Jumaat, 20 November 2015 | 11:12am

Kedah sasar perkenal 50 pakej pelancongan baharu


GAMBAR fail, Perdana Menteri Kedah, Dato' Seri Mukhriz Mahathir (kanan), Pengerusi Jawatankuasa Warisan dan Pelancongan Negeri, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid (kiri) dan Pengarah Kanan Tourism Malaysia, Datin Normasila Musa pada majlis pelancaran 'Discover Kedah 2016' di Kuala Lumpur, September lalu.

SUNGAI PETANI: Sebanyak 50 pakej pelancongan baharu akan diperkenalkan menjelang 'Discover Kedah 2016', sebagai nilai tambah ke arah usaha menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.

Pengarah Tourism Malaysia, Kedah Roslan Othman berkata, terdapat beberapa tempat menarik yang berpotensi untuk diketengahkan sebagai destinasi pelancongan, namun memerlukan penambahbaikan khususnya dari segi promosi.

"Terbaharu ialah Island Hopping antara Pulau Songsong, Pulau Bidan dan Pulau Telor, yang menawarkan perkhidmatan bot membawa pelancong berkelah dan mandi-manda di kawasan terbabit serta aktiviti memancing di kawasan perairan di Yan.

"Kita akan melawat ke daerah seluruh Kedah, kecuali Pulau Langkawi, untuk mengenal pasti produk pelancongan berpotensi dengan kita mensasarkan keseluruhannya terdapat 50 pakej pelancongan dapat diwujudkan," katanya kepada media selepas menghadiri Bengkel Pembangunan Pakej Pelancongan Lembah Bujang dan Daerah Yan, di Sungai Petani Inn, di sini, petang semalam.

Roslan berkata, bagi mencapai sasaran 5 juta pelancong ke negeri ini, perlu ada tarikan baharu untuk menarik minat pelancong melawat Kedah, khususnya di tanah besar.

"Jika sebelum ini kita fokus kepada destinasi tetapi tidak bersedia dengan pakej menarik, menerusi bengkel ini kita mencari pakej-pakej baharu dan kreatif untuk diketengahkan dalam 'Discover Kedah 2016', seterusnya diuar-uarkan pada peringkat nasional menerusi 1001 pakej pelancongan di Malaysia.

Turut hadir pada bengkel berkenaan, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Kedah, Datuk Harun Jasin dan Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Pakej, Lembaga Penggalakkan Pelancongan Malaysia, Hishamuddin Mustafa.

Sementara itu, Harun berkata kawasan tanah besar di Kedah kaya dengan tarikan bersifat semulajadi seperti Gunung Jerai, Tasik Pedu, agropelancongan seperti madu kelulut serta sejarah berteraskan Kesultanan Melayu termasuk Balai Besar dan Masjid Zahir.

"Langkawi mempunyai segmen tersendiri, pantai dan laut, namun di tanah besar ada Tapak Arkeologi Lembah Bujang dan Sungai Batu serta makam Sultan Kedah pertama yang memeluk Islam iaitu Sultan Muzaffar Shah," katanya.

-- BERNAMA

16 dibaca
Berita Harian X