Ahad, 15 November 2015 | 5:47pm

Pengasingan sisa pepejal diterima baik

KETUA Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohammad Mentek merasmikan program Gotong-Royong Perdana dan Kempen Promosi Pengasingan Sisa Pepejal di Punca peringkat Kebangsaan 2015 di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Mulia, Bandar Tun Razak, hari ini. - Foto Muhd Asyraf Sawal

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan pengasingan sisa pepejal di punca yang dilaksanakan di tujuh negeri bermula 1 September lalu diterima baik oleh orang ramai apabila terdapat peningkatan tahap kesedaran terhadap program itu.

Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohammad Mentek berkata sebanyak 268,329 kilogram (kg) barangan kitar semula dikutip di Kuala Lumpur/Putrajaya, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis dan Kedah, bermula 1 Sept hingga 11 Nov.

Katanya, daripada jumlah itu 24,503 kg kutipannya adalah sisa plastik, yang juga kutipan tertinggi.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Gotong-Royong Perdana dan Kempen Promosi Pengasingan Sisa Pepejal di Punca peringkat Kebangsaan 2015 di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Mulia, Bandar Tun Razak di sini, hari ini.

Program itu dianjurkan oleh Solid Waste Management and Public Cleansing Corporation (SWCorp).

Bermula 1 September lalu, isi rumah di tujuh negeri terbabit yang menerima pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 672) - diwajibkan mengasingkan sisa pepejal mengikut kategori seperti plastik, kertas, kadbod, kaca, besi dan sisa makanan.

Seorang suri rumah, Siti Fatimah Ahmad, 53, berkata program yang diadakan hari ini memberi manfaat kepada penduduk untuk membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar.

Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Taman Mulia, Mohd Feisal Abdul Manaf, 49, berkata setakat hari ini hampir 3,000 kg sisa pepejal berjaya dikumpulkan oleh penduduk kawasan tersebut.

"Barangan itu dijual untuk tujuan kitaran semula," katanya.

-- BERNAMA

Berita Harian X