Sabtu, 4 Oktober 2014 | 1:30pm

Pemancing maut, rakan cedera dihempap pokok

BESUT: Seorang pemancing maut manakala rakannya cedera selepas dihempap sebatang pokok mati yang tumbang dan menimpa khemah mereka di kawasan tepi sungai berhampiran Hutan Simpan Pelagat dekat sini, semalam.

Ketika kejadian pada kira-kira 4 petang itu, kedua-duanya dan seorang lagi rakan mereka sedang berteduh dalam khemah itu yang ketika itu hujan lebat, kata Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah.

Katanya, Nasir Mamat, 47, maut di tempat kejadian, rakannya Tengku Faisal Tengku Mahmud, 26, cedera manakala Mohd Amirul Mukmin, 30, yang tidak mengalami sebarang kecederaan telah menghubungi Balai Polis Jerteh bagi memaklumkan kejadian itu.

Ketiga-tiga 'kaki pancing' dari Kampung Jeram, Pasir Putih, Kelantan itu ke lokasi itu sejak Selasa lepas untuk memancing, katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Katanya, pasukan penyelamat yang terdiri daripada anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Pasukan 4x4 Besut mengambil masa hampir lima jam untuk ke tempat kejadian.

Khaled berkata, kedua-dua mangsa hanya dapat dibawa keluar dari lokasi kejadian kira-kira jam 9 malam dengan Tengku Faisal terpaksa diusung.

"Kita menghadapi masalah untuk ke lokasi kejadian yang tiada jalan kenderaan dan anggota penyelamat terpaksa berjalan kaki di samping meredah air sungai yang meningkat ekoran hujan lebat petang semalam," katanya.

Katanya, mayat Nasir dibawa ke Hospital Daerah Besut untuk bedah siasat manakala Tengku Faisal menerima rawatan sebagai pesakit luar.

- BERNAMA

Berita Harian X