Khamis, 19 November 2015 | 7:59pm

Pendapatan sembilan bulan Media Prima RM1.06b

KUALA LUMPUR: Media Prima Bhd mencatat keuntungan selepas cukai (PAT) RM106.8 juta dan meraih pendapatan RM1.06 bilion bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2015.

Walaupun pendapatannya dalam tempoh dikaji susut sebanyak lima peratus, Media Prima mampu mengekalkan keuntungan dalam perbandingan tahun ke tahun dan mencatatkan peningkatan keuntungan operasi sebanyak lima peratus.

Bagi suku ketiga tahun kewangan 2015, Media Prima meraih pendapatan RM365.4 juta dan mencatatkan keuntungan selepas cukai RM45.1 juta, iaitu peningkatan sebanyak tujuh peratus walaupun pendapatan yang diraih adalah sama seperti suku kedua 2015.

Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri FD Iskandar, berkata kumpulan sudah menjangkakan bahawa persaingan sengit, pasaran yang lemah dan persekitaran operasi secara keseluruhannya sangat mencabar bagi tahun 2015.

"Walaupun begitu, Media Prima akan terus menilai dan menambah baik kecekapan dalaman serta menguruskan kos secara lebih berhemah," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau menambah, kumpulan mengumumkan dividen interim kedua sebanyak 2.0 sen sesaham biasa dalam suku ketiga tahun kewangan 2015.

"Dengan ini, jumlah dividen interim keseluruhan setakat sembilan bulan pertama tahun kewangan 2015 adalah sebanyak lima sen," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Media, Datuk Seri Amrin Awaluddin, berkata baki tahun ini dijangka akan terus mencabar bagi kumpulan.

Katanya, selain daripada keadaan pasaran yang lemah, perubahan permintaan pengguna yang semakin cenderung ke arah media digital, membawa perubahan kepada pasaran perbelanjaan pengiklanan walaupun platform media tradisional masih teguh dalam kumpulan Media Prima.

"Kami sudah melabur lebih awal untuk menyampai pengisian melalui media digital yang dipercayai adalah pelengkap kepada platform media kumpulan yang sedia ada.

"Dengan kejayaan Tonton yang mencapai lebih lima juta pengguna berdaftar, digabung dengan aplikasi yang sedia ada untuk pengguna IOS dan Android daripada platform media Cetak dan Radio, Media Prima berjaya mempamerkan kesediaan kami untuk mengambil segala peluang yang ada pada masa hadapan," katanya.

Beliau berkata, selain kekal berwaspada tentang perkembangan pengiklanan dari segi sentimen pengguna serta keadaan ekonomi semasa, Media Prima akan terus fokus dalam pelaksanaan strategi utama dalam mengembangkan pengiklanan untuk baki tahun kewangan ini kerana berdasarkan arah aliran lampau, perbelanjaan pengiklanan dalam industri dijangka meningkat di penghujung tahun.

Kumpulan Media Prima, katanya akan terus menyediakan pengisian tempatan dan antarabangsa di samping usaha menembusi pasaran baru dan menambah saluran pendapatan yang baharu.

"Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) terus meraih bilangan penonton terbesar, yang mana 20 program rating tertinggi disiarkan dari bulan Julai sehingga September 2015 adalah melalui rangkaian MPTN," katanya.

Rangkaian Radio Media Prima (MPRN) terus kekal popular dengan peningkatan pengikut media sosial sebanyak 6.2 juta orang untuk ketiga-tiga stesen radionya.

Kumpulan juga telah memperkembangkan bisnes dengan memperoleh dua lagi stesen radio iaitu Ultra FM dan Pi Mai FM pada bulan Oktober.

Bagi media cetak pula, inisiatif pengedaran dan pemasaran baru sentiasa dilaksanakan disamping usaha memacu perkembangan kehadiran jenama melalui media digital.

Inisiatif terkini adalah pengenalan aplikasi mudah alih untuk New Straits Times, BH dan Harian Metro yang boleh dimuat turun oleh konsumer yang menggunakan perisian IOS dan Android.

Media pengiklanan di luar rumah (OOH) Media Prima pula berjaya bertahan dengan mencatatkan pertumbuhan pendapatan dan keuntungan lepas cukai berbanding 2014.

Pada 2015, Media Prima berjaya mendapatkan hak konsesi ruang pengiklanan di Nu Sentral, serta hak penamaan untuk Monorel KL Bukit Bintang dan laluan LRT Kelana Jaya stesen Bangsar.

Berita Harian X