Jumaat, 20 November 2015 | 12:04am
SARUNG keris yang sudah siap dirapikan. - Foto Aswadi Alias
ZULKIFLI Yusof memotong kayu untuk membuat sarung keris. - Foto Aswadi Alias
PROSES memotong kayu untuk menghasilkan sarung keris. - Foto Aswadi Alias
ZULKIFLI Yusof menyusun hulu keris yang sudah siap diukir. - Foto Aswadi Alias
ZULKIFLI Yusof menyembur varnis pada sarung keris yang sudah siap diukir. - Foto Aswadi Alias
ZULKIFLI Yusof menunjukkan sarung keris yang sudah siap. - Foto Aswadi Alias

Industri pembuatan sarung keris 'bangkit' di era moden


SEJAK kecil, Zulkifli Yusof, 50, atau lebih dikenali sebagai Pak El dari Kampung Titian Ladang, Kuala Terengganu, sering menghabiskan masa melihat datuk dan bapanya menghasilkan pelbagai jenis sarung keris serta senjata yang ditempah pembeli dari seluruh pelusok negara.

Ketika rakan sebayanya seronok bermain guli dan gasing di laman rumah, dia pula lebih selesa memerhati dan mempelajari seni pertukangan daripada dua ahli keluarga yang dirasakan begitu menarik minat perhatiannya.

Bermula dari itu, Pak El mula berminat mempelajari seni pembuatan sarung keris secara serius apatah lagi pekerjaan itu adalah seni warisan keluarga sejak turun temurun yang diusahakan secara tradisional.

"Arwah datuk, Mohamad Awang dan bapa, Yusof Long adalah 'guru' dalam pembuatan dan ukiran sarung keris di negeri ini dan mereka amat terkenal dalam kalangan pengumpul dan pencinta keris bukan saja dalam negara malah sehingga ke Brunei, Indonesia dan Singapura.

"Sejak kecil, saya didedahkan dengan seni pertukangan indah ini yang membuatkan saya terus jatuh cinta dan berazam untuk meneruskan kesinambungan pekerjaan warisan ini sehingga akhir hayat," katanya yang memulakan perusahaan membuat keris secara serius pada 1990.


Zulkifli Yusof mempelajari seni menghasilkan sarung keris daripada datuk dan bapanya ketika kecil. - Foto Aswadi Alias

Walaupun kedudukan bengkelnya agak terpencil dan jauh terperosok di celah deretan rumah usang di perkampungan keris yang melahirkan ramai tukang seni tradisional, setiap produk yang dihasilkan pasti memuaskan hati pembeli.

Kemahiran itu, kata Pak El tidak diperoleh daripada pembelajaran formal di kolej mahupun universiti, tetapi berkat pengalaman dan tunjuk ajar orang lama mahir dengan selok belok seni pertukangan.

"Datuk dan bapa saya menghasilkan banyak sarung keris untuk istana yang menempah khas sarung yang ditempa emas dan bertakhta permata.

"Namun begitu, seperti saya, mereka tidak mempunyai banyak simpanan sendiri kerana ramai pengumpul dan peminat keris yang minta untuk beli apabila melihat koleksi yang disimpan rumah," katanya.

Pada anggapan sesetengah orang, industri pembuatan sarung keris sudah melewati usia senja dan hanya mengisi ruang pameran di galeri muzium serta pertunjukan tradisional.

Bagaimanapun, persepsi itu ternyata meleset apabila Pak El memaklumkan bahawa dia menghasilkan antara 100 hingga 200 sarung keris setiap bulan bagi memenuhi tempahan dari serata negeri sehinggakan sering tidak menang tangan.

"Alhamdulillah, tempahan sentiasa ada dan ada kalanya saya terpaksa menolak kerana bimbang tidak dapat menyiapkan tempahan dalam tempoh seperti yang diminta.


ZULKIFLI Yusof menunjukkan proses membuat sarung keris. - Foto Aswadi Alias

"Harga sarung bergantung pada jenis kayu yang digunakan, ukiran dan beberapa ciri lain seperti disadur dengan perak atau emas.

"Harga bagi sarung biasa antara RM100 manakala yang paling mahal saya pernah hasilkan ialah RM12,000 yang dijual kepada seorang pengumpul keris dari Johor," katanya yang menjadikan kerjaya seni itu sebagai profesion sepenuh masa.

Menyingkap cara pembuatan, Pak El berkata, antara jenis kayu yang sering digunakan ialah kayu kemuning dan kayu sena manakala ukiran yang biasa dilakukan ialah ukiran patah tiga, anak ayam dan demang sembilan untuk bahagian hulu keris.

"Kayu kemuning adalah jenis paling mahal dan cantik dijadikan sarung keris kerana urat serta warna kayunya yang cantik.

"Tetapi untuk keris biasa yang digunakan pesilat, saya menggunakan kayu sena dan harganya juga lebih murah iaitu sekitar RM100 berbanding kayu kemuning yang mencapai ribuan ringgit.

Selain kayu, saya juga menghasilkan sarung dan hulu keris daripada tanduk kerbau dan gading yang dijual dengan harga lebih tinggi kerana ia sukar didapati dan proses pembuatannya juga lebih rumit," katanya yang juga ahli Persatuan Seni Purba Terengganu.


ANTARA sarung keris yang dihasilkan Zulkifli Yusof. - Foto Aswadi Alias

Di sebalik kesungguhannya mempertahan seni warisan itu, terselit sedikit kegusaran di hati Pak El apabila lapan anaknya tidak berminat meneruskan legasinya pada masa depan.

"Pekerjaan ini sememangnya mempunyai masa depan jika diusahakan dengan bersungguh-sungguh dan sebagai bukti, saya mampu menanggung lapan anak dan menghantar tiga daripada mereka ke universiti tanpa pinjaman daripada mana-mana pihak.

"Walaupun semua anak tidak berminat meneruskan legasi ini, saya agak bernasib baik kerana adik bongsu, Mohd Razali Yusof, 30, mula berjinak-jinak menolong saya di bengkel.

"Saya bimbang, kraf ini akan terus pupus kerana sekarang ini di perkampungan keris, hanya saya seorang yang masih kekal mengusahakan perusahaan ini berbanding 20 keluarga pada suatu masa dulu.

"Seni ini bukan semata-mata sumber pencarian keluarga. Lebih daripada itu, ia adalah lambang warisan dan semangat jati diri kita sebagai orang Melayu," katanya.

170 dibaca
Berita Harian X