Selasa, 17 November 2015 | 7:34am

Malaysia perlu lahir jaguh tenis antarabangsa


Imran Daniel Abdul Hazli

Kejayaan Imran Daniel Abdul Hazli dalam pertandingan Kejohanan Tenis Masters Remaja Dunia, di Turki baru-baru ini menggembirakan penggemar sukan tenis di negara ini. Malaysia tidak pernah melahirkan pemain tenis yang menggegarkan pentas antarabangsa. Sebelum ini, peminat tenis di Malaysia pernah berbangga atas pemain remaja Australia yang meningkat naik, Nicholas Hilmy 'Nick' Kyrgios yang beribukan kelahiran Malaysia, Norlaila Kyrgios.

Pada awal usia 10 tahun, Imran yang menjadikan Novak Djokovic sebagai idola sudah mencatat nama di arena antarabangsa. Usia sebegini amat kritikal bagi pemain tenis muda yang berpotensi untuk pergi lebih jauh. Tidak mustahil jika Imran dapat bermain dengan konsisten dan dibantu secara profesional, Malaysia mampu melahirkan seorang jaguh tenis terbaik dunia dan pemenang Grand Slam.

Pemain tenis terbaik dunia seperti Roger Federer, Novak Djokovic dan Rafael Nadal mendapat pendedahan tenis seawal usia empat tahun. Mereka mendapat latihan profesional malah sanggup berhijrah ke luar negara pada usia muda. Pemain tenis wanita Russia, Maria Sharapova adalah contoh klasik bagaimana kegigihan dan pengorbanan hidup di usia muda dapat mengubah destini kehidupan.

Maria dilahirkan di Nyagan, Russia berhijrah ke Florida, Amerika Syarikat ketika berusia tujuh tahun. Setahun sebelum itu, dia diyakinkan oleh legenda tenis wanita, Martina Navratilova yang melihat corak permainan Maria yang memiliki potensi besar. Maria berhijrah ke Amerika Syarikat bersama ayahnya, Yuri Sharapov. Dia terpaksa berpisah dengan ibunya, Yelena Sharapova buat sementara waktu kerana mempunyai masalah visa.

Meninggalkan Russia pada usia muda adalah pengalaman kehidupan yang sukar bagi Maria. Bapanya terpaksa bekerja mencari wang untuk membiayai latihan Maria di Amerika Syarikat.

Tidak dapat dinafikan, seseorang pemain tenis yang berjaya perlu mendapat latihan profesional dan pembiayaan mencukupi. Inilah yang diperlukan oleh pemain cilik negara, Imran jika mahu terus berjaya sebagai pemain tenis disegani di dunia. Baru-baru ini, ayah Imran, Abdul Hazli Zainuddin yang juga bekas pemain tenis kebangsaan berkata, Imran memerlukan tajaan sekitar RM300,000 setahun bagi menampung pelbagai keperluan untuk mencorak kejayaannya sebagai jaguh tenis, termasuk sesi latihan, peralatan sukan dan pembelajaran.

Permintaan bapa Imran ini bukanlah terlalu besar dan luar biasa. Dalam sukan tenis, ia sememangnya memerlukan perbelanjaan besar kerana pemain perlu mendapat pendedahan antarabangsa dengan menyertai sekerap mungkin pertandingan di luar negara. Ini belum lagi soal mendapat latihan secara profesional di akademi tenis yang berwibawa.

Jika mahu menjadi pemain terbaik dunia, Imran perlu diletakkan di bawah akademi tenis yang boleh memberi latihan terbaik yang setara dengan pemain luar negara. Malah, jika ada keperluan untuk Imran berhijrah ke luar negara untuk mendapat latihan yang sempurna dan terbaik, ia mesti dipertimbangkan oleh keluarga dengan sewajarnya.


Nicholas Hilmy 'Nick' Kyrgios

Sokongan KBS

Pihak kerajaan khususnya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) perlu memberi sokongan khususnya dana yang boleh membantu Imran mendapat latihan dan pendedahan antarabangsa. Pihak swasta juga perlu membuka mata kepada potensi Imran dengan menghulurkan tajaan demi membantu negara melahirkan jaguh tenis bertaraf dunia.

Bersandarkan kepada pendedahan antarabangsa dan latihan akademi, dia boleh menjadi pemain profesional dalam tempoh empat atau lima tahun lagi. Pada usia 14 atau 15 tahun, kebanyakan pemain terbaik tenis dunia menjadi pemain profesional dan mula mencipta nama dengan layak bermain seterusnya memenangi kejohanan Grand Slam.

Melalui latihan yang terbaik, Imran boleh menjadi ikon sukan baharu negara, kerana Malaysia tidak cukup sekadar memiliki Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Nicol David. Keringat jaguh badminton dan skuasy sudah hampir semua ditumpahkan oleh mereka berdua dengan pelbagai kejohanan peringkat antarabangsa. Justeru, kita perlu melahirkan ikon sukan negara baharu yang terus dapat menempatkan nama Malaysia di mata dunia.

Kisah kejayaan Imran membuka mata kita bahawa dia mempunyai bakat besar. Malaysia bakal mencatat sejarah apabila pemain tenis negara memenangi kejohanan Grand Slam pada masa akan datang. Namun ia hanya boleh menjadi kenyataan jika bakat Imran terus diasah dengan bantuan dan sokongan semua pihak yang berkepentingan. Seluruh rakyat Malaysia mendoakan kejayaan, Imran Daniel Abdul Hazli. Semoga kisah kejayaannya terus berkumandang. Selamat maju jaya.

Penulis ialah Profesor Madya di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM)

28 dibaca
Berita Harian X