Isnin, 23 November 2015 | 7:36pm

Datuk redah api selamatkan dua cucu


ANGKATAN bomba dan penyelamat ketika memadam api kebakaran di Kampung Tabuan Selipar Putus. - Foto Jeakqleyn Yacho

KUCHING: Tanpa mempedulikan keselamatannya, seorang datuk meredah api bagi menyelamatkan dua cucu kesayangannya dalam insiden kebakaran di Kampung Tabuan Selipar Putus, di sini petang tadi.

Ghazali Merudin, 50, berkata sejurus melihat rumahnya terbakar, beliau tidak berfikir panjang lalu merempuh masuk bagi menyelamatkan dua cucunya berusia tiga dan lima tahun yang terperangkap dalam sebuah bilik.

"Keadaan agak kelam kabut ketika itu dan api merebak dengan begitu cepat. Saya tidak berfikir panjang lalu merempuh masuk ke dalam rumah bagi menyelamatkan kedua-dua cucu. Syukurlah semuanya selamat," katanya ketika ditemui BH di tempat kejadian.

Ghazali adalah pemilik sebuah daripada lima rumah yang musnah dalam kebakaran itu yang menyebabkan 25 mangsa kehilangan tempat tinggal.

Sementara itu, seorang penduduk, Bakri Suib, 38, terpaksa memecahkan pintu sebuah rumah yang terbakar selepas menyedari seorang kanak-kanak terperangkap.

"Dalam usaha menyelamatkan diri, saya terdengar seorang kanak-kanak menangis sambil menjerit meminta pertolongan dari rumah yang terbakar. Saya lantas menendang pintu rumah berkenaan dan menyelamatkan kanak-kanak berkenaan," katanya.

Ketua Bomba dan Penyelamat Sarawak Zon 1, Tiong Ling Hii, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 4.42 petang dan tiba di lokasi kejadian lima kemudian.

"Api marak begitu cepat disebabkan struktur bangunan berasaskan kayu serta faktor angin. Malah, kedudukan rumah yang dibina agak rapat turut menyebabkan kebakaran cepat merebak," katanya.

Ling Hii berkata, sekurang-kurangnya dua mangsa mengalami lecur, manakala yang lain berjaya diselamatkan.

Katanya, kebakaran itu adalah yang kedua dalam tempoh enam bulan di kawasan penempatan berkenaan.

"Punca dan nilai kerugian sebenar masih dalam siasatan," katanya.

16 dibaca
Berita Harian X