Ahad, 5 Oktober 2014 | 12:11pm
REMUK ... Keadaan kereta yang terbabit dalam kemalangan yang menyebabkan enam sekeluarga maut di Kilometer 142.8 Jalan Kuantan-Segamat, Muadzam Shah di sini malam tadi.

Identiti tiga lagi mangsa nahas di Rompin dikenal pasti


SEORANG ahli keluarga mangsa kelihatan sayu ketika melihat keadaan kereta yang terbabit dalam kemalangan yang menyebabkan enam sekeluarga maut di Kilometer 142.8 Jalan Kuantan-Segamat, Muadzam Shah. - Foto Luqman Hakim Zubir

ROMPIN: Identiti tiga daripada enam sekeluarga yang maut dalam kemalangan di Kilometer 142.8 Jalan Kuantan-Segamat, Muadzam Shah di sini malam tadi, sudah dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya, berkata mereka terdiri daripada tiga beradik iaitu Mohd Wazin Azhar, 20, Ain Nadiah, 13, dan Ain Najihah, 2.

Identiti tiga mangsa yang dikenal pasti semalam ialah bapa mereka, Azhar Mat Ali, 43, dan dua isterinya, Zaliha Johar, 42, (isteri pertama) dan Siti Habibah Kasbon, 43, (isteri kedua).


REMUK ... Keadaan kereta yang terbabit dalam kemalangan yang menyebabkan enam sekeluarga maut di Kilometer 142.8 Jalan Kuantan-Segamat, Muadzam Shah di sini malam tadi.

Mayat Azhar, Ain Nadiah dan Ain Najihah (kedua-duanya anak isteri kedua) dihantar ke Hospital Muadzam Shah manakala mayat Mohd Wazin (anak isteri pertama), Zaliha dan Siti Habibah dihantar ke Hospital Rompin, katanya.

"Kesemua mangsa akan dibedah siasat pada pagi ini di hospital berkenaan," katanya kepada Bernama hari ini.

Johari berkata, kemalangan kira-kira jam 8.30 malam itu berlaku semasa enam sekeluarga itu dalam perjalanan dari arah Segamat menuju ke rumah ibu Azhar di Keratong 2, Bandar Tun Razak di sini, apabila hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung sebuah bas.


KEADAAN bas yang terbabit dalam kemalangan yang menyebabkan enam sekeluarga maut di Kilometer 142.8 Jalan Kuantan-Segamat, Muadzam Shah di sini malam tadi.

Katanya, seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan dalam bas itu mengalami kecederaan ringan di kepala namun dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Segamat manakala pemandu bas yang cedera di mata akibat terkena serpihan cermin bas kini dirawat di hospital sama.

Seramai 25 lagi penumpang bas itu tidak mengalami sebarang kecederaan, katanya.

- BERNAMA

277 dibaca
Berita Harian X