Isnin, 23 November 2015 | 7:51pm

1MDB jual aset tenaga RM9.83b kepada firma China

KUALA LUMPUR: 1Malaysia Development Bhd (1MDB) menerusi anak syarikatnya Edra Global Energy Bhd memeterai Perjanjian Jual dan Beli Saham dengan China General Nuclear Power Corporation dan anak syarikatnya (CGN Group) bagi menjual 100 peratus kepentingannya dalam semua aset tenaganya yang bernilai RM9.83 bilion.

Ia membabitkan penjualan syarikat operasi Edra yang terdiri daripada Edra Solar Sdn Bhd, Edra Energy Sdn Bhd, Powertek Energy Sdn Bhd, Jimah Teknik Sdn Bhd, Jimah O&M Sdn Bhd, Mastika Lagenda Sdn Bhd dan Tiara Tanah Sdn Bhd.

Penjualan itu adalah urus niaga pengambilalihan dan penggabungan (M&A) terbesar di Malaysia dan antara yang terbesar dalam sektor tenaga Asia setakat ini.

Paling penting, urus niaga itu menandakan pencapaian utama pertama dalam pelan rasionalisasi 1MDB, seperti yang dibentangkan kepada Kabinet pada 29 Mei lalu.

CGN Group akan membayar secara tunai, ekuiti bernilai RM9.83 bilion dan akan menanggung semua hutang kasar serta tunai berkaitan syarikat operasi Edra itu, berdasarkan tarikh penilaian 31 Mac 2015.

Urus niaga itu dijangka diselesaikan pada Februari 2016.

Tawaran indikatif bagi syarikat operasi Edra diterima buat kali pertama pada Jun lalu melalui proses tender yang ketat, berdaya saing dan antarabangsa oleh penasihat kewangan 1MDB, Maybank Investment Bank Bhd.

Rothschild pula bertindak sebagai penasihat kewangan kepada Edra.

Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda, berkata pihaknya gembira untuk mengumumkan pencapaian penting dalam proses meraih hasil daripada Edra.

Katanya, CGN Group muncul pemenang dalam tender antarabangsa berkenaan berdasarkan beberapa objektif diumumkan oleh 1MDB sebelum ini termasuklah memaksimumkan nilai, terma komersial boleh diterima dan pelaksanaan urus niaga yang jelas.

"Pembelian oleh CGN Group membawa komitmen pelaburan langsung asing (FDI) yang besar ke Malaysia dan ini satu bentuk keyakinan jelas terhadap ekonomi Malaysia," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

45 dibaca
Berita Harian X