Jumaat, 13 November 2015 | 10:27am

212 mangsa bah di pusat pemindahan Simpang Renggam


AHLI Parlimen Simpang Renggam, Datuk Liang Teck Meng (dua dari kiri) menemui Murni Khamis yang dipindahkan ke Dewan Orang Ramai di Kampung Kolam Air, Simpang Renggam. - Foto Adnan Ibrahim

JOHOR BAHARU: Jumlah mangsa banjir di Simpang Renggam, dekat Kluang meningkat kepada 212 orang daripada 51 keluarga pagi ini berbanding 190 daripada 40 keluarga petang semalam.

Pegawai Daerah Kluang, Mohd Fuad Radzuan berkata, 212 mangsa itu ditempatkan di enam pusat pemindahan banjir berbanding tiga pusat pemindahan semalam.

"Sehingga 8 pagi ini, enam pusat pemindahan itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Kencana yang menempatkan sembilan orang daripada tiga keluarga.

"Selain itu, Dewan Kampung Paya Palembang (74 orang, 15 keluarga) dan Dewan Kampung Kolam Air (62 orang, 12 keluarga)," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Fuad berkata, SK Sungai Linau pula menempatkan 16 daripada lima keluarga, Balai Raya Kampung Seri Maju Jaya (40 orang, 13 keluarga) manakala Dewan Orang Ramai Kampung Ithnin Maarof (11 orang, 3 keluarga).

Katanya, pusat pemindahan SK Sungai Linau mula dibuka pada 4.30 petang semalam manakala Balai Raya Kampung Maju Jaya dibuka mulai 7 malam

"Dewan Orang Ramai Kampung Ithnin Maarof pula 10 malam tadi selepas kediaman semua mangsa yang terbabit dinaiki air," katanya.

"Sungai Machap kini mencatatkan paras amaran dengan bacaan 7.54 meter manakala Sungai Benut pula pada paras bahaya dengan 6.36 meter. Empangan Machap pula berstatus berjaga-jaga dengan bacaan 16.98 meter," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X