Sabtu, 21 November 2015 | 12:10am
NANA tidak merancang untuk berkahwin dalam masa terdekat. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
NANA memberikan persembahan bertenaga pada Konsert Gegar Vaganza 2015 minggu kelima di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Nana selesa berstatus janda


TIDAK pernah terfikir menjadi ibu tunggal dan terpaksa membesarkan anak seorang diri, penyanyi Siti Nordiana reda dengan suratan takdir yang tertulis buat dirinya.

Setelah enam tahun menempuh pancaroba kehidupan sebagai ibu tunggal, beliau tidak menganggap ia sebagai perkara membebankan.

Siti Nordiana atau lebih mesra dengan panggilan Nana menjelaskan beliau selesa dengan kehidupan sekarang dan tidak merancang untuk berkahwin dalam masa terdekat. Beliau menikmati saat-saat bahagia bersama putera tunggalnya, Muhammad Rayyan Nakhaie.

Ikatan perkahwinan yang dibina Nana bersama bekas suaminya, pelakon Faizal Yusop, terlerai sekitar tahun 2009. Mereka mengambil keputusan untuk membawa haluan masing-masing selepas berkahwin selama dua tahun. Faizal meninggal dunia akibat serangan jantung pada 1 Januari 2011.

"Saya selesa dengan status sebagai ibu tunggal dan tidak merancang untuk mendirikan rumah tangga dalam tempoh terdekat. Buat masa ini fokus saya adalah untuk membesarkan anak lelaki saya dan kerjaya seni semata-mata.


NANA dan anaknya, Rayyan. - Foto NSTP

"Urusan jodoh ini saya serahkan sepenuhnya kepada Tuhan dan enggan terburu-buru membuat keputusan. Biarlah lelaki yang hadir dalam hidup saya itu nanti bukan saja dapat menerima saya, malah dia juga perlu serasi dengan anak tunggal saya," kata Nana sambil mengukir senyuman.

Pelantun lagu Paling Comel itu juga tidak ralat biarpun dipandang rendah oleh sesetengah pihak kerana berjaya membuktikan kemampuan vokalnya setiap minggu di pentas Gegar Vaganza 2 (GV2). Baginya, beliau perlu menepis kata-kata negatif yang dilemparkan dengan memberikan persembahan terbaik setiap minggu.

"Memang saya sedia maklum ada pihak yang memandang rendah kemampuan vokal saya kerana dikenali dengan genre rancak dan lagu berbentuk santai. Saya memilih untuk tidak ambil pusing perkara-perkara sebegitu dan menggunakan platform GV untuk membuktikan kebolehan vokal saya.

"Alhamdulillah saya bersyukur kerana masih bertahan dan dapat meneruskan perjuangan dalam program ini atas sokongan peminat. Tak sangka mereka masih menyokong perjalanan kerjaya seni saya," kata Nana.


NANA bersama Lan Kristal ketika membuat persembahan pada Konsert Gegar Vaganza 2015. - Foto Muhammad Sulaiman

Biarpun kemunculan Siti Nordiana bersama pasangan duetnya, vokalis kumpulan Kristal, Razlan, pada dua minggu lalu, namun ia meninggalkan impak mendalam kepada penonton ketika menyanyikan lagu Memori Berkasih di konsert keempat GV2.

Nana kelihatan begitu serasi dengan Razlan. Lebih manis, Nana dan Razlan pernah menjalinkan hubungan cinta ketika berada di bangku sekolah dulu.

Kemunculan Nana bersama Razlan di konsert GV2 bertemakan 'Berdua Lebih Baik' itu berjaya menggamatkan Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan menjadi viral di media sosial.

"Saya bersyukur kerana persembahan kami di konsert itu berjaya meninggalkan impak kepada penonton. Usaha dan penat lelah kami berlatih seperti berbaloi kerana mendapat pujian banyak pihak.

"Benar kami pernah menjalinkan hubungan cinta pada satu ketika dahulu namun ia hanya sekadar cinta monyet dan berlalu begitu saja. Kami tidak serius menjalinkan hubungan pada ketika itu kerana masih remaja dan selesa berkawan dengan satu sama lain.

"Gimik dan idea beraksi di atas pentas itu kebanyakannya dirancang sendiri oleh isteri Lan, Sheila. Sejujurnya saya risau akan menyinggung mana-mana pihak dengan tindak tanduk saya membuat persembahan kerana status dan sejarah kami dahulu.

"Namun, Sheila sendiri yang meyakinkan saya untuk bersetuju dengan idea yang diberikan olehnya. Dia menegaskan aksi yang dilakonkan tidak keterlaluan dan kami juga tidak perlu bersentuhan ketika menyanyikan lagu duet itu," katanya.

Nana menambah, beliau turut menahan rasa sebak sepanjang menyanyikan lagu tersebut bersama Razlan di pentas GV2 kerana terkenang arwah, Achik iaitu penyanyi duet asal lagu itu.

Achik meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya di Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas) pada April 2010.

Selain Memori Berkasih, Nana dan Achik juga popular menerusi lagu Gurauan Berkasih dan Paling Comel.

69 dibaca
Berita Harian X