Jumaat, 13 November 2015 | 12:03am

Kaedah rawatan cantikkan mata


ADA individu menghadapi masalah ekzema iaitu alahan kulit pada kelopak kulit mata. - Gambar hiasan

SAYA lihat ramai wanita kelihatan lesu dan tidak berseri disebabkan wujudnya lingkaran hitam di bawah mata, cengkung, lingkaran gelap dan pelbagai lagi. Apakah rawatan sesuai untuk masalah itu?

Nurul Huda Akmal, Sungai Petani, Kedah.

Memiliki sepasang mata menawan adalah antara aset yang berperanan penting menjadikan seseorang tampak cantik. Bagi jurusolek, mereka menghias mata pelanggan bagi menyerlahkan lagi penampilan.

Pelbagai kaedah untuk mendapatkan mata yang menawan seperti menyapu vitamin mata yang banyak di pasaran.

Vitamin membentuk sel mata yang lebih baik dan kuat, selain menggunakan kanta lekap beraneka warna, mencalitkan celak, memakai bulu mata palsu dan membentuk kening.

Bagaimanakah struktur mata yang sebenar?

Mata kita terletak dalam soket mata. Ia adalah lubang pada tengkorak yang didindingi oleh tulang tipis dan berlubang-lubang kecil dipanggil cribriform dan dikelilingi sekeping lelemak yang dinamakan tarsal plate.

Tarsal plate ini mengelilingi mata kita. Lemak mata bergerak sekeliling mata melalui jaringan salurannya yang dinamakan saluran limfatik. Saluran limfatik mata akan bersambung pula dengan jalinan limfatik pada maxilla (pipi), telinga dan lain-lain bahagian tubuh kita.

Apabila saluran ini tersumbat, banyak lemak akan terkumpul dan mengeras membuat mata kelihatan bengkak dan cengkung.

Kaedah rawatan

Rawatan yang sesuai adalah kaedah pembedahan membuang lemak bawah mata dengan menggunakan teknologi baharu, iaitu menggunakan fiber optik yang boleh memecahkan lemak dengan mudah, berkesan dan selamat.

Fiber optik yang saiznya kurang satu milimeter memancarkan tenaga sebanyak 300 joule dengan kuasa lima hingga enam watt, membantu rawatan menjadikan kulit bawah mata tegang semula, sekali gus tampak lebih cantik dan muda.

Bagi sesetengah individu pula, berhadapan saluran darah tersumbat dan mudah pecah di bawah mata menjadikan ia lebam dan tampak gelap. Selsel darah pula merangsang melanosit menjadi aktif menyebabkan kawasan mata menjadi lebam.

Bagi masalah itu, rawatan yang baik adalah dengan menggunakan enzim khas yang boleh memecahkan dan menghadamkan sel darah yang terkumpul.

Pemindahan lemak

Masalah lain, ada sesetengah orang mempunyai lapisan lemak pada tarsal plate, menipis dan akhirnya hilang menyebabkan bawah mata tampak cengkung dan berlekuk.

Masalah itu boleh diatasi dengan kaedah filler atau pemindahan lemak pada bahagian itu.

Tidak kurang juga ada individu mempunyai lingkaran gelap di bawah mata sehingga menjadikan mereka tampak penat dan lesu. Kaedah terkini untuk rawatan itu ialah menggunakan laser bagi membantu mengurangkan lingkaran gelap.

Kedutan mata

Selalunya mereka yang berusia 35 tahun ke atas akan mengalami masalah crow feet, iaitu garis halus atau kedutan pada bahagian mata. Ia boleh dirawat dengan pelbagai cara contohnya pengelupasan bersiri, laser, pemindahan lemak dan mengunakan botulinum toxin atau Bta serta rawatan platelet rich plasma (PRP).

Selain itu, ada individu menghadapi masalah ekzema iaitu alahan kulit pada kelopak kulit mata. Ekzema berlaku disebabkan alahan terhadap makanan tertentu atau alat kosmetik yang digunakan.

Penghidapnya akan rasa gatal, panas dan perit. Akibat digosok berulang kali, mata turut kelihatan merah dan pedih. Untuk mengatasi masalah itu, rawatan yang sesuai ialah dengan memberikan ubat antialergi dan antibiotik yang sesuai.

Stye pula adalah jangkitan kuman jenis streptococcus yang menyebabkan kelopak ditumbuhi kudis kecil. Rawatan yang terbaik ialah menggunakan antibiotik yang disapu dan antibiotik yang dimakan dalam bentuk pil.

Bagi masalah kalazion pula, iaitu sejenis kutil keras yang tertanam dalam kelopak mata, ia boleh dibuang dengan kaedah pembedahan.

Masalah biasa yang menghantui wanita ialah kewujudan lingkaran gelap. Ia menyebabkan mata kelihatan bengkak dan tampak lebih tua daripada usia sebenar.

Untuk masalah itu, rawatan bergantung kepada tahap masalahnya. Untuk rawatan lingkaran gelap yang tidak serius, boleh menggunakan kaedah laser atau pemindahan lemak, manakala yang serius, mereka boleh melakukan pembedahan untuk keputusan lebih memuaskan.

78 dibaca
Berita Harian X