kira jam 7.03 malam," katanya.

Shaharuddin berkata, mayat Hussairi kemudian dihantar ke Hospital Jelebu di Kuala Klawang.

Sementara itu, BH difahamkan mangsa bersama kira-kira sembilan orang lain termasuk kanak-kanak berkenaan pergi ke kawasan kejadian untuk mencari pucuk paku.

Berita Harian X