Khamis, 19 November 2015 | 4:51pm

Shah Iskandar tak sabar jadi suami, nikah 16 Januari


SHAH Iskandar dan bakal isteri, Siti Sarah.

KUALA LUMPUR: Kurang dua bulan lagi pelakon kelahiran Singapura yang mencari rezeki di Malaysia, Shah Iskandar bakal menamatkan zaman bujangnya dengan cinta hatinya, Siti Sarah Mohd Noor.

Tarikh juga sudah dipilih. Pasangan ini akan bernikah pada 16 Januari di Singapura pada sebelah petang dan diikuti dengan majlis keraian pada sebelah malam hari yang sama.

Seterusnya Shah dan Sarah akan bersanding di Shah Alam pada 16 April. Jarak hari pernikahan dan persandingan memang agak ketara jauhnya kerana pelakon berkenaan ada komitmen di Singapura selama tiga bulan iaitu dari Januari hingga Mac tahun hadapan untuk menjadi pengacara sebuah program yang mencungkil bakat dalam bidang lakonan dan pengacaraan.

Ditanya bagaimana perasaannya menjelang hari bahagia dan bakal mengubah status menjadi suami, Shah mengakui cukup teruja menoktahkan hubungan cintanya dengan Sarah ke jenjang pelamin.

"Saya rasa gembira. Tak sabar nak jadi khalifah keluarga. Insya-Allah semoga semua dipermudahkan dan berjalan lancar. Saya tak ada impian perkahwinan sangat kerana lebih suka bersederhana dan apa yang lebih penting serta patut diutamakan ialah kehidupan selepas semua majlis kahwin ini berakhir

"Saya banyak serahkan konsep atau tema perkahwinan kepada isteri. Yalah perempuan yang banyak ambil tahu mengenai perihal ini. Saya cuma pentingkan makanan cukup dan sedap untuk tetamu yang bakal hadir menyaksikan hari penyatuan kami. Alhamdulillah persiapan sudah 95 peratus siap," katanya membuka bicara.

Ditanya apakah dia ada mendapat nasihat atau tips daripada kawan atau ahli keluarga mengenai tanggung jawab baharu yang bakal disandangnya kelak, Shah mengakui ramai yang berkongsi pengalaman mereka.

"Kebanyakannya cakap saya kena kurangkan boros sebab bukan hidup bujang lagi. Saya kena pandai membahagi masa antara kerjaya, keluarga dan kawan. Isteri jadi keutamaan nanti," katanya.

Mengenai program yang dihoskannya itu, ia diberi nama Anugerah Skrin.

"Program yang sama juga bakat saya dicungkil. Dahulu saya peserta dan kini jadi hos pula. Ia pengalaman berbeza. Sebab komitmen ini juga, saya hanya boleh bersanding di Malaysia pada bulan April," katanya.

Ketika awal perkenalan, Shah mengambil jalan selamat untuk bersikap tidak terlalu menunjuk-nunjuk mengenai hubungannya dengan Sarah.

"Cuma selepas makin kenal diri masing-masing dan bertemu keluarga, kami jadi lebih rapat. Umur saya pun makin meningkat. Saya sudah 33 tahun, dia pula 30 tahun. Saya kenal dia pun melalui kakaknya. Ketika itu, kakaknya menyuruh saya membuat ulasan dan promosi produk di laman Instagram," katanya.

38 dibaca
Berita Harian X