Khamis, 19 November 2015 | 7:53pm

Paip bocor, silap pasang tingkat NRW - SPAN


KETUA Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Datuk Mohd Ridhuan Ismail (dua dari kanan) dan Pengurus Besar Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Ir Jaseni Maidinsa (tiga dari kiri) ketika melawat gerai pameran sempena seminar Kesedaran Dan Pematuhan Akta Industri Perkhidmatan Air 2015 di Hotel Ixora, Prai. - Foto Zulaikha Zainuzman

BUTTERWORTH: Paip bocor dan pemasangan paip yang tidak menepati prosedur adalah antara penyumbang kepada peningkatan kadar Air Tidak Terhasil (NRW) di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Datuk Mohd Ridhuan Ismail, berkata NRW yang dicatat di Pulau Pinang ialah 192 juta liter sehari atau 18.9 peratus.

"Walaupun ia menunjukkan kadar yang rendah berbanding negeri lain di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan iaitu 35.5 peratus, adalah penting untuk semua pihak memainkan peranan supaya isu NRW ini dapat diatasi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Seminar Kesedaran dan Pematuhan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 di sini hari ini.

Sementara itu, CEO Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir Jaseni Maidinsa, ketika ditemui pada majlis itu berkata penggunaan produk paip yang tidak berkualiti, selain pemasangan tidak menepati standard Akta Industri Perkhidmatan Air (IPA) 2006 merupakan penyumbang utama masalah itu.

"Jika kita boleh kurangkan masalah pemasangan paip dan meter air, maka kita boleh kurangkan NRW lebih kurang 75 peratus," katanya.

Beliau berkata, sasaran kerajaan di bawah rancangan Malaysia ke-11 adalah untuk mengurangkan NRW sebanyak 25 peratus dan berharap semua pihak terlibat bersama menggembleng tenaga ke arah kualiti kerja yang tinggi dan menepati piawaian yang telah ditetapkan.

Seramai 400 peserta terdiri daripada penggiat industri perkhidmatan air, kontraktor dan tukang paip sekitar negeri ini menghadiri seminar hasil usaha sama SPAN, PBAPP, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Pulau Pinang dan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK).

Seminar sehari itu antara lain mendedahkan peserta dengan jenis permit, skop, tatacara dan tanggungjawab pemegang permit permohonan dan pembaharuan permit yang dilihat dapat dijadikan panduan kepada pemaju, kontraktor dan tukang paip dalam meningkatkan mutu kerja pembinaan bekalan air dan pembentungan.

- BERNAMA

17 dibaca
Berita Harian X