Selasa, 17 November 2015 | 5:17pm

Aaliyah buru 20 terbaik ski dunia


ATLET ski air negara, Aaliyah Yoong Hanifah. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

KUALA LUMPUR: Atlet ski air negara, Aaliyah Yoong Hanifah memburu tempat dalam kelompok 20 terbaik di Kejohanan Ski Air Dunia di Boca Laaguna, Chapala, Mexico.

Bergelar 'veteran' walaupun hanya berusia 12 tahun, Aaliyah juga berhasrat mara ke peringkat akhir buat pertama kali dalam kejohanan itu, selain menguji dirinya berhadapan dengan atlet ski tricks terbaik dalam kejohanan kali ketiga itu.

Bagaimanapun, cabaran sebenar untuk Aaliyah ialah beraksi dengan lebih baik di gelanggang ski yang asing bagi beliau.

"Ia akan menjadi gelanggang yang sangat mencabar dan saya perlu berhati-hati.

"Objektif saya bagaimanapun untuk memperoleh lebih banyak pengalaman di peringkat tertinggi dan berharap dapat meraih kedudukan dalam 20 terbaik di dunia buat kali ketiga," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Aaliyah yang menduduki ranking ke-28 di dunia dalam acara tricks wanita dalam senarai kedudukan IWWF, diletakkan sebagai pilihan dalam Siri 2 dan memulakan pusingan awalnya pada Jumaat.

Buat pertama kalinya dalam pertemuan dunia, Aaliyah juga akan beraksi dalam acara slalom pada Selasa, tetapi beliau dijangka tidak akan menempah tiket akhir.

Ketua jurulatih Persekutuan Ski Air dan Wakeboard Malaysia (MWWF) Hanifah Yoong berkata beraksi dalam keadaan yang agak asing agak sukar bagi kebanyakan atlet ski.

"Di dunia ini, tidak ada sesiapa pun yang melakukan aksi peribadi terbaik kerana mereka semua gugup untuk berhadapan dengan acara yang lebih besar. Yang terbaik di dunia mencatatkan 1,000 mata kurang daripada pencapaian terbaik mereka.

"Bagi Aaliyah dan yang lain, air itu agak bersabun dan tangan peluncur ski boleh terlepas daripada pemegang atau kaki mereka terkeluar daripada pengikat belakang," kata Hanifah.

-- BERNAMA

Berita Harian X