Selasa, 17 November 2015 | 2:47pm

Polis Kluang tahan 3 lelaki, rampas poster

JOHOR BAHARU: Polis menahan tiga lelaki dan merampas 308 poster iklan pinjaman wang tanpa lesen dalam Op Vulture di Taman Berlian Biru, dekat Kluang, semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamad Laham berkata ketiga-tiga mereka ditahan ketika sedang memasang poster iklan pinjaman wang itu di tiang elektrik dan pokok di tepi jalan di perumahan berkenaan.

"Bertindak atas maklumat, empat pegawai dan tiga anggota polis bersama sembilan pegawai penguatkuasa Majlis Perbandaran Kluang (MPK) membuat pemantauan operasi menurunkan poster iklan itu di kawasan bandar dan taman-taman perumahan bermula 10.30 pagi hingga 2 petang.

"Ketika operasi di Taman Berlian Biru, polis dan pegawai penguatkuasa MPK menahan tiga lelaki terbabit.

"Selain itu mereka juga merampas 308 keping poster iklan iaitu 45 keping daripadanya diturunkan daripada tiang elektrik, papan tanda jalan dan pokok manakala 263 keping lagi dirampas daripada kenderaan yang dinaiki ketiga-tiga lelaki itu," katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Mohamad berkata, semua lelaki berumur 25 hingga 37 tahun berserta kereta Proton Waja yang dinaiki mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata siasatan awal mendapati ketiga-tiga mereka datang dari Johor Baharu dan memasang poster iklan di sekitar Kluang bagi mendapatkan para peminjam wang baru.

Katanya, mereka disiasat mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.

Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai lebih berhati-hati dan tidak mudah percaya dengan iklan haram pinjaman wang kerana dikhuatiri menjadi mangsa Along selain memilih saluran yang betul sekiranya ingin memohon pinjaman wang.

-- BERNAMA

Berita Harian X