Jumaat, 13 November 2015 | 5:57pm

Siaran ASK 2015 raih 5.2 juta tontonan


KREW dan pelakon kategori Drama Terbaik, 'Lorong Kecil Ke Syurga'.

KUALA LUMPUR: Anugerah Skrin 2015 (ASK 2015), anugerah dianggap paling berprestij dekad ini menyaksikan kemenangan besar drama 'Lorong Kecil Ke Syurga' terbitan Aniq Communication Sdn Bhd apabila menggondol lima anugerah utama.

Antaranya, Drama Terbaik, Pengarah Terbaik Drama (Raja Mukhriz), Lakon TV Terbaik (Joe Sidek), Penyunting Terbaik Drama (Akashdeep Singh), dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama (Raja Ilya) di samping meraikan Lelaki Harapan Dunia sebagai Filem Terbaik.

Malam penuh gemilang ASK 2015 berjaya meraih jumlah penonton tertinggi sebanyak 5.2 juta (11.1 TVR) atau 32 peratus syer penonton sewaktu tayangan secara langsung di TV3 bermula dari jam 9 malam hingga 12 tengah malam.

Karpet Merah yang disiarkan secara langsung di TV9 menerusi program Hip TV pada 8 November lalu dari jam 8.30 hingga 9.00 malam juga mencecah kadar tontonan sehingga 1.2 juta penonton sewaktu bersiaran, menurut sumber daripada Nielsen Audience Measurement.

Selain menonton secara langsung di TV3, keseluruhan acara yang bermula dengan Karpet Merah pada jam 7.45 malam itu juga disiarkan secara 'global live streaming' melalui komputer, tablet dan telefon pintar di laman web rasmi ASK 2015 (www.anugerahskrin.com).

Rekod menunjukkan lebih 35,000 menonton program ini secara online di seluruh dunia terutama dari Singapura, Brunei, Australia & United Kingdom.

Ia juga mendapat sambutan hangat dengan lebih 150,000 melayari laman web rasmi ASK 2015.

Kamera 360 juga antara kelainan yang dibawa kali ini mendapat sambutan yang cukup menggalakkan dengan hampir 25,000 tontonan menerusi laman Youtube.

Di laman sosial Twitter pula, #ASK2015 mendapat sambutan yang sangat menggalakkan sehingga berjaya menduduki ranking pertama secara 'global'.

Sehingga hari ini, 'catch up' untuk video program ini menjangkau lebih 20,000 tontonan di www.tonton.com.my.

Kepada yang ketinggalan menonton Karpet Merah dan juga ASK 2015, mereka masih boleh saksikan menerusi 'catch up' di www.tonton.com.my.

ASK 2015 menggandingkan dua figura popular iaitu Awie dan Fara Fauzana untuk mengemudikan majlis penganugerahan manakala Karpet Merah dikendalikan oleh Hani Hatim, Muadz dan Ain Edruce.

Babies Blinks Gold adalah penaja utama bagi acara paling dinantikan ini dan Huawei pula sebagai penaja bersama di samping Kotex dan Altel sebagai penaja.

ASK 2015 ini turut diserikan dengan barisan rakan media seperti Tonton, Hot FM, Harian Metro dan ZIP (Majalah Digital).

Tahun ini, ASK 2015 memilih tema "Raikan Bintang" (Celebrating the Stars) sebagai konsep malam penganugerahan.

Tema warna emas dan hitam yang memberi simbol kilauan bintang yang bersinar di langit ditampilkan sebagai warna utama dalam produksi ASK 2015 menerusi set pentas, dekorasi keseluruhan serta pakaian dan tata rias untuk menghidupkan suasana glamor.

Secara keseluruhan, ASK 2015 mempertandingkan 31 kategori yang meliputi 12 kategori drama, 7 kategori filem, 6 kategori penerbitan dalaman dan 6 kategori teknikal.

Untuk kategori drama, 16 buah drama, 8 drama rantaian, 3 drama rantaian komedi dan 3 drama rantaian popular media sosial telah dicalonkan.

Bagi kategori filem pula, 25 filem terbitan tempatan layak dipertandingkan. ASK 2015 kali ini telah menyaksikan Amar Asyraf meraih trofi anugerah bagi Pelakon Lelaki Terbaik Drama, Sara Ali merangkul anugerah Pelakon Wanita Terbaik Drama, Beto Kusyairy bagi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Filem dan Lisa Surihani pula berjaya meraih Pelakon Wanita Terbaik Filem.

Sementara itu, Lorong Kecil Ke Syurga mendapat anugerah Drama Terbaik dan Lelaki Harapan Dunia merangkul anugerah Filem Terbaik.

Kru penerbitan Anugerah Skrin 2015 diketuai oleh Muhamad Sufian Isa (Pengurus Hiburan Primeworks Studios), Khalijah Mohamed selaku Penerbit Eksekutif dan Roslina Abd Rahman sebagai Penerbit Anugerah Skrin 2015 dari Primeworks Studios.

Layari laman web www.tv3.com.my dan www.anugerahskrin.com serta Facebook, Twitter & Instagram TV3Malaysia untuk mendapatkan berita terkini.

Berita Harian X