Sabtu, 21 November 2015 | 11:57pm
GAYA pelumba pasukan Givi Honda Yuzy Racing, Mohd Zaqhwan Zaidi (depan) meraikan kemenangannya di Litar Johor, Pasir Gudang selepas menewaskan pelumba pasukan Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing, Norizman Ismail di saat akhir. - Foto ihsan twmr.com.my

Cub Prix: Zaqhwan raih kemenangan dramatik di Pasir Gudang

KUALA LUMPUR: Pelumba pasukan Givi Honda Yuzy Racing, Mohd Zaqhwan Zaidi menampilkan magisnya apabila meraih kemenangan dramatik pada perlumbaan terakhir kelas CP130 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Litar Johor, Pasir Gudang, hari ini.

Bersaing sengit sepanjang perlumbaan di litar bersejarah itu, Zaqhwan mencatat kemenangan hanya dengan kelebihan 0.044 saat di depan pelumba pasukan Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing, Norizman Ismail.

Masih berada kedudukan kedua selepas selekoh terakhir menuju ke garisan penamat, Zaqhwan menggunakan kelebihan 'slipstream' untuk memintas Norizman dan menamatkan lapan pusingan perlumbaan dengan masa 16 minit 45.278 saat.

Norizman terpaksa berpuas hati di kedudukan kedua dengan catatan masa 16'45.322s diikuti Mohd Affendi Rosli (PETRONAS Yamaha-CKJ) ketiga, 16'46.335s.

"Saya berpuas hati dengan kemenangan ini. Ia adalah sesuatu yang saya tunggu selama ini dan satu pembakar semangat dan petanda baik untuk saya memulakan saingan musim hadapan," kata Zaqhwan yang hanya memulakan aksi musim ini pada pusingan kelima di Melaka.

"Faktor jentera banyak memainkan peranan pada perlumbaan hari ini. Selepas berjaya mencatat masa terpantas pada sesi Superpole dan berjaya meraih petak utama, saya yakin untuk berada di atas podium.

"Lebih menggembirakan apabila berjaya memenangi perlumbaan," kata juara keseluruhan kelas perdana tahun lalu itu.

Zaqhwan berkata, selepas kembali ke kancah Kejuaraan Cub Prix, dia tidak meletak sebarang sasaran sebaliknya hanya mahu kembali ke prestasi terbaik seperti ketika muncul juara keseluruhan pada musim lalu.

"Saya yakin dengan kemenangan ini ia memberi gambaran untuk saya bersaing merebut kembali kejuaraan pada musim depan."

Dengan gelaran keseluruhan sudah menjadi milik Ahmad Fazrul Sham (Yamalube AHM) pada pusingan lepas di Jempol, podium di tempat ketiga membantu Affendi untuk muncul naib juara keseluruhan dengan mengumpul 100 mata mengatasi rakan sepasukan, Mohd Fitri Ashraf Razali yang berada di tangga ketiga dengan 94 mata selepas menamatkan perlumbaan di tempat keenam.

Saingan CP115 menjadi milik pelumba tuan rumah yang juga juara keseluruhan, Kasma Daniel Kasmayudin (PETRONAS Yamaha Maju Motor), 14'04.239s diikuti Mohd Azam Omar (PETRONAS Yamaha-CKJ), 14'04.961s dan Mohd Izzat Zaidi Salehan (Motul Yamaha YY Pang) ketiga, 14'05.807s.

Perlumbaan kelas Wira menjadi milik Mohd Shafiq Ezzariq (Kozi Yam Honda Racing) dengan masa 12'01.293s diikuti Mohd Haziq Fairues, 12'01.600s dan Mohd Qhuwarismi Mohd Nasir (Weststar Motorsport) ketiga, 12'01.900s.

Keputusan

CP130

Perlumbaan Akhir

1. Mohd Zaqhwan Zaidi (Honda) 16'45.278s

2. Norizman Ismail (Honda) 16'45.322s

3. Mohd Affendi Rosli (Yamaha) 16'46.335s

Kedudukan Individu

1. Ahmad Fazrul Sham (Yamaha) 121 mata

2. Mohd Affendi Rosli (Yamaha) 100 mata

3.Mohd Fitri Ashraf Razali (Yamaha) 94 mata

Anugerah Berpasukan

1. PETRONAS Yamaha CKJ 237 mata

2. Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing 203 mata

3. PETRONAS Yamaha Maju Motor 195 mata

CP115

Perlumbaan Akhir

1. Kasma Daniel Kasmayudin (Yamaha) 14'04.239s

2. Mohd Azam Omar (Yamaha) 14'04.961s

3. Mohd Izzat Zaidi (Yamaha) 14'05.807s

Kedudukan Keseluruhan

1. Kasma Daniel Kasmayudin (Yamaha) 190 mata

2. Tengku Amirul Haffirudin (Yamaha) 111 mata

3. Ahmad Syukran Aizat (Yamaha) 89 mata

Anugerah Berpasukan

1. PETRONAS Yamaha Maju Motor 217 mata

2. Motul Yamaha YY Pang 188 mata

3. PETRONAS Yamaha CKJ 153 mata

WIRA

Perlumbaan Akhir

1. Mohd Shafiq Ezzariq (Honda) 12'01.293s

2. Mohd Haziq Fairues (Yamaha) 12'01.600s

3. Mohd Qhuwarismi Mohd Nasir (Yamaha) 12'01.900s

Kedudukan Keseluruhan

1. Mohd Harith Farhan baharin (Honda) 195 mata

2. Mohd Khairul Ikhwan Ajis (Yamaha) 125 mata

3. Saiful Izman Ahmad Zamani (Yamaha) 111 mata

Berita Harian X