Khamis, 19 November 2015 | 12:58pm

Ngeh Koo Ham diarah keluar DUN Perak


MENTERI Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (kanan) berbincang dengan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sitiawan Datuk Ngeh Koo Ham (kiri) selepas penangguhan hari kedua Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Yang Ke-13 di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini. - Foto BERNAMA

IPOH: Penasihat DAP Perak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sitiawan, Datuk Ngeh Koo Ham, diperintah keluar Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak sepanjang hari ini.

Keputusan itu dibuat oleh Speaker DUN Perak, Datuk Seri S K Devamany selepas Koo Ham enggan memohon maaf selepas menuduh Speaker tidak berlaku adil dengan mendakwa memendekkan masa ucapannya ketika mengambil bahagian dalam perbahasan Bajet Perak 2016.

Devamany berkata, keputusan itu dibuat kerana Koo Ham masih terus menggunakan perkataan dan ayat berbentuk provokasi sehingga menimbulkan kekecohan dalam DUN.

Terdahulu, Koo Ham menuduh kerajaan Perak mencuri wang rakyat berjumlah RM5 bilion membabitkan nilai tanah yang diberi kepada Perbadanan Menteri Besar (MB Inc).

Beliau bagaimanapun menarik balik perkataan mencuri itu selepas pihak kerajaan membantah dan berlaku kekecohan tetapi masih tetap dengan pendiriannya bahawa tanah terbabit diberi kepada MB Inc dalam keadaan mencurigakan.

Sementara itu, DUN Perak hari ini meluluskan usul meminta Leow Thye Yih (DAP-Aulong) mohon maaf dan menarik balik tuduhannya ketika berbahas semalam mendakwa Menteri Besar mengambil komisen daripada pemaju bagi projek hartanah di Taiping.

Usul itu meminta Thye Yih melakukan perkara itu sebelum Sidang DUN berakhir petang ini dan jika masih gagal berbuat demikian, akan dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Perak.

Beliau juga dicabar mengeluarkan kenyataan itu di luar DUN agar tindakan undang-undang boleh diambil terhadapnya.

Usul itu dibawa oleh Datuk Zahir Khalid (BN-Kamunting) dan disokong oleh Datuk Khusairi Talib (BN-Slim) dan menerima undian majoriti dewan.

Berita Harian X