Ahad, 5 Oktober 2014 | 5:35pm

Taska ditutup sementara susulan kematian bayi

PUTRAJAYA: Taska Permata Bonda di Presint 11 di sini yang diarah tutup sementara berikutan kematian seorang bayi berusia empat bulan kerana gagal mematuhi nisbah yang ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan Taman Asuhan Kanak-Kanak 2012, kata Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, Datuk Norani Mohd Hashim.

Beliau berkata, peraturan menetapkan nisbah pengasuh hendaklah 1:3 (seorang pengasuh : tiga kanak-kanak di bawah satu tahun), 1:5 (seorang pengasuh : lima kanak-kanak berumur satu tahun hingga tiga tahun) dan 1:10 (seorang pengasuh : 10 kanak-kanak berumur tiga tahun hingga empat tahun).

"Hasil siasatan awal Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapati semasa kejadian hanya terdapat empat pengasuh yang menjaga 33 kanak-kanak di bawah umur empat tahun dan enam orang kanak-kanak transit yang melebihi umur empat tahun, berbanding sembilan pengasuh yang sepatutnya," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Selasa lalu, seorang bayi perempuan berusia empat bulan, Nur Imna Khalisa Muhd Zamri meninggal dunia di taska itu. Bayi itu ditemui dalam keadaan kaku dan kebiruan oleh ibu bapanya ketika hendak membawa pulang bayi mereka pada 5.45 petang pada hari berkenaan.

Beliau berkata, JKM juga mendapati bahawa pengusaha Taska Permata Bonda gagal mematuhi syarat yang ditetapkan di bawah Peraturan-peraturan Taman Asuhan Kanak-Kanak 2012.

Norani berkata, di bawah peraturan itu, setiap pengusaha perlu memastikan pengasuh yang dilantik wajib menghadiri Kursus Asuhan dan Didikan Awal Permata dan lulus selama bekerja di taska masing-masing.

"Semakan mendapati empat pengasuh yang bekerja di Taska Permata Bonda pada hari kejadian masih belum menghadiri dan lulus kursus berkenaan," katanya.

Sehubungan itu, Norani berkata JKM dengan merujuk kepada Subseksyen 16 (1) (a) Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 (Akta 308), melalui perintah secara bertulis mengarahkan premis itu ditutup sementara sehingga diberitahu selanjutnya.

"Tindakan JKM ini mengambil kira kepada risiko kanak-kanak lain yang masih berada di taska itu," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X