Khamis, 19 November 2015 | 8:43pm

Shiha Zikir berentap di dAcademy Asia, Jakarta

KUALA LUMPUR: Ketika ini, Shiha Zikir di samping empat lagi peserta dari Malaysia termasuk Mimi One Nation Emcees sedang berentap dalam pertandingan dAcademy Asia di Jakarta Indonesia.

Tiga lagi wakil dari Malaysia ialah Fitri Hiswady, Syuhada dan Hazman. Shiha ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp memberitahu dia sudah berada di sana sejak 12 November lalu.

Menurut protege kepada biduanita negara, Allahyarhamah Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar menerusi pertandingan Mentor musim kelima itu, pertandingan yang sama sebelum ini mula dikenali dengan nama Dangdut Academy. Hanya pada tahun ini ia ditukar menjadi dAcademy Asia dan membabitkan 20 peserta dari Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura.

"Setiap negara perlu menghantar lima orang wakil. Kami semua akan dipecahkan kepada lima kumpulan iaitu A, B, C, D dan E. Shiha berada dalam kumpulan B. Setiap kumpulan itu ada empat peserta dari empat negara bertanding. Kali ini bukan setakat lagu dangdut, peserta juga boleh menyanyikan lagu tradisional dan sebab itu juga nama pertandingan ini ditukar menjadi dAcademy Asia.

"Shiha sendiri lebih kepada lagu tradisional. Dangdut itu ada juga tapi tak banyak macam lagu tradisional. Shiha mahu martabatkan budaya negara kita menerusi lagu tradisional. Peserta yang masih mara akan berentap di sini sekitar sebulan setengah. Peringkat akhir akan berlangsung pada 29 Disember hadapan.

"Peserta akan berentap hari Khamis dan Jumaat. Keputusan siapa yang akan mara dan kecundang akan diumumkan pada hari Jumaat. Juri yang terbabit juga dari semua negara. Keputusan dikira daripada juri profesional dan tak membabitkan langsung undian SMS," katanya.

Menurut Shiha lagi, peserta boleh menyanyikan lagu Melayu daripada pelbagai genre termasuk dangdut.

"Tak kiralah lagu jazz, balada atau apa sahaja genre pun kebanyakan lagu akan didangdutkan. Shiha juga menyanyikan lagu Indonesia selain lagu Malaysia," katanya.

Berita Harian X