Isnin, 23 November 2015 | 12:08am

Syazwan gusar digam kasari kekasih


PELAKON Syazwan Zulkifli, 28, mengakui pernah terfikir untuk berhenti berlakon ketika kontroversi dirinya mengasari kekasihnya, yang juga hos program HLive, Shenty Feliziana, hangat diperkatakan, baru-baru ini.

Mengakui kenyataan yang diluahkan menerusi Twitter itu dibuat ketika sedang emosi, Syazwan turut gusar jika kontroversi yang melanda akan membuat dirinya digam penerbit dan stesen televisyen.

"Saya fikir sebelum diri saya digam, lebih baik saya berhenti berlakon. Saya tidak mampu memikirkan alasan lain kerana ketika itu, saya sedang emosi dan terus meluahkan hasrat untuk berhenti berlakon di Twitter.

"Saya tidak mahu isu saya mengasari Shenty sampai ke pengetahuan ibu bapa, lagipun bapa masih belum sihat kerana baru menjalani pembedahan pintasan jantung.


SYAZWAN Zulkifli. - Foto Munira Abdul Ghani

SYAZWAN gusar kontroversi yang melanda akan membuat dirinya digam penerbit dan stesen televisyen. - Foto Munira Abdul Ghani

"Saya tidak mahu mereka diasak dan menerima tekanan daripada orang luar kerana perbuatan saya. Alhamdulillah, ibu tidak marah selepas mendengar penjelasan saya," katanya.

Kontorversi mengaitkan Syazwan mengasari kekasihnya itu terbongkar apabila gambar Shenty yang menampakkan wajahnya cedera tersebar. Ia diperkuatkan lagi apabila Shenty membuat laporan polis di Kuang, Selangor pada 27 Oktober lalu atas faktor keselamatan.

Shenty, bagaimanapun menarik laporan selepas beberapa hari kejadian. Mengakui kesal dengan apa yang berlaku, Syazwan berkata, kejadian itu memberi kesan kepada dirinya terutama apabila dituduh menyebabkan rahang Shenty patah kerana dikasari.

"Saya mengakui silap saya dan berjanji untuk berubah. Setiap masalah boleh diselesaikan dengan baik, mungkin lepas ini saya perlu mengawal emosi. Tetapi itu bukan bermakna saya seorang yang panas baran," katanya.


SYAZWAN akui kesilapannya dan berjanji untuk berubah. - Foto Zunnur Al Shafiq

Syazwan menjelaskan, sebelum kejadian mereka bergaduh kecil dan masalah itu berlarutan pada keesokan hari ketika Shenty mahu menghantarnya ke lokasi penggambaran.

"Lelaki mempunyai egonya, apatah lagi hal sebelum itu belum selesai. Ketika bergaduh, saya tersiku mukanya dan ia tidak disengajakan. Ketika itu, saya sedang memandu dan apabila melihat wajah Shenty, saya menangis. Ya Allah! Kenapa jadi begini?

"Apabila cerita ini sampai ke pengetahuan wartawan, saya memilih untuk mendiamkan diri dengan harapan semua akan pulih. Tetapi sebaliknya berlaku apabila keadaan menjadi tegang dan Shenty dihentam teruk.

"Shenty rasa terbeban kerana saya seolah-olah meletakkan kesalahan di atas bahunya. Itu yang menyebabkan artikel pengakuannya dikasari keluar. Sedangkan ketika itu, saya sedang cuba menyelamatkan keadaan dan mungkin kerana tidak berkomunikasi, lalu timbul salah faham," katanya.


SYAZWAN kesal apabila dirinya sering dilemparkan dengan pelbagai tuduhan negatif. - Foto Zunnur Al Shafiq

Bersyukur kerana perkara itu sudah selesai, malah terharu apabila Shenty memaafkan dan memberinya peluang untuk memperbaiki hubungan mereka, Syazwan berharap orang luar tidak menjatuhkan hukuman terhadapnya.

Syazwan juga kesal apabila dirinya sering dilemparkan dengan pelbagai tuduhan negatif yang seolah-olah seperti doa yang akhirnya menjadi kenyataan.

"Saya terkilan kerana cerita saya lelaki panas baran tidak berpenghujung, sedangkan saya susah naik angin. Kata-kata itu seperti doa dan akhirnya menjadi kenyataan dengan isu yang tercetus.

"Saya tidak peduli apa tanggapan orang, sama ada saya dianggap budak jahat, playboy, panas baran dan pelbagai lagi. Saya cuma mahu memandang dari sudut positif kerana selama ini saya tidak pernah ada masalah dengan sesiapa.

"Saya tidak kacau orang, malah tidak pernah bergaduh di set penggambaran. Saya bukan jenis suka serang orang, terpulang apa tanggapan orang," katanya.

111 dibaca
Berita Harian X