Sabtu, 4 Oktober 2014 | 1:50pm

EPL: Fabregas gembira di Chelsea - Mourinho

LONDON: Pengurus bermulut lancang Chelsea, Jose Mourinho percaya bintang tengah yang baru dibelinya musim ini, Cesc Fabregas gembira di Stamford Bridge dan akan bersama kelab London itu untuk tempoh lima tahun.

Mourinho mengeluarkan komen panas itu menjelang pertembungan tetangga London menentang Arsenal, kelab di mana Fabregas menghabiskan masa selama lapan tahun sebelum menyertai Barcelona.

"Dia sudah pun menggemari Chelsea," kata Mourinho. "Dia amat gembira, cara dia bermain, cara dia bekerjasama dengan pasukan dalam skuad, cara kehidupannya di perkampungan biru ini.


REAKSI pengurus Chelsea, Jose Mourinho sejurus berakhir perlawanan Liga Juara-Juara Eropah menentang Sporting Lisbon di Stadium Alvalade XXI . - Foto AFP

"Ia seperti dia sudah berada di sini untuk jengka masa yang lama. Jika kamu bertanya kepadanya adalah dia kecewa dengan penghijrahan ini, saya yakin dia akan katakan tidak. Jika kamu tanya di manakah dia melihat dirinya berada dalam jangka masa lima tahun nanti. Dia berada di Chelsea."

Begitupun, Mourinho tetap tidak mahu menolak yang Fabregas masih menyayangi bekas kelab lamanya, Arsenal.

"Dia tidak pernah hilang rasa hormat dan hubungannya bersama kelab yang dia wakili sejak remaja dan keluar sebagai pemain terbaik.

"Saya tidak akan merasa gembira jika dia datang ke sini dan berkata 'saya tidak kisah dengan Arsenal, kehidupan saya bersama Arsenal sudah berakhir, saya melupakan segala-galanya dan ketika ini hanyalah mengenai Chelsea'. Saya tidak gemarkan pendekatan itu.


AKSI pemain tengah Chelsea, Cesc Fabregas(kiri) ketika perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Aston Villa, minggu lalu. - Foto AP

"Selepas Chelsea, saya bersama-sama Inter Milan dan Real Madrid dan saya tidak pernah berkata Chelsea adalah kelab lama saya dan saya akan kembali suatu hari nanti. Namun saya memberikan segala-galanya kepada Inter dan Real.

"Fabregas tidak akan melupakan Arsenal... sumbangan yang dibuatnya sepanjang kerjaya menakjubkan dan ia layak untuk mendapat tempat dalam hatinya. Namun dia perlu memberikan segalanya kepada Chelsea dengan penuh profesional dan semangat itulah yang kami mahu daripadanya," katanya.

Chelsea ketika ini menghuni tangga teratas EPL dengan mengumpul 16 mata daripada 6 perlawanan manakala Asenal berhasrat membalas dendam kekalahan besar 6-0 di Stamford Bridge musim lalu di kedudukan keempat dengan 10 mata.- Reuters

Berita Harian X