Ahad, 15 November 2015 | 5:57pm

Parah dipukul gara-gara tempat letak kereta


MANGSA kes gaduh mendapat rawatan dari anggota Jabatan Perkhidmatan Awam di kawasan astaka Desa Mawar, Kampung Melayu, Air Itam, Georgetown, hari ini.

GEORGE TOWN: Seorang peniaga parah dipukul lebih 10 individu selepas berlaku pertengkaran antara mangsa dengan mereka berhubung masalah tempat letak kereta di kawasan astaka Desa Mawar, Kampung Melayu, Air Itam di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid berkata dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu mangsa yang berusia 40 tahun dikatakan bergaduh selepas keretanya dikatakan menghalang sebuah kereta lain untuk masuk ke kawasan astaka berkenaan.

"Menurut rakan mangsa, pertengkaran mulut berlaku antara mangsa dengan beberapa lelaki yang menaiki kereta itu.

"Dan beberapa minit kemudian, sekumpulan lelaki yang terdiri kira-kira 10 orang menyerang mangsa dengan parang, kayu, topi keledar dan batu," katanya di sini hari ini.

Mior Faridalatrash berkata mangsa yang mengalami kecederaan patah tangan kanan dan luka serta lebam di kepala, leher, tangan serta badan dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.

"Menurut doktor, lelaki itu kini dalam keadaan stabil tetapi memerlukan pemantauan rapi akibat kehilangan banyak darah.

"Usaha mengesan mereka yang terbabit dalam kejadian itu sedang giat dijalankan. Kita meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi balai polis berdekatan," katanya.

-- BERNAMA

Berita Harian X