Ahad, 5 Oktober 2014 | 4:42pm

Lelaki nyaris maut kereta dilanggar bas ekspres

NIBONG TEBAL: Seorang lelaki nyaris maut apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandunya terbabas dan dirempuh sebuah bas ekspres di Lebuhraya Utara-Selatan selepas hentian Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Bakap dekat sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, Toyota Avanza yang dipandu remaja berumur 21 tahun itu dipercayai hilang kawalan lalu melanggar besi pembahagi jalan.

"Pada masa yang sama, sebuah bas ekspres yang membawa 19 orang penumpang yang dalam perjalanan dari Kedah menuju Selangor, merempuh kereta berkenaan dan menyebabkan kedua-dua kenderaan itu terbabas di bahagian kiri jalan," kata sumber polis.

Akibat kejadian itu, empat penumpang, pemandu bas dan pemandu kereta itu cedera ringan.

Jurucakap berkata, mereka dihantar ke Hospital Sungai Bakap sementara penumpang lain meneruskan perjalanan dengan bas lain.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Wan Hassan Wan Ahmad mengesahkan kemalangan itu.

- BERNAMA

Berita Harian X