Selasa, 17 November 2015 | 6:36pm

Tindakan tegas guru cuai, kes buli murid


EXCO Pendidikan, Sains Teknologi dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib. - Foto Rozainah Zakaria

KUALA TERENGGANU: Tindakan tegas akan diambil ke atas guru sebuah sekolah di Besut jika didapati ada unsur kecuaian pihak sekolah berhubung kes buli yang menjadi viral di laman sosial baru-baru ini.

EXCO Pendidikan, Sains Teknologi dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib berkata pihaknya akan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Pendidikan di mana guru sekolah berkenaan turut disiasat.

"Kita akan siasat jika ada kecuaian guru dan guru besar sekolah itu. Kita akan lihat kenapa tiada ustaz atau ustazah mengawasi keadaan sehingga terjadinya insiden berkenaan," katanya ketika diminta mengulas video buli yang tersebar di laman sosial sejak dua hari lepas.

Video berdurasi 6 minit 29 saat itu memaparkan sekumpulan murid lelaki memukul seorang murid lain yang lengkap berpakaian pengawas di surau sekolah berkenaan.

Menerusi rakaman video itu, seorang murid Tahun Empat dan lima pelajar Tahun Lima yang berpakaian sukan menumbuk secara bergilir-gilir, menyepak, memijak bahu dan memaksa mangsa mencium stokin.

Ghazali berkata jika terbukti wujudnya kecuaian, pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan ke atas guru yang terbabit termasuk dipecat atau ditukar.

"Bagaimanapun kes ini perlu disiasat lebih terperinci dan kita akan putuskan nanti," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Terengganu, Shafruddin Ali Hussin berkata pihaknya akan mengikut SOP yang telah ditetapkan untuk menyiasat kes berkenaan.

"Kita juga akan turut memberikan kaunseling kepada mangsa untuk mengatasi trauma yang dialami dan satu perjanjian menyelesaikan perkara itu dengan cara baik akan dilakukan.

"Namun ia bergantung kepada budi bicara keluarga mangsa," katanya.

--BERNAMA

14 dibaca
Berita Harian X